itrimBerita tentang pelancaran program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini memang amat dialu-alukan. Program ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Pengerusi YGMB Alimuddin Mohd Dom berkata, projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

Usaha ini nampaknya merupakan kesinambungan kepada Skim Baucer Tuisyen (SBT) yang dilancarkan pada tahun 2004. SBT bertujuan untuk memberi peluang bimbingan tambahan atau tuisyen secara berstruktur dan terancang kepada murid miskin Tahun 4, 5 dan 6 yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi membolehkan murid tersebut menguasai pengetahuan dan kemahiran asas dalam mata pelajaran berkenaan.

Perbezaan ketara di antara kedua-duanya ialah iTR1M mendapat pembiayaan RM2 juta daripada sebuah dana khas manakala SBT adalah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ketika ini belum ada maklumat sama ada iTRIM akan diserapkan pada masa hadapan ke dalam KPM.

Program-program membantu pelajar-pelajar yang tidak mampu mendapatkan bimbingan tambahan dalam pembelajaran mereka memang amat digalakkan. Seharusnyalah program seperti iTR1M diselaraskan dengan apa juga program yang telah sedia ada di bawah KPM. Sekurang-kurangnya dana khas boleh digunakan untuk tujuan lain dan peruntukan untuk KPM boleh ditambah. KPM memang diwujudkan untuk mengelolakan pendidikan pelajar-pelajar di negara ini, oleh itu gunakanlah segala kepakaran dan pengalaman yang telah sedia ada di situ.

Memantau keberkesanan SBT & iTR1M

Setakat ini belum ada maklumbalas tentang keberkesanan SBT dan keputusan kajian tentangnya boleh membantu dalam menjayakan program iTR1M. Pendidikan asas di peringkat sekolah rendah patut diutamakan kerana masih ada mereka yang didapati tidak begitu mahir membaca atau menulis apabila masuk ke sekolah menengah.

Usaha berterusan telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu seperti Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Universiti Sains Malaysia yang menganjurkan 'Program Pembacaan Ke Arah Meningkatkan Kemahiran Literasi Pelajar Sekolah Rendah' yang bermula sejak Julai 2011. Program yang mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri itu bertujuan membantu pelajar yang mempunyai masalah membaca atau literasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Pendekatan seperti inilah yang diperlukan kerana program ini diselaraskan dengan Jabatan Pelajaran. Walaupun iTR1M masih menggunakan guru-guru sekolah untuk memberi tuisyen kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan tetapi program ini seolah-olah satu sumber yang luar daripada bidang kuasa KPM. Sekali imbas iTR1M sama seperti pusat-pusat tuisyen swasta yang tumbuh seperti cendawan di merata tempat di negara ini.

Mungkinkah itu tujuan utama iTR1M iaitu menswastakan pendidikan sebanyak mungkin dan rakyat sedang diberi gambaran tentang senario pendidikan negara pada masa hadapan.

Pembelajaran alam Google

Tuisyen telah menjadi begitu lumrah di dalam jadual waktu pelajar sehinggakan mereka yang tidak menghadiri kelas tuisyen merupakan kumpulan minoriti.

SBT dan iTR1M memenuhi permintaan ibubapa supaya tuisyen boleh dinikmati oleh semua pelajar termasuk mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Peranan tuisyen pula semakin meluas dan diberi penekanan yang lebih berbanding masa belajar di sekolah itu sendiri. Inikah yang dikehendaki dan diharap-harapkan?

Sekolah-sekolah di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran di era teknologi maklumat yang berkembang begitu pesat. Segala pembaharuan dalam kaedah pembelajaran pada masa ini menekankan interaksi pelajar dengan alam maya. Penyelidikan tentang sesuatu topik yang akan dibahaskan boleh dibuat dengan mudah dan pantas melalui carian Google.

Perpustakaan pula tidak lagi menjadi sumber maklumat pilihan pertama. Apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berjaya mencapai matlamat 65% isi rumah di negara ini mempnyai capaian broadband pada tahun 2012, maka bertambah mudahlah para pelajar mencari maklumat menerusi internet.

Menurut laporan akhbar berkaitan pelancaran iTR1M, matlamat program ini adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan 'Netbook 1Malaysia' dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan.

Penggunan komputer sebagai alat bantu tidak boleh dinafikan lagi dan kajian selanjutnya harus dilakukan pada masa hadapan tentang keberkesanan netbook 1Malaysia. Kalau benarlah bantuan netbook percuma ini memberi kesan yang baik tentulah tidak sia-sia segala usaha dan inisiatif kerajaan dalam usaha memperluaskan penggunaan internet di kalangan semua pelajar tanpa mengira di mana mereka berada.

Usaha memperluaskan penggunan kmputer riba sebagai pengganti teks buku sekolah telah secara tidak langsung meringankan beban beg sekolah yang digalas setiap hari oleh majoriti pelajar-pelajar. Mereka akan lebih bersemangat ke sekolah kerana sejajar dengan perkembangan semasa, pemilikan komputer riba sudah menjadi lumrah di kalangan ramai.

Bentuk baru bangku sekolah

Pelaksanaan SBT dan iTR1M jika beroleh kejayaan yang memberangsangkan mungkin merupakan titik tolak supaya kita mengubah wajah dan bentuk sekolah-sekolah di negara ini.

Pada masa ini tumpuan terhadap matlamat lulus peperiksaan memberi tekanan psikologi yang mendalam kepada para pelajar. Tambahan pula mereka mahu tidak mahu akan disuruh pula ke pusat tuisyen oleh ibubapa mereka selepas tamat waktu persekolahan.

Ibubapa begitu bimbang anak-anak mereka akan ketinggalan dalam pembelajaran jika tidak ke pusat tuisyen. Begitu hebat tekanan supaya pelajar lulus peperiksaan dan ada pula yang tidak berpuas hati jika pencapaian anak-anak mereka hanya setakat cukup makan. Mereka mahu anak tersebut menjadi pelajar terbaik bukan sahaja di sekolah tetapi kalau boleh di seluruh negara.

Peruntukan masa para pelajar semakin terhad untuk menjalankan aktiviti-aktiviti lain atau menikmati hidup remaja mereka apabila penekanan sedemikian dipaksakan ke atas mereka. Pusat tuisyen telah menjadi rumah kedua mereka dan hanya di situlah mereka berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya. Mungkin sudah tiba masanya anjakan pradigma diperlukan dan sekolah pula menjadi pusat tuisyen yang popular.

Kewujudan skim-skim bantuan tuisyen adalah bukti sahih bahawa tuisyen memang penting dalam hidup para pelajar negara ini.

Kita tukar sajalah pusat tuisyen menjadi sekolah. Lebih mudah bukan?