indon-malPandangan tentang masa hadapan Bahasa Malaysia oleh seorang penulis mengundang komen bahawa satu hari nanti Bahasa Malaysia akan berubah bentuk dengan lebih ketara dan terserap ke dalam Bahasa Indonesia. Mengikut  komen itu lagi perubahan ini mungkin tidak dapat dielakkan kerana hakikatnya ada empat juta warga Indonesia yang bekerja di Malaysia. Mungkin benar juga hujah yang memberi komen itu kerana Bahasa Malaysia sendiri memang banyak meminjam daripada Bahasa Indonesia.

Perkataan ‘parkir’ yang dijadikan contoh dalam tulisan tersebut, mengesahkan kenyataan bahawa Bahasa Malaysia memang mudah meminjam istilah-istilah daripada bahasa-bahasa lain. Walhal perkataan ‘tempat letak kereta’ telahpun wujud untuk menggambarkan keadaan dan fungsi tempat itu. Apa salahnya dengan istilah yang telah ada. Terlampau panjang, tidak moden atau apa?

Kalau pembaca perhatikan, saya sendiri telah menggunakan perkataan-perkataan ‘komen’ dan ‘fungsi’ dalam dua perenggan sebelum ini dan secara spontan akan terus meminjam perkataan-perkataan lain daripada bahasa-bahasa lain terutama sekali Bahasa Inggeris jika perlu.

Secara sedar atau tidak saya juga telah terikut-ikut dengan trend semasa kerana mungkin mahu dianggap lebih hip dan kool. Apa yang penting ialah mesej berjaya disampaikan kepada pembaca. Pengaruh bahasa asing di dalam perbendaharaan kata Bahasa Malaysia semakin ketara kerana arus pembangunan yang pesat memerlukan kita menambah bilangan istilah dan perkataan untuk menggambarkan sesuatu kejadian, proses atau tempat.

Tidak salah meminjam tetapi biarlah bertempat. Namun sayang seribu kali sayang, realitinya pada masa ini Bahasa Malaysia telah lari jauh daripada lenggak-lengguk asalnya dan memang tidak diendahkan. Kehalusan bahasa kedengaran di acara-acara berkaitan seni dan boleh dibaca dalam ruangan sastera di akhbar dan majalah sahaja. Aspek seni bahasa tidak penting lagi kerana matlamat utama ialah tutur kata yang tepat dan jitu, tidak berbelit-belit atau berbunga-bunga.

BM sebagai penyampai ilmu

Ramai yang lebih mementingkan sesuatu bahasa yang mempunyai nilai ekonomi dan pengetahuan berbanding sesuatu bahasa yang dianggap kekampungan. Pada pandangan mereka Bahasa Malaysia tidak gah dan hanya berfungsi sebagai lingua franca di rumah dan di warung mamak sahaja. Mujurlah kita masih menggunakannya sesama rakan dan keluarga walaupun bercampur-aduk dan sudah menjadi caca-marba. Ahli bahasa tentu menggelengkan kepala melihat kecelaruan bahasa yang semakin berleluasa.

Pejuang bahasa mencuba dan memang ada yang berusaha memperbanyak khazanah ilmu menggunakan Bahasa Malaysia. Sedihnya kebanyakan buku ilmiah yang diterbitkan di dalam Bahasa Malaysia tidak mendapat liputan meluas dan banyaklah yang tidak terjual dan masih berlonggok di gudang-gudang para penerbit.

Ada pendapat mengatakan mutu penulisan itu sendiri lemah dari segi ilmu yang hendak disampaikan atau adakah mungkin kita tidak faham dan jarang terdedah dengan istilah-istilah yang digunakan.

Kebanyakan istilah yang terpapar nampak begitu ganjil dan kadang-kadang menggelikan hati kerana terang-terangan dicedok bulat-bulat daripada bahasa lain dan hanya ditukar ejaannya menurut sistem ejaan Bahasa Malaysia. Kosa kata bidang ilmu dalam Bahasa Malaysia masih terhad dan perjalanan untuk membiasakan diri dengan istilah-istilah baru ini akan mengambil masa. Kalau tidak digunakan dengan meluas, hanya kelompok-kelompok tertentu sahajalah yang sedar tentang kewujudan istilah-istilah tersebut manakala orang ramai akan terpinga-pinga jika membacanya buat kali pertama.

