Rancangan Malaysia Ke-10 merupakan pelan induk pelaksanaan strategik lima tahun (2011-2015) untuk membawa perubahan struktural. Usaha ‘mentransformasi’ – istilah dipinjam daripada GTP ataupun Program Transformasi Kerajaan – akan diadakan untuk membentuk negara sebagai suatu ekonomi berpendapatan tinggi.
Berikut pengolahan saya setelah meneliti RMK10 yang dibentangkan di Parlimen pada Jun 10. Di antara kemusykilan yang ditimbulkan oleh RMK10 ialah:
Adakah 1Malaysia sudah menggantikan Rukunegara?
Sejak 1970, dengan bermulanya Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), setiap pelan pembangunan telah menggunakan Rukunegara sebagai landasan ‘ideologi’ bagi memandu arah pembangunan negara.
Rukunegara merupakan asas persefahaman ‘kontrak sosial’ antara kaum supaya perpaduan negara dijadikan matlamat utama yang senantiasa harus dipupuk oleh semua, termasuk para penggubal dan pelaksana dasar pembangunan.
Inilah sebabnya pernyataan Rukunegara akan dicetak di setiap dokumen Rancangan Malaysia. Namun, dalam RMK10, didapati bagi julung kalinya sejak tahun 1971 dan RMK2, Rukunegara langsung tidak disebut dan tidak dicetak dalam sebuah dokumen Rancangan Malaysia.
Ke mana agaknya ‘hilang’ Rukunegara? Jika betul Rukunegara tidak dikira penting, adakah ini melambangkan 1Malaysia menjadi gantinya? Apakah sudah diterima cukup maklum balas serta dilaksanakan pemantauan terperinci untuk mendapat persetujuan baru ini?
Harus diingati bahawa Rukunegara diterimapakai selepas perundingan yang dipelopori oleh Majlis Perundingan Perpaduan Negara serta melalui satu proses musyawarah.
Harus juga diingat bahawa Rukunegara telah dipersetujui Parlimen dan diisytiharkan secara rasminya pada Hari Merdeka Ogos 31 tahun 1970. Inikan dengan senyap-senyap, 1Malaysia menyusup masuk ke dalam RMK10.
Bukan Mahathir, bukan Pak LahNyata sekali RMK10 beracuan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri kita yang keenam, Najib Razak. Maka RMK10 mungkin akan dikenangi khalayak ramai kelak sebagai kesan peninggalan Najib dalam sejarah pembangunan negara.
Usaha untuk mengaitkan ‘1Malaysia dalam konteks Islam’1 dengan mengunakan ayat-ayat al-Quran boleh difahami sebagai langkah ‘menutup bab’ Islam Hadhari yang dianjurkan oleh Pak Lah dengan gahnya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) – yang baru sahaja berakhir.
Sekiranya sesetengah golongan kaum Melayu, khususnya parti PAS masih was-was terhadap ciri ‘keIslaman’ konsep 1Malaysia, dengan terselitnya ayat-ayat tersebut maka diharap agar keraguan mereka akan dapat dikikis selepas ini.
Begitu juga dengan tabik yang diberikan kepada Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh pentadbiran Mahathir. Dengan penuh sopan, RMK10 merujuk seperkara kepada wawasan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk menjaga hati Tun. Akan tetapi, RMK10 tidak pula menyentuh sembilan cabaran masa depan Wawasan 2020.
Rakyat diseru melakukan perubahan
Perdana Menteri Najib Razak dalam melancarkan RMK10 telah berkata:
“Dalam melaksanakan Rancangan ini, keputusan kritikal untuk membawa perubahan perlu diambil. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berganding bahu dan memberikan sepenuh usaha dalam merebut peluang yang ada untuk melakukan perubahan yang sukar ini demi masa hadapan negara dan generasi akan datang???.2
Memang benar rakyat harus bersedia untuk menghadapi cabaran serta rela untuk berubah demi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
Walaubagaimanapun dalam konteks masakini, seruan tersebut harus ditafsirkan sebagai petanda awal bahawa kerajaan berhasrat mengenakan beberapa langkah yang mungkin tidak disenangi oleh rakyat, seperti pemotongan subsidi serta pelaksanaan GST.
Dalam mendorong sesuatu masyarakat supaya maju jaya, seruan seumpama ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa. Nescaya itu, seruan yang sama harus juga ditujukan kepada mereka yang terlibat dalam ‘patronage politics’ (yang memanfaatkan mereka-mereka yang mempunyai penaung politik) dan kegiatan ‘rent seeking’ (mendapat untung daripada komisyen).
