Launch New CPI

politic-womenTinjauan sebelum pengumuman calon-calon pilihan raya yang ke-13 pada 20 April 2013 tentang apa yang diingini oleh wanita merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian serius oleh semua calon yang bertanding jika mereka benar-benar prihatin terhadap permasalahan dan impian kebanyakan wanita. Beberapa isu dasar berhubungkait dengan wanita mesti diberi perhatian segera seperti:

  • Meminda Perlembagaan Persekutuan bersabit definisi “diskriminasi”;
  • Meminda undang-undang negari yang masih membenarkan perkahwinan kanak-kanak;
  • Meminda undang-undang yang membolehkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing secara automatik mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara (ketika ini hanya lelaki yang menjadi bapa boleh berbuat demikian), dan membolehkan pasangan mereka yang berasal dari luar negara memohon kewarganegaraan Malaysia;
  • Meminda undang-undang untuk memastikan bahawa wanita Islam menikmati hak-hak dan perlindungan yang sama dalam perkahwinan dan keluarga sebagaimana wanita yang menganut agama lain.

Perhatian wanita secara umum memang masih banyak berkisar di sekitar isu-isu berkaitan keluarga mereka. Beberapa orang yang ditemubual berharap beberapa isu yang menjadi topik hangat ketika ini akan berjaya ditangani oleh calon-calon yang berjaya di dalam pilihan raya nanti.

Di antara isu-isu tersebut ialah pelaksanaan sistem pendidikan yang lebih menyeluruh, penekanan terhadap pembelajaran bahasa Inggeris, peningkatan jumlah calon wanita, peningkatan kualiti hidup, persekitaran yang lebih selamat dengan menangani kejadian jenayah yang semakin meningkat, kos perkhidmatan perubatan yang lebih berpatutan dan sistem pengangkutan awam yang lebih baik.

Seorang responden menyatakan bahawa isu tentang wanita sering diketepikan dan hanya diutarakan pada masa-masa tertentu sahaja.

Lebih ramai perwakilan wanita diperlukan di parlimen dan badan perundangan negeri yang berupaya membantu menggubal atau meminda undang-undang yang masih mendiskriminasi wanita dan seiring dengan itu memastikan pelaksanaan undang-undang yang lebih bersifat progresif yang benar-benar boleh memperbaiki kehidupan berjuta-juta wanita.

Parti-parti politik harus menamakan lebih ramai calon wanita di kerusi-kerusi yang boleh dimenangi pada PRU13. Parti-parti politik akan terus mengesampingkan isu-isu wanita jika tidak ada pemimpin yang sensitif tentang isu-isu tersebut dipilih.

Lebih ramai wanita bertanding kali ini

Para pemimpin yang dipilih kelak diharap dapat menangani isu-isu seperti:

· Meningkatkan kualiti hidup golongan miskin, terutamanya beribu-ribu ibu-ibu tunggal yang terpaksa menyara diri sendiri dan anak-anak mereka;

  • Menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih baik untuk wanita bekerja yang terpaksa berhadapan dengan tanggungjawab mengelolakan keluarga serentak dengan kerja mereka;
  • Pegawai-pegawai penguatkuasa yang terlatih untuk membantu mangsa keganasan, seperti keganasan rumah tangga dan rogol, apabila mereka membuat laporan. Mangsa, ahli keluarga beliau dan masyarakat akan mengalami kesan jangka panjang daripada segi psikologi dan emosi akibat kejadian tersebut.

Apa yang sebenarnya berlaku ketika hari penamaan calon pada 20 April 2013?

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pertandingan merebut kerusi Parlimen membabitkan 56 calon wanita manakala 112 calon wanita bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 40 peratus berbanding 120 calon untuk kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum 2008.

Bolehkah penambahan 48 orang lagi calon wanita ini dianggap satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha melibatkan lebih ramai golongan hawa di dalam kancah politik? Malah bolehkah penambahan ini dilihat sebagai gambaran peningkatan pengiktirafan secara keseluruhan terhadap sumbangan dan potensi wanita di dalam arus perdana negara?

Hakikatnya hanya satu dalam sepuluh orang calon yang bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei 2013 nanti adalah wanita, yang jauh di bawah sasaran antarabangsa dengan matlamat sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua jawatan penting yang melibatkan keputusan disandang oleh wanita.

