Rakyat Malaysia pasti berbangga apabila membaca laporan bahawa pendapatan isi rumah bulanan purata di Malaysia bertambah dari RM4,025 ke RM5,000 iaitu peningkatan sebanyak 7.2 peratus dari 2009 sehingga 2012.
Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 juga menunjukkan bahawa kadar kemiskinan telah berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus pada 2012 manakala isi rumah miskin berkurangan 52.7 peratus daripada 228,400 kepada 108,000.
Apakah kemungkinan pendapatan isi rumah terus meningkat pada masa hadapan? Soalan ini kerap bermain di kepala orang ramai yang asyik merungut tentang kesulitan hidup mereka sehari-hari.
Kita boleh imbas kembali rekod pencapaian negara setakat ini. Kerajaan telahpun memperkenalkan pelbagai insiatif yang bertujuan memastikan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada 2010 serta 2011 dan diwujudkan bersama-sama Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Sosial yang membentuk Dasar Transformasi Nasional.
Apa yang dikatakan dalam akhbar The Star bahawa Malaysia berada di landasan yang betul menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi harus direnung bersama. Segala statistik kejayaan memang mudah dibentangkan kepada khalayak ramai tetapi pada masa yang sama perlu juga dilihat perubahan daripada sudut pandang yang lebih meluas.
Masalah-masalah utama negara
Pendekatan seimbang yang menggabungkan pendapatan tinggi dengan mengekalkan pertumbuhan tersebut dan yang merangkumi semua lapisan masyarakat itulah yang akan memberi kita pandangan yang lebih bererti tentang pembangunan. Matlamat utama yang mesti ditekankan ialah peningkatan kualiti hidup masyarakat.
Tidak dinafikan masih banyak rancangan yang belum mencapai matlamatnya. Di antara rancangan pokok yang masih perlu diambil perhatian berat ialah di dalam bidang pendidikan, membasmi gejala rasuah dan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan dan rakyat tidak boleh leka dengan kejayaan yang dicapai kerana usaha yang berterusan diperlukan untuk terus maju ke hadapan.
Negara-negara lain juga berkejar-kejaran mencapai status negara maju dan Malaysia jika tidak berhati-hati akan ketinggalan. Perbandingan dengan negara-negara yang telah mencapai kejayaan dari segi ekonomi seperti Korea Selatan mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pemerhati tetapi pasti tetap boleh dijadikan teladan.
Perkara yang baik boleh diambil sebagai panduan seperti pendekatan yang diambil oleh negara-negara jiran di dalam usaha memajukan negara masing-masing. Contoh paling mudah pastilah jiran kita di selatan, Singapura, sebuah titik kecil di kalangan negara-negara Asean.
Pendidikan asas membina negara bangsa
Setiap negara memang unik dan pendekatan yang sama tidak boleh digunapakai dengan semberono. Salah satu kelemahan yang masih ketara yang dinyatakan di dalam ulasan akhbar The Star tadi ialah di dalam bidang pendidikan.
Sistem pendidikan yang baik bukan sahaja terserlah melalui keputusan cemerlang di dalam peperiksaan awam saban tahun malahan teruji apabila hasil sistem itu berjaya juga membina dan membentuk satu generasi baru yang berwibawa. Mereka yang lulus diharapkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik di tanah air tetapi boleh juga bersaing dan setara dengan pakar di dalam bidang masing-masing di arena antarabangsa.
Lulusan sistem pendidikan tempatan mempunyai tugas yang berat memggembleng negara ke arah yang lebih maju seiring impian rakyat yang mahu melihat kejayaan bukan sahaja dari segi pencapaian ekonomi yang lebih baik tetapi merangkumi kualiti hidup yang lebih seimbang. Tidak ada faedahnya jika memiliki wang berkepul-kepul jika masa dan waktu yang terluang untuk keluarga begitu terhad.
Pada masa ini penekanan sistem pendidikan negara ialah untuk menghasilkan seberapa banyak lulusan yang mahir dan boleh digunakan sebagai modal insan.
