Launch New CPI

 women-politicsRencana pengarang akhbar the New Straits Times tentang wanita di parlimen memperlihatkan bagaimana isu ini berkemungkinan akan terus menjadi satu topik hangat pada masa akan datang sehinggalah tiba satu masa nanti apabila bilangan wanita di arena politik benar-benar mencerminkan hakikat bahawa wanita mempunyai peranan yang besar di negara ini.

Menurut rencana NST itu, walaupun kerajaan telah bertekad untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus pemegang jawatan yang mempunyai kuasa membuat sesuatu keputusan di sektor awam dan swasta terdiri daripada wanita, peratusan paling kecil masih dilihat di arena politik.

Pada pilhan raya 2008, daripada 479 orang yang bertanding untuk 222 kerusi Parlimen, hanya 43 adalah wanita – 20 daripada Barisan Nasional, 21 daripada parti-parti pembangkang, dan dua calon bebas. Ini merupakan hanya 8.98 peratus daripada jumlah calon yang bertanding.

Apa yang membanggakan ialah daripada 43 orang wanita yang bertanding, 23 telah memenangi kerusi mereka – 12 daripada BN dan 11 daripada pembangkang. Ini merupakan pencapaian sebanyak 53.48 peratus berbanding 44.26 peratus di kalangan calon-calon lelaki.

Pelbagai soalan dikemukakan kenapa begitu sedikit bilangan calon pilihan raya wanita. Di antaranya ialah adakah terlampau sedikit wanita yang berkecimpung di arena politik, adakah politik hanya untuk lelaki, adakah mereka tidak bertanding kerana tidak berkeyakinan untuk menang atau adakah hanya calon wanita yang kuat sahaja dipilih dan adakah standard yang sama digunakan seperti pada calon lelaki?

Kurang minat di kalangan wanita

Satu kertas kerja yang diterbitkan pada 2011 tentang tahap penyertaan politik wanita mendapati bahawa terdapat pendapat yang berbelah-bahagi berhubung soalan sama ada mereka mengambil bahagian secara aktif di dalam bidang politik. Kajian yang di jalankan di Pulau Pinang itu juga mendapati kebanyakan mereka berasa tidak perlu melibatkan diri dalam politik.

Walaupun wanita yang ditemubual menganggap diri mereka tidak terlibat secara langsung dalam politik, hasil kajian menunjukkan bahawa sebilangan besar daripada mereka mengundi pada setiap pilihan raya yang diadakan.

Keputusan yang bercanggah ini mungkin disebabkan pemahaman umum wanita bahawa mengundi pada masa pilihan raya bukanlah sebahagian daripada penglibatan secara aktif dalam politik. Selain itu, keputusan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan wanita merupakan pengundi yang berpengetahuan dan mengikuti perkembangan politik di dalam negara.

cecilia ngMenurut sebuah rencana pada 2007 pula tulisan Dr Cecilia Ng, (kiri) seorang penyelidik bebas tentang hak wanita, adalah satu mitos jika ada yang menyatakan bahawa wanita tidak turut serta di dalam arena politik. Hakikatnya 50 peratus jumlah keahlian di kedua-dua belah pihak pemerintah dan pembangkang terdiri daripada wanita.

Namun begitu terdapat banyak halangan di dalam perjalanan seorang wanita yang mahu mencapai jawatan kepimpinan politik. Kebanyakan halangan ini adalah dalam bentuk dan sifat politik itu sendiri yang diamalkan di Malaysia jika tidakpun di serata dunia.

Politik masih merupakan dunia lelaki dan mereka yang mempunyai sumber kewangan serta sokongan politik berpeluang mendapat tempat yang baik apabila memulakan persaingan. Ramai wanita terperangkap kerana tidak mempunyai sumber ekonomi yang mencukupi untuk memulakan sesuatu tindakan.

Selain itu, ruang fizikal dan moral untuk wanita mendapatkan sokongan politik dikekang hebat oleh tradisi dan budaya. Peranan mereka sebagai ibu dan wanita yang baik dipersoalkan di khalayak ramai jika mereka secara terbuka bercita-cita untuk mencapai kuasa politik.

Adakah sistem kuota boleh membantu? Dr Cecilia menambah bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam sesuatu jawatan bukanlah satu jaminan seseorang itu berubah secara automatik menjadi pembela hak-hak wanita. Dia memberi contoh tentang apa yang berlaku di India dan Pakistan dengan wanita tidak lebih daripada wakil lelaki yang kaya dan berpengaruh di kawasan yang dipertandingkan.

