
Menurut wawancara dengan salah seorang daripada mereka, hidup bergelandangan ini bukanlah sesuatu yang diidam-idamkan. Siapakah di antara kita yang mahu terumbang-ambing di jalanan tanpa tempat berlindung dari panas dan hujan? Mereka yang masih berfikiran waras tentu sekali tidak mahu memilih jalan hidup sebegitu.
Malangnya ramai terpaksa hidup bergelandangan akibat masalah dengan keluarga masing-masing dan mereka membawa diri mencuba nasib di kota besar. Kota besar tidak memberi jaminan hidup tetapi mereka masih nekad dengan keputusan yang diambil.
Masalah kekeluargaan ditonjolkan juga dalam satu rencana akhbar tentang kumpulan ini pada tahun 2011. Apa yang menarik ialah hakikat tentang sesetengah daripada mereka yang bergelandangan ini telah hidup begitu sejak beberapa tahun lalu. Ini bererti masalah, jika mahu ditakrifkan sebagai masalah gelandangan belum dapat diselesaikan oleh pihak yang berwajib menjaga kebajikan golongan yang memerlukan.
Memang telah ada rancangan bantuan untuk menyelesaikan masalah golongan ini tetapi belum membuahkan hasil yang memuaskan.
Kedua-dua laporan akhbar tersebut menumpukan perhatian kepada kumpulan sukarelawan yang memberi bantuan makanan kepada gelandangan di tempat-tempat tertentu di bandaraya.
Menurut seorang sukarelawan, kerenah birokrasi banyak mengekang matlamat mereka membantu kumpulan sasaran secara menyeluruh. Sebagai contoh, mereka yang memerlukan tempat tinggal dikehendaki memiliki kad pengenalan sebagai tanda pengesahan tetapi ramai telah hilang kad tersebut ketika berhijrah ke ibu kota dan mencari perlindungan di kaki-kaki lima.
Kerajaan telah menubuhkan Anjung Singgah untuk kumpulan sasaran ini pada April 2011 dan menurut belanjawan 2012 akan diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak. 458 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah sehingga Februari 2012 dan mungkin ini boleh dibanggakan. Statistik sebenar tentang berapa ramai yang memerlukan perlindungan belum dikenalpasti.
Langkah-langkah kerajaan
Menurut sebuah rencana akhbar pada awal tahun 2012, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat kajian profil bagi menangani isu gelandangan, pengemis dan warga tua, khususnya di ibu kota.
Hasil kajian itu bertujuan;
-
Mendapatkan gambaran sebenar isu gelandangan di Kuala Lumpur
-
Mengenalpasti profil secara individu setiap golongan gelandangan terbabit
-
Mengenalpasti faktor berlakunya masalah gelandangan
-
Memudahkan pihak bertanggungjawab membuat perancangan bagi membantu golongan gelandangan
Data yang diperoleh merumuskan terdapat keperluan untuk mewujudkan One Stop Intervention Centre (OSIC) dalam menangani isu itu bagi tujuan:
-
Menyediakan tempat berlindung sementara kepada golongan gelandangan (homeless) produktif bekerja yang tiada tempat tinggal
-
Memudahkan golongan gelandangan dikesan dan dihubungi serta mengumpul profil gelandangan bagi tujuan menawarkan pekerjaan serta merancang program pembangunan dan sebagainya
-
Mengadakan intervensi awal kepada semua golongan gelandangan (penganggur, pesakit mental, penagih dadah, pengemis, kutu rayau dan lain-lain) melalui pendekatan multisektor
-
Memudahkan bantuan dan perkhidmatan kepada golongan gelandangan disalur dan diselaraskan
-
Membolehkan jalinan kerjasama antara agensi secara berpusat melalui jawatankuasa khas dalam merancang program pemulihan dan pengintegrasian semula golongan gelandangan ke dalam masyarakat.
Kita semua memang berharap usaha pihak berwajib ini akan mendatangkan hasil jika tidakpun seratus peratus tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan fenomena gelandangan di kota-kota besar. Apa yang pasti masalah kekeluargaan mungkin sukar dibendung kerana namapun manusia, tentulah banyak ragamnya.
Memantapkan hubungan kekeluargaan
Gelandangan bukanlah punca masalah yang sebenar tetapi hasil daripada sesuatu masalah. Kemungkinan besar profil individu akan memperlihatkan bahawa hubungan kekeluargaan sudah semakin renggang dan ramai yang membawa diri sama ada secara terpaksa atau dengan berat hati kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.
Kita yang masih bernasib baik mempunyai hubungan yang rapat dan erat sesama ahli keluarga mesti mengambil iktibar daripada golongan yang tidak bernasib baik ini. Kita hendaklah sedaya upaya mengekalkan hubungan baik yang telah sedia terjalin itu. Memang tidak mudah tetapi mesti dilakukan.
Sesebuah keluarga adalah asas dan benteng pertahanan menghadapi dugaan hidup. Tambahan pula tekanan hidup yang semakin mencabar kalau berada di kota-kota besar.
Seringkali masalah keluarga dibiarkan tanpa penyelesaian kerana tidak mahu mengaibkan mereka yang kita sayang dan hormati. Sehinggalah ke satu tahap, usaha kita tidak mencapai matlamatnya dan jalan keluar paling mudah ialah membawa diri berkelana. Mereka akan menjadi statistik kumpulan gelandangan JKM.
Berpada-padalah kalau berbalah kerana kita tidak tahu di mana penghujungnya. Masalah kecil yang dibiarkan membara menjadi api yang semarak membakar jiwa bukan sahaja yang terlibat secara langsung tetapi mereka yang prihatin juga akan terkena tempiasnya. Emosi sebenar seseorang tidak ada siapa yang tahu kecuali rela berkongsi cerita tetapi siapakah yang mahu mengingat kembali peristiwa yang dialami yang masih terasa pahit walaupun telah lama berlalu.
Diharapkan usaha JKM hasil kajian profil mereka boleh membantu kumpulan sasaran tadi. Mereka yang telah berusia dan uzur terpaksa menerima hakikat bahawa rumah kebajikan merupakan pilihan terbaik berbanding hidup di jalanan. Walaupun ramai yang masih mahu hidup bebas tanpa sekatan tetapi hakikat usia dan tahap kesihatan mungkin boleh ditekankan.
Pendekatan yang lebih menyeluruh merangkumi aspek psikologi dan agama diperlukan juga supaya kumpulan sasaran ini sedar bahawa masih ada ruang untuk mereka hidup dengan lebih selesa dan bermaruah.
Masalah utama mereka yang masih berupaya bekerja ialah pendapatan yang terlampau kecil tidak membolehkan mereka mendapat tempat tinggal kerana sewa bulanan yang tinggi. Di sinilah kerenah birokrasi mesti dikurangkan kerana jika mahu mengikut setiap peraturan secara terperinci, misalnya keperluan mempunyai kad pengenalan atau alamat kediaman sebelum layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan, sudah pastilah sehingga bila-bilapun masalah gelandangan tidak akan selesai.
Pendekatan secara menyeluruh perlu ditekankan kepada semua yang terlibat dalam usaha membanteras gejala gelandangan. Memang perlu dinyatakan berulang kali bahawa gelandangan hidup sedemikian bukan kerana kehendak sendiri tetapi keadaan yang memaksa.