sinsengnamRestoran Sin Seng Nam yang terletak di Medan Pasar, Kuala Lumpur telah ditutup pada 28 Feb 2013 setelah menjalankan perniagaan kopitiamnya selama lebih kurang 85 tahun yang lalu.

Di antara hidangan yang popular di kedai kopi ini ialah roti bakar yang dibakar menggunakan kayu arang dan dimakan bersama kaya buatan sendiri, nasi ayam Hainan dan chicken chop.

Penutupan kedai ini pasti tidak memberi makna apa-apa kepada sesiapa yang tidak pernah menikmati suasana di dalamnya tetapi mereka yang pernah mengunjungi restoran ini, Sin Seng Nam seolah-seolah telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Selain makanan yang dihidangkan, kemesraan tuan punyanya, Choong Yoo Ying dan para pekerjanya itulah yang menjadikan kedai kopi ini satu institusi yang terkenal di kalangan para pelanggannya terutama sekali yang bekerja di sekitarnya. Malangnya dia tidak berupaya meneruskan perniagaannya lagi pada masa ini kerana kos pengendalian yang semakin meningkat.

Salah satu punca kenaikan kos ialah perubahan yang sedang berlaku di sekitar kawasan tersebut. Pemilik bangunan telah menjualnya kepada orang lain dan kenaikan sewa memang tidak dapat dielakkan. Perancangan masa hadapan untuk kawasan itu menyulitkan pula para pembekal menghantar barangan ke kedai itu sehinggakan Encik Choong kehilangan lebih kurang 40 peratus pendapatan sehariannya.

Kawasan bersejarah ini akan dibangun semula dan diperindah sebagai salah satu di antara tempat menarik dalam usaha memperkenalkan satu laluan warisan yang di antara lain merangkumi Muzium Negara, stesen dan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM), Dayabumi, Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jam Besar Medan Pasar, Lebuh Ampang dan Jalan Petaling.

Projek ini akan mengubah wajah Medan Pasar menjadi kawasan pejalan kaki yang lebih mesra pelancong dan mempunyai kedai-kedai menjual cenderamata serta kafe.

Identiti asal kawasan luput daripada ingatan

sinsengnam2Restoran Sin Seng Nam itu terletak di hujung deretan bangunan yang telah dibina sebelum Perang Dunia Kedua.

Jika di lihat jiran-jirannya, banyak yang telah bertukar rupa. Mungkin tidaklah setinggi pencakar langit di Segitiga Emas di Jalan Sultan Ismail tetapi banyak perubahan telah dilakukan sehinggakan identiti asal kawasan itu telah luput daripada ingatan. Hanya gambar-gambar lama yang boleh mengimbas kembali bagaimana rupa dan betapa sibuk kawasan tersebut pada zaman gemilangnya.

Kawasan itu masih sibuk dengan para pekerja yang menjalankan tugas di bangunan-bangunan serba moden yang baru dibina. Restoran dan kedai masih ada tetapi lebih banyak merupakan klon kepada yang asal. Hiasan dalaman dan menu hidangan boleh dikatakan menyamai apa yang terdapat di kedai-kedai lama tetapi ada yang kurang.

Seolah-olah kedai baru ini hanyalah sekadar salah satu di antara beribu-ribu kedai lain seumpamanya yang dihasilkan oleh kilang pencetak ala McDonald's. Pelanggan datang dan pergi, menjamu selera dan keluar semula, tanpa apa-apa kesan pada diri pengunjung. Jiwa kekal kosong, itulah nadanya.

Mungkin setiap orang akan mempunyai kenangan menarik dengan sesuatu tempat yang sering dikunjungi termasuklah kedai kopi atau restoran.

Bibit pertama perkenalan dengan Sin Seng Nam

sinsengnam3Restoran Sin Seng Nam sememangnya mempunyai daya tarikan itu yang belum lagi terbentuk bersama-sama kedai-kedai alaf baru. Walaupun hanya dibuka dari waktu pagi sehinggalah ke tengahari sahaja, namun para pelanggan merasa begitu selesa berkunjung ke situ.