Walau bagaimanapun, sesetengah wakil wanita tadi menjadi celik politik dan mula bertegas membawa agenda mereka sendiri yang lazimnya berkaitan dengan pembangunan di luar bandar. Beberapa orang ahli politik lelaki yang bimbang dengan perkembangan ini menuntut supaya sistem kuota dihapuskan atas alasan sistem tersebut boleh memudaratkan budaya mereka!

Apa yang pasti ialah sistem kuota mesti dilihat sebagai satu langkah sementara dan tidak menjadi helah semata-mata untuk memancing undi dari kaum wanita. Anggaplah sistem itu sebagai laluan ke arah perubahan struktur masyarakat dalam usaha menghapuskan ketidaksamaan jantina.

Matlamat akhir dan aspek paling penting adalah menyaksikan lebih ramai wakil-wakil politik sama ada lelaki atau wanita yang prihatin terhadap isu-isu di kawasan masing-masing secara khusus dan negara secara am.

Penggunaan kuota untuk menyeimbangkan

Di peringkat global terdapat usaha mengumpul data tentang penggunaan sistem kuota untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.

Pemerhatian mendapati bahawa penggunaan sistem kuota untuk wanita dalam politik adalah lebih meluas daripada dijangka. Semakin banyak negara yang sedang memperkenalkan pelbagai jenis kuota jantina untuk pilihan raya umum. Malah, separuh daripada negara di dunia pada masa ini menggunakan beberapa jenis kuota dalam pemilihan wakil parlimen mereka.

Wanita pada penghujung 2012 merupakan 20.4 peratus daripada ahli-ahli parlimen di seluruh dunia. Baru-baru ini Rwanda dengan 56.3 peratus perwakilan parlimen wanita menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara yang mempunyai ahli parlimen wanita menggantikan Sweden yang mempunyai 47.3 peratus ahli parlimen wanita. Rwanda adalah satu contoh trend baru menggunakan kuota jantina pemilih sebagai landasan pantas mencapai matlamat keseimbangan jantina dalam politik.

Walau bagaimanapun, bilangan wanita yang dipilih ke parlimen masih sedikit di negara-negara lain.

Terdapat tiga jenis kuota jantina yang dikenalpasti digunakan dalam politik:

  1. Kerusi yang dikhususkan (menurut perlembagaan dan/atau undang-undang)
  2. Kuota calon yang sah (menurut perlembagaan dan/atau undang-undang)
  3. Kuota parti politik (sukarela)

Apa yang menarik ialah situasi di kalangan negara-negara jiran di rantau ini. Hanya empat negara di Asia Tenggara didapati menggunakan sistem kuota jantina dalam pilihan raya di negara masing-masing. Timor-Leste dan Indonesia menggunakan sistem kuota calon menurut undang-undang sementara negeri Thai dan Filipina memilih kuota parti politik secara sukarela.

Menurut Penunjuk Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals Indicators – MDG) di bawah kelolaan Bahagian Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia menunjukkan pencapaian yang rendah dalam usaha menambah perwakilan wanita di parlimen. Pada tahun 1990, 5.1 peratus kerusi di parlimen dipegang oleh wanita dan telah meningkat kepada 10.4 peratus pada 2012. Purata kerusi di parlimen yang dipegang oleh wanita di negara-negara Asia Tenggara pada 2012 ialah 17.6 peratus.

jadual-wanita

Jadual yang tertera menunjukkan bagaimana keempat-empat negara yang menggunakan sistem kuota jantina dalam pilihan raya di negara masing-masing mengatasi Malaysia semasa pilihan raya diadakan di negara ini pada 2008 dalam statistik berhubung peratusan wanita di parlimen. Malaysia kekal di belakang keempat-empat negara tersebut di penghujung 2012.

Sememangnya apa juga sistem yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat ada buruk dan baiknya. Tidak salah jika sistem kuota jantina diberi peluang di negara ini dan apa juga kelemahan yang timbul diperbaiki. Timor-Leste yang baru mencapai kemerdekaan dan masih mundur jika dilihat dari segi pembangunan ekonominya mungkin boleh mengajar kita sesuatu di dalam hal ini.

Sudah tibalah masanya semua pihak yang berkepentingan di Malaysia meneliti semula strategi dan pendekatan mereka dalam meningkatkan peratusan wanita di parlimen. Negara kehilangan aset yang amat bernilai jika hanya segelintir wanita sahaja yang terlibat dalam kumpulan yang membentuk, menggubal dan mengendalikan dasar negara. Fikir-fikirkanlah.