Satu tindakan yang membanggakan? Perkhidmatan percubaan RapidKL untuk wanita sahaja akan bermula dari 1 hingga 31 Disember tahun ini. Perkhidmatan seperti ini merupakan yang kedua seumpamanya setelah KTM Komuter memperkenalkan koc wanita bermula dari 28 April 2010. Pengenalan kedua-dua pekhidmatan ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki.

Pertubuhan-pertubuhan wanita memang mengalu-alukan langkah yang positif daripada pihak pengurusan pengangkutan awam yang prihatin dengan nasib yang dialami oleh penumpang wanita saban waktu. Walaupun semua tindakan ini memang baik tetapi mereka menekankan betapa pentingnya menangani masalah gangguan seksual dari akar umbinya. Semua inisiatif ini juga seharusnya hanya untuk sementara sahaja kerana penyelesaian jangka panjang mesti diutamakan.

Apa yang perlu dan mesti diamati oleh semua seperti kata seorang wakil dari All Women's Action Society (Awam), ialah hakikat bahawa gangguan seksual akan berterusan selagi lelaki khususnya dan masyarakat umumnya tidak menghormati dan memberi layanan yang saksama kepada wanita.

Menghormati wanita bukanlah sesuatu yang terlampau sukar. Bermula dari lingkungan keluarga sendiri, kita semua telah didedahkan dengan kasih sayang dan belai mesra seorang insan bernama ibu. Kita semua mempunyai seorang ibu. Ibu kita seorang wanita.

Walaupun ada yang tidak berpeluang dibesarkan oleh ibu mereka sendiri, tetapi lazimnya seorang wanita akan membesarkan bayi yang baru lahir sehinggalah dia berupaya berdikari. Hakikat ini sahaja pun sudah semestinya mengingatkan kita bahawa setiap wanita yang kita temui dalam hidup berpotensi menjadi seorang ibu.

Walau bagaimana pesatnya kemajuan peradaban masa kini, seorang ibu masih memainkan peranan yang besar dalam mendidik dan membentuk anak-anaknya. Perhatikan ketika seorang kanak-kanak sakit, orang pertama yang diminta membelai atau merawatnya ialah si ibu. Walaupun semakin ramai bapa yang bertanggungjawab dan berkongsi bersama dalam urusan rumah tangga, naluri manusia itu sendiri ketika masih lemah masih mahukan si ibu. Oleh itu memang patut, malah sesuatu yang wajib untuk menghormati wanita.

Keharmonian hidup di dalam sesebuah keluarga memberi kesan yang mendalam kepada cara seseorang memberikan layanan kepada wanita yang ditemui dalam hidup masa depannya. Jika tempoh pembesaran dipenuhi dengan senario wanita dihormati, disanjung dan diberi layanan yang saksama, kemungkinan besar kita akan mengulangi perbuatan yang sama apabila dewasa.

Tanggapan terhadap 'superwoman'

Apabila wanita dilihat mudah diperlakukan sewenang-wenangnya sama ada secara mental, fizikal atau kedua-duanya sekali, tertanamlah bibit-bibit yang menyatakan wanita itu tidak sama taraf, tidak sepadan, tidak perlu dihormati atau tidak layak diberi layanan yang saksama. Kanak-kanak melihat, memerhati, memahami dan kadang-kadang mengambil bulat-bulat segala apa yang dipertontonkan sebagai sesuatu yang patut atau mesti diikuti dan diulangi. Tanpa rasa bersalah atau ragu-ragu kerana perbuatan yang dicontohi dimulakan oleh orang tuanya sendiri, di dalam lingkungan keluarganya.

Amati pula pilihan kata-kata yang digunakan untuk menjelaskan sesuatu perbuatan. Misalnya di pejabat, seorang ketua jabatan lelaki yang bertanyakan tentang butiran yang terperinci tentang sesuatu projek akan dikatakan seorang yang teliti dalam tugasnya tetapi kalau wanita dalam kedudukan yang sama akan dikatakan terlampau cerewet.

Seorang lelaki yang berpengaruh yang meninggikan suaranya dipandang sebagai seorang yang tegas tetapi seorang wanita yang meninggikan suaranya dikatakan mengikut perasaan dan emosi. Pelik tetapi benar, kita semua sudah terbiasa menggunakan perkataan yang berbeza untuk lelaki dan wanita walaupun perbuatan yang dilakukan adalah sama.

Oleh kerana semakin ramai wanita bekerja yang merupakan suatu fenomena yang akan berterusan, urusan rumah tangga pula banyak diserahkan kepada pembantu rumah. Pembantu rumahlah yang mendidik dan menjadi contoh teladan kepada generasi muda. Walaupun seseorang wanita bekerja dan mempunyai pembantu rumah, dia masih dikehendaki memenuhi peranannya sebagai seorang isteri dan ibu.

Timbullah istilah 'superwoman' , wanita berjiwa waja, memikul pelbagai tanggungjawab di samping kerjayanya. Bukan semua wanita yang berupaya memikul peranan yang dikehendaki tetapi masih dilakukan juga sebaik mungkin. Adakah pencapaian lelaki diukur dengan pembaris yang sama?

yang negatif tertanam, yang negatif pulalah yang timbul.

Hakikatnya wanita memang cekal menghadapi tekanan. Turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak atau menuntut nafkah bagi membesarkan anak-anak setelah bercerai terpampang di akhbar saban hari. Walaupun terdapat banyak halangan dan rintangan, mereka berusaha terus tanpa putus asa mendapatkan hak yang sepatutnya.

Seperti yang kita sedia maklum, perceraian bukan bererti berakhirnya tanggungjawab salah seorang ibu bapa. Kedua-duanya masih memainkan peranan membentuk, mendidik dan mempengaruhi tingkah laku dan hala tuju anak-anak mereka pada masa hadapan. Itulah salah satu punca gangguan seksual yang kelihatan remeh pada pandangan sesetengah pemerhati. Pendidikan dan tunjuk ajar semasa membesar membentuk sikap kanak-kanak dan terus sebati dengan jiwa mereka sehingga dewasa.

Negatif tertanam, negatif timbul

Media massa juga memainkan peranan memaparkan perlakuan dan layanan yang sepatutnya diberi kepada wanita. Jika iklan yang mengeksploitasi keanggunan dan kejelitaan wanita bertubi-tubi ditonjolkan, tanpa ada apa-apa kaitan dengan barangan yang hendak dijual, apa kesimpulan para pendengar, penonton dan pembaca?

Contoh mudah ialah model wanita berpakaian seksi dalam pameran kereta. Apakah kaitan wanita berpakaian seksi dengan kereta yang hendak dijual? Adakah secara tidak langsung, pengiklan, pengedar dan penjual mahu menyatakan bahawa kereta itu juga seksi seperti wanita tersebut, atau wanita itu sendiri adalah suatu barangan yang sama tarafnya dengan kereta?

Jika itulah yang hendak dinyatakan kepada orang ramai, bahawa wanita adalah juga jelmaan sesuatu barangan, paparan seperti ini juga merupakan faktor dalam peningkatan gangguan seksual terhadap wanita. Kalau wanita dianggap barangan yang boleh dijual beli, tentulah lelaki mendapat lampu hijau memperlakukan wanita sesuka hati mereka.

Rasa hormat hilang, yang ketara hanya keinginan mempergunakan wanita walaupun hanya bergesel sebentar di dalam kesesakan berebut-rebut menaiki bas atau tren.