Suatu fenomena yang mungkin membanggakan ialah kemunculan penerbit-penerbit kecil yang cuba memperluaskan pasaran tulisan dalam Bahasa Malaysia tetapi sekali lagi tumpuannya hanyalah topik-topik tertentu dan lebih bersifat tempatan. Saya belum berjumpa lagi ataupun tidak sedar tentang kewujudan hasil nukilan yang menggunakan Bahasa Malaysia yang merangkumi pandangan yang lebih meluas atau global.

Adakah Bahasa Malaysia dalam bentuk asal akan menghadapi zaman akhirnya tidak lama lagi? Mungkin tidak juga kerana saya juga tertarik dengan fenomena populariti siri kartun dari Malaysia iaitu Upin dan Ipin yang begitu popular di Indonesia. Sesiapa sahaja yang melawat Indonesia tentu pernah ditanya tentang siri ini dan patah kata yang terkenal, “betul betul betul” sering diungkap sebagai pembuka perbualan di antara kita. Satu-satunya eksport ke Indonesia yang boleh dibanggakan.

Bahasa Malaysia masih punya harapan mengembangkan sayap dengan lebih luas daripada lingkaran dalam negara sahaja tetapi semua rakyat Malaysia mesti berusaha menghayatinya, tidak sahaja belajar untuk lulus peperiksaan tetapi benar-benar digunakan dalam segala bidang. Ini tidak bermakna mengenepikan bahasa-bahasa lain tetapi martabat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan mesti dipupuk dan disemai supaya sebati dengan jiwa raga rakyat.

Mencedok pengalaman bahasa Indonesia

Kalau kita sering meminjam perkataan-perkataan Bahasa Indonesia untuk menambah perbendaharaan kata Bahasa Malaysia, sewajarnyalah kita juga mengambil iktibar bagaimana rakyat Indonesia begitu bangga dengan bahasa rasminya. Indonesia sendiri mempunyai puluhan rumpun etnik dan suku kaum dengan keunikan bahasa ibunda masing-masing tetapi apabila mereka menerima kunjungan daripada pelawat-pelawat yang pertama kali ke negara itu, kita pasti disambut sekurang-kurangnya dengan ucapan ‘selamat datang’ dalam Bahasa Indonesia.

Sudah berapa ramai pelancong asing yang datang ke Malaysia menyatakan bahawa mereka faham Bahasa Malaysia kerana telah terlebih dahulu belajar Bahasa Indonesia. Di sini ramai yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia di dalam urusan mereka sehari-hari yang menambah kesukaran mempelajari dan berlatih menggunakan bahasa tersebut. Kita secara tidak sedar akan sering bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana itulah bahasa dunia ketika ini yang memudahkan perhubungan dua hala di antara dua pihak yang mempunyai bahasa ibunda berbeza.

Lain pula halnya di seberang, apabila kita berdepan dengan lebih banyak penduduk yang bertutur dalam Bahasa Indonesia, hendak tak hendak kita terpaksa mempelajari sepatah dua perkataan bahasa itu. Kalau hendak lebih mudah melawat atau menjalankan urusan di sana, kita belajar supaya lebih mahir menggunakan bahasa itu. Walaupun pengaruh Bahasa Inggeris semakin meluas terutama dalam bidang pengetahuan dan hiburan seperti muzik dan filem tetapi rata-rata penggunaan Bahasa Indonesia masih kekal utuh.

Lihat pula dan dengar perbualan pelancong-pelancong dari Indonesia terutama yang berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah mewah di Kuala Lumpur. Jika kita amati, seluruh keluarga itu akan bertutur dalam Bahasa Indonesia walaupun kemungkinan besar mereka boleh menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Bahasa Indonesia itu sudah menjadi darah daging mereka.

Itulah yang masih tidak wujud di kalangan rakyat Malaysia.