Tajuk rencana itu sendiri -- 'I don't know if I can really call myself a Malaysian' -- patut memberi peringatan kepada para pemimpin Malaysia tentang perasaan salah seorang rakyatnya yang berasa terpinggir. 'Saya tidak tahu sama ada saya boleh mengatakan saya orang Malaysia' tersiar di laman berita The Nut Graph dalam wawancara sesawang portal itu dengan aktivis masyarakat pribumi dari Sarawak, Nicholas Mujah.

Di akhir wawancara itu, Mujah menyatakan tiga perkara yang masih menjadi persoalan kepadanya yang menyebabkan dia ragu-ragu mmberitahu orang lain bahawa dirinya orang Malaysia.

Sebagai seorang Iban Dayak, dia tidak terjumpa apa-apa peruntukan di dalam perlembagaan yang mengatakan bahawa seorang Dayak berhak ke atas negara yang dipanggil Malaysia. Kedua, dia bangga mengatakan dirinya pribumi dari Sarawak, Malaysia dan Artikel 161A atau 153 perlembagaan pun menyatakan bahawa tumpuan khusus patut diberi kepada pribumi tetapi di dalam mana-mana dokumen atau borang rasmi, tidak ada ruang untuk mereka yang sepertinya. Ketiga, dia amat bimbang orang Iban tidak akan dibenarkan menggunakan perkataan 'Allah' dalam bahasa mereka kerana tidak ada perkataan lain yang boleh menggantikan pengertian perkataan tersebut.

Bandingkan pula wawancara dengan Bernard Dompok yang tersiar di laman web yang sama. Dia pula menyatakan kebimbangannya akan terpupus bahasa Kadazandusun kerana ramai kanak-kanak menggunakan Bahasa Melayu pada masa ini.

Dompok telah berusaha memastikan bahasa Kadazandusun diajar di sekolah dan hasilnya bahasa itu akan ditawarkan sebagai salah satu mata pelajaran di peringkat peperiksaan SPM pada tahun ini. Dua tahun dahulu bahasa itu berjaya menjadi salah satu mata pelajaran di peringkat SRP.

Dia juga menyentuh tentang Artikel 153 yang memberi tumpuan kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak. Mengikut pemahamannya, artikel itu menyatakan tentang hak dan landasan diberikan kepada orang Melayu dan pribumi, bukan orang Melayu sahaja. Malangnya apa yang terjadi ialah setengah-setengah orang hanya berfikir bahawa artikel itu khusus untuk orang Melayu sahaja. Katanya, kerana itulah dia berusaha mengubah tanggapan tersebut dan setakat ini ada sebuah jawatankuasa kabinet tentang pribumi Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri yang cuba menangani isu-isu berkaitan kumpulan ini.

Di akhir wawancara, dia menyatakan perlunya penekanan diberi kepada kata nama Malaysia itu sendiri. Kita memang patut berbangga dengan asal usul masing-masing tetapi apa yang mesti dipupuk ialah kaitannya dengan konsep negara itu. Padanya, sama ada kita orang Kadazan, Cina atau apapun, semua itu hanya kata penerang yang menjelaskan identiti kita tetapi pokok pangkalnya, kita semua orang Malaysia.

Pandangan dua orang Malaysia dari seberang Laut China Selatan.

Cadangan referendum

Penduduk di Semenanjung Malaysia sentiasa sibuk dengan masalah mereka hinggakan kadang-kadang terlupa rintihan saudara senegaranya. Dua buah negeri yang kaya dengan hasil bumi digunakan untuk membantu pembangunan seluruh negara. Dua buah negeri yang mempunyai penduduk pribumi sendiri digunakan undi mereka untuk mengimbangi kepelbagaian negara. Mereka punya kuasa dan keunikan tersendiri tetapi memang sering diketepikan di dalam banyak usaha di peringkat persekutuan.

Apakah ada tanda-tanda rasa tidak puas hati penduduk di kedua-kedua negeri itu akan membawa kepada perpecahan Malaysia akhirnya?

Dilihat secara rambang dari sumber di laman-laman web misalnya, memang ada suara-suara yang mahukan kedua-dua negeri itu membawa haluan sendiri. Menurut berita yang tersiar, ada sekumpulan ahli politik dan aktivis dari kedua-dua negeri yang sedang berbincang secara serius dan bercadang mengetengahkan kes mereka ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka mahukan satu referendum berhubung status negeri-negeri tersebut sebagai sebuah negara yang merdeka.

Perlukah kita di negeri-negeri lain di Malaysia bimbang dengan sentimen yang wujud ini? Atau apa yang terjadi di sana tidak akan memberi kesan kepada kita walau apapun yang terjadi.

Majoriti daripada kita mungkin memahami keluhan perasaan saudara kita di Sabah dan Sarawak. Apa tindakan susulan kita? Sokong mereka supaya merdeka dari cengkaman pihak pemerintah sekarang atau berusaha supaya mereka masih kekal sebagai salah satu negeri di Malaysia.

Setelah 47 tahun di dalam Malaysia, tentu ramai penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah berinteraksi sesama sendiri melalui hubungan kerja, sahabat atau kekeluargaan. Perpecahan hanya akan memisahkan kita secara formal dan pasti identiti baru yang timbul akan mencapai kemajuan dalam acuan masing-masing.

Lihat sahaja bagaimana Singapura dan Malaysia masih mempunyai hubungan yang rapat setelah perpisahan yang berlaku pada tahun 1965 walaupun kadangkala timbul perselisihan faham. Lihat juga Brunei yang tidak menyertai Malaysia terus menuju matlamatnya dalam acuannya sendiri. Kedua-dua negara tersebut, Singapura dan Brunei masih menjadi jiran tetangga yang sering membantu kita ketika susah dan senang.

Cuti Sept 16 tidak memadai

Hubungan di peringkat rakyat pula memang tidak dapat diputuskan walaupun ada sesetengah pemimpin politik yang mahu melaga-lagakan kita. Memang ada segolongan ahli politik yang sentiasa berfikir tentang agenda mereka sahaja tanpa mempedulikan kesannya kepada orang ramai. Kita tidak perlu mengikut rentak irama mereka; kita boleh membuat keputusan sendiri.

Kalau pemimpin dari Semenanjung benar-benar mahu penduduk Sabah dan Sarawak menjiwai konsep satu Malaysia, usaha yang lebih berkesan mesti dilaksanakan. Mengisytiharkan Hari Malaysia pada September 16 sebagai hari kelepasan umum tidaklah memadai. Hubungan dua hala tidak seharusnya terhad pada masa kempen-kempen pilihanraya sahaja.

Lihat sahaja satu perkara yang mudah. Titi runtuh. Ini berlaku pada Ansari Abdullah, calon PKR untuk pilihanraya kecil Batu Sapi di Sabah, dan perkara yang sama hampir-hampir dialami oleh Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dalam lawatannya ke Kampung Gersik di Kuching, Sarawak. Kalau titi menjadi penghubung utama penduduk tempatan ke dunia luar, pastikan peruntukan yang secukupnya tersedia untuk penyelenggaraan kemudahan awam itu.

Titi juga boleh dikatakan simbolik dalam hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Titi yang ada mesti dikukuhkan dan diselia sepanjang masa. Jangan abaikan, jangan lupakan. Usaha berterusan perlu. Itulah yang perlu sentiasa diingat oleh ahli politik di Semenanjung.

Penduduk Sabah dan Sarawak bukan untuk dikotak-katikkan. Mereka mesti dihargai. Hak mereka sebagai rakyat Malaysia jangan diambil-mudah.