Sistem pendidikan telah bertukar corak dari semasa ke semasa menurut apa yang diperlukan oleh negara dalam tempoh 10 atau 20 tahun ke hadapan. Rata-rata pelajar-pelajarlah yang menjadi mangsa percubaan demi percubaan mencari sistem yang benar-benar dapat membangun negara bukan sahaja daripada segi ekonomi malahan dalam membina satu bangsa negara yang ulung.
Iltizam daripada pihak berwajib tidak kelihatan kerana kekangan yang timbul daripada pelbagai pihak yang mahukan agenda masing-masing diberi tumpuan utama. Kalau kepentingan dan kebolehan pelajar itu sendiri diberi perhatian khusus, nescaya lebih banyak manfaat yang boleh diperolehi. Secara tidak langsung, apabila apa yang diperlukan pelajar diberi pertimbangan di dalam menggubal sesuatu rencana, pasti hasilnya lebih menguntungkan.
Program-program beraneka abjad
Bidang lain yang masih memerlukan perhatian di dalam ETP ialah kenaikan kos sara hidup. Ketika ini masalah kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi masalah utama ketua keluarga.
Inisiatif 1Malaysia diharapkan menjadi penawarnya. Lihat sahaja pelbagai usaha yang bernaung di bawah jenama 1Malaysia:
- Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)
- Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia
- Klinik 1Malaysia
- Klinik Bergerak 1Malaysia
- Rawatan Perubatan Percuma bagi Warga Emas
- Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia
- Inisiatif kembali ke sekolah
- Program Susu 1Malaysia
- i-TR1M
- Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M)
- Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)
- Kedai Kain 1Malaysia (KK1M)
- Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)
- Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M)
- Skim Keselamatan Rakyat 1Malaysia (SK1M)
- Menu Rakyat 1Malaysia
- Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1ma)
- Kad Keistimewaan 1Malaysia
- e-Kasih
- Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA)
- Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)
- Skim Amanah Rakyat 1Malaysia
- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
Banyak sungguh bantuan yang disediakan dan rakyat yang berkelayakan boleh menikmati segala faedah yang diberi jika memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Persoalannya sampai bilakah bantuan ini akan diberi?
Kesan rasuah ke atas rakyat
ETP juga harus meneliti semula cara menangani rasuah. Usaha membasmi gejala rasuah kadang-kadang kurang diberi perhatian di dalam keghairahan mencapai status negara maju. Pertalian di antara gejala rasuah dengan keberhasilan mencapai sesuatu matlamat sering kali tidak begitu ketara.
Imbas kembali peristiwa jambatan runtuh di Cyberjaya pada bulan Februari 2013 dan bumbung stadium runtuh di Kuala Terengganu dalam bulan yang sama. Banyak yang membuat andaian bahawa pasti ada gejala rasuah yang memainkan peranan di dalam kejadian-kejadian itu.
Kalau tidak adapun rasuah yang menangani kedua-dua kejadian itu, kos pembinaan sudah pasti akan meningkat dan itu merupakan satu ketirisan peruntukan yang telah disediakan terlebih dahulu.
Penambahan kos itu sendiri telah mengalih arus aliran dana yang boleh digunakan untuk tujuan lain di dalam sesuatu perancangan. Kelemahan di dalam pelaksanaan sesuatu projek mesti dikurangkan seboleh-bolehnya menghampiri tahap sifar. Itulah kriteria yang harus dipegang oleh semua yang diamanahkan dan diharapkan menjayakan sesuatu projek.
Peningkatan pendapatan isi rumah memang patut dibanggakan tetapi adakah itu sesuatu yang bersesuaian dengan keadaan semasa?
Berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Jabatan Perangkaan 2009/10, sasaran asal penerima BR1M adalah 3.4 juta isi rumah tetapi bilangan sebenar penerima adalah lebih daripada 4.17 juta isi rumah, yang merupakan 22.91% lebih tinggi. Ini tidak sepatutnya terjadi kerana pendapatan isi rumah telah meningkat. Bukankah begitu?