Gambaran yang lebih jelas dapat disaksikan apabila jumlah calon mengikut parti dilihat secara terperinci:

Parti

Jumlah calon

Jumlah calon wanita

Peratusan wanita (%)

BN

726

71

9.8

UMNO

460

42

9.1

MCA

128

17

13.3

MIC

28

1

3.6

Gerakan

40

5

12.5

Parti-parti BN yang lain

71

6

8.5

Pakatan Rakyat

733

77

10.5

PAS

309

25

8.1

DAP

153

22

14.4

PKR

271

20

11.1

Lain-lain parti termasuk calon bebas

441

20

4.5

Jumlah besar

1900

168

8.8

Kesemua parti yang bertanding hanya menampilkan jumlah calon wanita sekitar sepuluh peratus daripada keseluruhan calon-calon sama ada dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. DAP yang menunjukkan peratusan tertinggi calon-calon wanita yang bertanding sebenarnya hanya dapat menempatkan 22 orang daripada jumlah 153 orang calon yang diketengahkan. Sementara Umno yang mempunyai jumlah calon yang paling banyak menawarkan hanya 42 orang calon wanita.

Sejumlah 22 calon wanita daripada DAP, sebuah parti yang telah lama bergelumang dalam arena politik tanah air dan 42 daripada Umno, sebuah parti yang telah memegang tampok pemerintahan negara semenjak sekian lama. Itu sahajakah yang termampu oleh mereka? Bilangan ini amat menyedihkan, seolah-olah satu gurauan dan tamparan terhadap kebolehan dan kewibawaan wanita negara.

Menurut Marina Mahathir yang telah lama terlibat dalam isu-isu berkaitan wanita, pada dasarnya masalah bilangan calon wanita yang kecil ini berpunca daripada sikap parti-parti politik itu sendiri yang tidak benar-benar percaya dan yakin tentang kesaksamaan jantina.

Tambahnya lagi bahawa wanita menyumbangkan sesuatu yang bernilai ke meja persidangan yang sama nilainya dengan apa yang disumbangkan oleh lelaki dan malahan mungkin boleh dianggap lebih bernilai lagi kerana wanita sering megutamakan keluarga dan persekitaran mereka yang merupakan tunjang sesuatu masyarakat.

Jenayah isu besar yang memberi kesan kepada wanita

Apabila akar dan umbi sesebuah masyarakat terpelihara pastilah tumbesarannya lebih menyerlah. Dasar dan asas itulah yang penting ditekankan di dalam usaha menyelesaikan sesuatu isu.

Pucuk pangkal sesuatu isu seringkali boleh dijejak bermula daripada keadaan serta suasana di rumah dan wanita merupakan komponen penting sesebuah keluarga. Mereka bukan sahaja anak, isteri atau ibu malahan pada masa ini semakin banyak menyumbangkan bukan sedikit tenaga dan usaha di dalam perjalanan lancar ekonomi sesebuah keluarga.

Apabila calon wanita pun masih kekal di sekitar sepuluh peratus daripada jumlah calon yang bertanding, bilakah perubahan yang sebenar di dalam masyarakat akan berlaku?

Terlampau banyak isu yang menghantui masyarakat tidak ditangani daripada punca sebenar kenapa dan bagaimana permasalahan itu timbul. Maklumbalas daripada orang ramai yang menghadapi masalah jenayah misalnya kadang-kadang diperlekehkan. Berkali-kali rakyat menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan kadar jenayah di persekitaran mereka. Malangnya berkali-kalilah pula pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan bahawa semuanya terkawal dan apa yang didengar dan dilihat hanyalah satu persepsi.

Hakikat bahawa wanita sering menjadi mangsa jenayah tidak dapat dinafikan. Kalaulah pandangan dan pendapat daripada orang ramai terutamanya wanita diberi perhatian dan pertimbangan yang lebih serius, mungkin satu perubahan yang sebenar boleh dilihat. Di sinilah sumbangan daripada wakil-wakil wanita boleh memberi kesan. Berilah wanita lebih banyak peluang berkecimpung di dalam proses membuat keputusan. Wanita tidak harus sekali-kali dipinggirkan.

Malangnya buat masa terdekat wanita akan kekal dianaktirikan.