Nampaknya Najib tidak berani menghadapi cabaran Perkasa dan Kongress Ekonomi Bumiputera meskipun Model Ekonomi Baru telah memgenalpasti isu kebocoran dan ketirisan sebagai masalah pokok yang membuntukan ekonomi negara selama ini.
Ketara sekali Najib gagal menangani tuntutan dan tekanan daripada golongan nasionalis Melayu. Lantaran itu, politik ‘patronage’ berterusan dan impian pembangunan ala-1Malaysia dikompromi.
Rakyat diutamakan
RMK10 menonjolkan prinsip keadilan sosial 1Malaysia, iaitu tiada rakyat terpinggir dan kesamarataan peluang akan disediakan tanpa mengira etnik, latarbelakang dan lokasi. Kata-kata yang sedap telinga tetapi apakah programnya?
Harapan bahawa RMK10 akan membawa satu pendekatan baru dan inovatif bagi mengatasi masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan tidak dipenuhi.
Di antara lain:
- Kegagalan untuk menyemak semula dan menetapkan satu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang realistik. PGK yang berkisar kepada RMK9 masih dipakai tanpa penyelarasan semasa;
- Ketiadaan dasar penyesuaian PGK setiap tahun dengan Indeks Harga Pengguna – sepertimana amalan antarabangsa, termasuk yang digunakan oleh negara membangun seperti Sri Lanka;
- Keengganan untuk memperkenalkan Akta Gaji Minima untuk menangani masalah pekerja golongan berpendapatan rendah; dan
- Penolakan cadangan MEB bagi menubuhkan satu ‘Equal Opportunities Commission’3 yang boleh menjadi badan penimbangtara supaya semua pihak akan mendapat peluang secara saksama. Sebaliknya, pengumuman penubuhan Majlis Tertinggi untuk melaksanaan “agenda pembangunan Bumiputera???4 telah menjejaskan wujudnya keadilan sosial.
Walhal demikian, masih sempat lagi dibuat pembetulan serta diambil langkah yang adil dan saksama. Kerajaan boleh menubuhkan satu majlis bagi melaksanakan agenda pembangunan ‘Rakyat Berpendapatan Rendah’. Ini akan menentukan bahawa sasaran ekonomi berpendapatan tinggi tercapai.
Apa yang baru?
RMK10 kononnya berpaksi kepada segala-galanya yang ‘baru’ – model baru, semangat baru dan tekad baru.
Ianya indah khabar dari rupa kerana pada hakikatnya ‘Lima Teras Strategik’ adalah hanya ‘kitaran semula’ daripada Rangka Rancangan Jangka Panjang (2001-2010), yakni:
- Meningkat daya saing global melalui inovasi dan produktiviti;
- Keperluan sumber manusia yang kreatif, inovatif dan berdaya saing;
- Keperluan untuk membangun, menarik dan mengekalkan modal insan setaraf dunia; dan
- Membangunkan industri nilai tambah dan ‘knowledge-intensive’ (intensif kepada pengetahuan).
Begitu juga dengan “10 Premis Utama???. Sebagai contoh, ‘Premis Utama (2) – Memanfaatkan kepelbagaian etnik untuk mencapai kejayaan di arena antarabangsa’ adalah premis Multimedia Super Corridor yang pertama kalinya diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000) manakala “Premis Utama (10) – Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing??? telah dikelolakan oleh Mahathir melalui konsep ‘Malaysia Inc.’ sejak awal-awal lagi pada tahun 1983!
Kesimpulan
Kerajaan telah terlepas peluang mencatatkan sejarah dengan suatu anjakan paradigma, yang sebenarnya amat diperlukan untuk negara mara ke depan. Malangnya, perancangan pembangunan bagi mengharungi abad ke-21 masih berpaut kepada pertumbuhan ekonomi materialistik.
Malah perancangan terus dirangka dengan menggunakan ‘lensa etnik’. Kerajaan nampaknya tidak mampu terlepas daripada ikatan memenuhi kehendak dan desakan golongan yang diwakili Perkasa, Kongress Ekonomi Bumiputera dan puak-puak berkepentingan yang lain.
Kesiannya kerajaan kita kini tercicir peluang untuk menggubal Rancangan Malaysia berdasarkan pembangunan holistik untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan jurang pendapatan, memelihara alam dan sumber-sumber semulajadi.
Nota kaki
1 Rancangan Malaysia Ke-10, Unit Perancang Ekonomi, Putrajaya; ms.11
2 Prakata, RMK10
3 Laporan “New Economic Model[ MEB], MTEN, Putrajaya; ms.24
4 Teks Ucapan Perdana Menteri membentangkan RMK10 pada Jun 10, 2010