Restoran ini bukanlah di dalam kategori restoran bertaraf lima bintang. Roti bakarnya hanyalah roti putih biasa yang telah dibakar di atas dapur arang. Satu tradisi yang diteruskan semenjak restoran itu mula dibuka. Dua lagi hidangan yang terkenal di sini iaitu nasi ayam dan chicken chop mempunyai rasa yang tersendiri. Memang enak.

Mungkin tidak semua yang bersetuju kerana cita rasa kita berbeza. Makanan tadi adalah bibit pertama perkenalan dengan Sin Seng Nam dan ramah-tamah para pekerja menambahkan pula perisanya.

Kadang-kadang singgah ke sana hanya kerana hendak minum secawan teh, begitulah penangan kenangan masa lalu. Pelik bukan?

Hubungan dua hala di antara pelanggan dan pemilik kedai mengambil masa untuk terjalin dengan erat. Jika pelanggan hampir setiap minggu berkunjung ke tempat yang sama walaupun hanya sehari seminggu pastilah sedikit sebanyak, kedua-dua belah pihak akan mengenali budi bicara masing-masing. Itulah yang terjadi di antara pelanggan setia dan restoran kegemaran mereka.

Tidaklah hanya sekadar memesan sesuatu yang tertulis di menu atau hanya bergegas untuk membawa pulang makanan yang telah dibungkus. Sentuhan peribadi kelihatan semakin berkurangan pada masa ini di kalangan para pekerja di sektor perkhidmatan yang melibatkan penyediaan makanan. Kadang-kadang endah tak endah sahaja, pelanggan dilayan. Gelak ketawa bersama-sama jarang kedengaran dan perkongsian cerita di antara pelanggan dan pemilik jauh sekali.

Kemesraan seperti itu mungkin masih boleh terbentuk di kedai-kedai di kawasan perumahan jauh daripada hiruk-pikuk bandar. Lagipun berapa ramaikah yang masih bermastautin di pusat bandar?

Zaman rangkaian kedai satu jenama francais

Peluang untuk bersantai dan berlengah-lengah menikmati makanan tidak ada langsung kerana kerja di pejabat tetap menunggu. Masing-masing sibuk dan tarikh akhir untuk menyelesaikan sesuatu kerja semakin hampir. Tekanan ini secara tidak langsung mengurangkan keberangkalian perhubungan yang lebih erat terjalin di antara pelanggan dan pemilik kedai. Masa yang diperuntukkan untuk sarapan dan makan tengahari hanyalah sejam dua. Masa semakin mencemburui kita semua.

Bergegas ke sana ke mari, terkejar-kejar memburu masa. Kesesakan lalulintas tidak dapat dielakkan dan sebotol air mineral diteguk di dalam perjalanan. Manalah masa dan ketikanya hendak melabuhkan badan di kedai kopi sambil berbual-bual sesama rakan atau pemilik kedai.

Pada masa ini pula rangkaian kedai yang satu jenama hasil kemajuan perniagaan secara francais berlambak di merata-rata tempat. Rata-rata pengurus dan pekerja di kedai seperti itu bukan orang tempatan. Tenaga importlah yang lebih ketara kerana anak watan lebih menjurus kepada bidang yang lebih glamer.

Penutupan restoran Sin Seng Nam bukanlah pengakhir cerita kerana banyak lagi kedai yang senasib akan mengambil langkah yang sama. Keadaan persekitaran dan kehendak zaman telah berubah.

Sedih apabila diimbas kembali kerana dalam usaha kita mengejar kemajuan, segala yang positif tinggalan generasi sebelum ini tersisih ke tepi. Mungkin ada yang menyatakan ini hanyalah nostalgia dan kita harus berpijak di bumi nyata. Pengorbanan harus dilakukan supaya sesuatu yang lebih baik terhasil. Benarkah?