Surat daripada seorang pembaca yang tersiar di akhbar the Star (Dis 9, 2010) boleh memberi nafas baru dalam usaha pemimpin Malaysia sendiri untuk mencari satu formula yang berupaya merangsang rakyatnya supaya lebih bersatu dan merasakan diri mereka benar-benar sebahagian daripada negara ini.

 Surat itu ekoran daripada laporan tentang sebuah buku oleh Dan Buettner bertajuk ‘Thrive, Finding Happiness the Blue Zones Way’ yang menyatakan bahawa Singapura merupakan tempat paling bahagia di Asia.

Singapura terpilih berdasarkan data daripada Gallup, World Values Survey dan World Database on Happiness.

  Penulis buku itu menyatakan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebahagiaan pada peringkat dunia adalah toleransi, kesamaan status, keselamatan, saling mempercayai, kemudahan untuk rekreasi dan keselamatan kewangan. Di Singapura, rakyat dari pelbagai kaum merasakan mereka sebahagian negara tersebut. Mereka juga percayakan kerajaan dan polis.

Malaysia juga tentu setanding kerana kita punya gagasan 1Malaysia. Cuma pelaksanaannya tidak setimpal dan seiring dengan kata-kata yang diutarakan.

Toleransi pada zaman sebelum Merdeka

 Toleransi adalah titik tolak bagi masyarakat majmuk seperti kita. Kenapakah tahap toleransi semakin berkurangan?

 Pada suatu ketika, dalam tahun-tahun sebelum Malaysia terbentuk dan negara ini masih di bawah perintah orang luar, rakyat berbilang kaum boleh berbalas-balas ejek-mengejek dengan kata-kata seperti “Orang Melayu makan belacan, orang Cina makan babi??? tanpa berfikir dua kali. Secara spontan kata-kata itu diluahkan tetapi tidak langsung membawa maksud menghina peribadi atau latar belakang orang yang dikatakan itu. Sebaliknya kata-kata itu lebih merupakan satu kenyataan, satu perbezaan yang boleh diterima oleh si penuturnya tentang sahabatnya.

  Orang Melayu menerima hakikat bahawa ada rakan Cina mereka yang makan babi, dan tidak perlu was-was atau sangsi tentang ikatan persahabatan di antara mereka walaupun diet pemakanan mereka berbeza. Toleransi menerima seadanya corak hidup dan adat resam sahabat yang berlainan agama dan bangsa. Mereka tetap sahabat kita, jiran tetangga, rakan di sekolah dan di pejabat juga.

Pertalian ini sehingga ke tahap bergurau tentang bentuk rupa seseorang misalnya “Cina mata sepet, Melayu hidung kemek???. Namun sekarang banyak pembedahan plastik yang mudah diperolehi, jadi gurauan seperti ini tidak wujud lagi.

  Oleh kerana sikap toleransi tertanam begitu mendalam dalam jiwa, semua orang dianggap sama rata, manusia biasa. Walaupun wujud perbezaan tetapi toleransi membantu setiap penduduk melihat gambaran yang lebih menyeluruh. Pandangan dan tindakan apapun yang diambil akan difikirkan terlebih dahulu kerana hasilnya pasti melibatkan semua bukan kelompok sendiri sahaja.

Tindakan terburu-buru, tergesa-gesa, hentam kromo tidak akan mendatangkan hasil yang dikehendaki. Hasil jangka pendek mungkin ada, tetapi dalam jangka masa yang lebih panjang kesan yang berlawanan pula akan timbul. Ketika itu, pemangkin tindakan kemungkinan besar sudah tidak ada lagi untuk dipertanggungjawabkan, malahan anak cucunya pula yang menerima padah.

Tindakan terburu-buru, tanpa berfikir panjang tidak melambangkan sikap toleransi. Kadang-kadang, berhenti sejenak, mengambil nafas sesaat dua sebelum meluahkan perasaan amarah atau bertindakbalas terhadap kata-kata orang lain boleh membantu. Kalau diikutkan perasaan, memang sumpah seranah, maki hamun yang terlontar. Toleransi entah ke mana.

Cuba berfikir di luar lingkungan selesa

Perbalahan, perdebatan dan perbezaan pendapat adalah lumrah hidup tetapi cara kita menanganinya yang akan memberi petunjuk kepada satu penyelesaian yang boleh memuaskan hati semua pihak yang terlibat.

Toleransi tidak bererti kita mengaku kalah atau membenarkan kepala kita dipijak sewenang-wenangnya. Percanggahan pendapat dan pandangan tidak boleh dianggap sama seperti satu medan peperangan yang mesti ada kalah dan menangnya. Seharusnya ditekankan hasil yang memberi faedah kepada semua pihak. Semua mahukan pendapat mereka mendapat tempat dan dilaksanakan tetapi hakikatnya tidak semua yang akan bersetuju. Adakah kerana ada yang tidak bersetuju, mereka harus dipandang sepi?

  Pendapat yang berbeza itu ada juga manfaatnya, merangsang kita berfikir di luar lingkungan selesa yang sedia ada. Kalau pendapat itu salah, kita perlu berikan hujah yang bernas untuk menyatakan di mana silapmya. Bertikam lidah memang sering berlaku apabila perbezaan pendapat timbul di dalam sesuatu perbincangan tetapi beri masa dan peluang kepada pihak lawan menyatakan pandangan mereka.

Memang sukar mengawal perasaan tetapi kata-kata yang diucapkan ketika perasaan marah membara di dada seringkali bukan apa yang hendak diluahkan pada mulanya. Di sinilah toleransi memainkan peranan sekali lagi. 

 

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

 Kalau toleransi boleh dipupuk sejak kecil dan daripada bangku sekolah lagi, pasti kanak-kanak yang meningkat dewasa akan lebih faham betapa pentingnya sikap yang mulia ini menjadi sebahagian daripada jiwa mereka. Di sekolahlah, peranan tenaga pengajar menjadi begitu penting kerana selain ibu bapa atau penjaga, sekolah merupakan ruang terbaik untuk membentuk kanak-kanak menjadi manusia yang lebih toleransi.

  Kanak-kanak memang mudah dibentuk ke dalam acuan apapun yang diingini. Sikap ibu bapa dan guru menjadi contoh kepada kanak-kanak. Kalau bapa borek, anak rintik dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

Pemilihan dan latihan untuk tenaga pengajar di sekolah-sekolah mesti diteliti semula supaya mereka berupaya menanam sikap toleransi ke dalam jiwa kanak-kanak sejak kecil lagi. Toleransi bukan sahaja terhadap mereka yang berlainan agama dan bangsa, malahan hormat-menghormati sesama manusia sendiri tidak kira jantina, paras rupa atau kesempurnaan anggota tubuh badan atau minda. Manusia yang memang pelbagai, meliputi yang kurang upaya juga perlu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Toleransi dalam konteks ini akan memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan dan tidaklah tersisih dalam kesibukan arus pembangunan.

Toleransi memang sesuatu yang mudah diterap ke jiwa jika semua benar-benar mahu. Kalau tidak mahu bertoleransi, kemungkinan Malaysia menjadi negara paling bahagia mengikut ukuran apapun memang amat sukar.