Dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) ‘Bab 4: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif’ membentangkan suatu penilaian mengenai kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Berhubung dengan objektif utama DEB, iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, dokumen tersebut menyatakan bahawa kemiskinan keseluruhan telah berkurangan dengan ketara.
Kita diberitahu bahawa kadar kemiskinan telah turun dari 49.3% pada tahun 1970 ke 3.8% pada tahun 2009. Bilangan isi rumah miskin berkurangan dari 791,800 pada tahun 1970 ke 228,400 pada tahun 2009 – satu pencapaian yang membanggakan.
Ini bermakna pada masakini, tinggal satu juta (daripada 26 juta) warga Malaysia yang masih dianggap miskin.
Harus diperhatikan bahawa angka tersebut adalah dikira berasaskan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh kerajaan pada RM800, yakni purata gaji atau pendapatan bulanan untuk isi rumah dengan 4.2 orang ahli. PGK per kapita bulanan ditetapkan pada RM198.
Ini bermakna sesebuah isi rumah dengan pendapatan bersama RM801 sebulan atau seseorang individu dengan pendapatan RM200 sebulan tidak akan dikelaskan sebagai miskin!
Perbandingan insiden kemiskinanRMK10 tidak pun merujuk kepada kajian separuh penggal RMK9 (KSP-RMK9, 2008). Mungkin ada sebab-sebab tersendiri mengapa para penggubal RMK10 hanya membuat perbandingan data penting dengan menggunakan tahun 2004 sebagai tahun asas serta mengabaikan hasil pemantauan KSP-RMK9.
Penganalisaan maklumat yang dibekalkan dalam RMK9 (2006-2010) dan KSP-rancangan tersebut memberi satu gambaran berlainan mengenai kadar kemiskinan.
RMK9 mengumumkan sasaran “untuk membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan pada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.??? Kini RMK10 melaporkan bahawa insiden kemiskinan adalah 3.8 peratus pada tahun 2009 dan sasaran kerajaan adalah supaya ianya dikurangkan kepada 2.0 peratus sesampai tahun 2015.
Soalnya, adakah kemiskinan tegar akan dibasmikan serta insiden kemiskinan keseluruhan akan dikurangkan sebanyak 1.0 peratus menjelang akhir tahun 2010? Apakah langkah-langkah khusus yang telah dan akan diambil dalam tempoh lima bulan akan datang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh RMK9?
Ataupun adakah sasaran baru RMK10 bermakna kerajaan telah gagal mencapai sasaran RMK9?
Walhal demikian, harus diingati bahawa KSP-RMK9 melaporkan bahawa insiden kemiskinan telah dikurangkan kepada 3.6 peratus pada tahun 2007. Jadi kenapa pula pada tahun 2009 insiden kemiskinan dikatakan telah meningkat kepada 3.8 peratus seperti yang tercatat dalam RMK10?
Perbandingan insiden kemiskinan KSP-RMK9 (2007) dan RMK10 (2009)
Wilayah | KSP-RMK9 [%] | RMK10 [%] | Peratusan [+/-] |
Semenanjung | 2.3 | 2.0 | (-) 0.3 |
Sabah | 16.0 | 19.2 | (+) 3.2 |
Sarawak | 4.2 | 5.3 | (+) 1.1 |
Malaysia | 3.6 | 3.8 | (+) 0.2 |
Iinsiden kemiskinan sebenarnya telah meningkat sebanyak 0.2 peratus dalam tempoh dua tahun 2007-2009. Jelas bahawa insiden kemiskinan di Sabah dan Sarawak telah meningkat sejak tahun 2007. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan tersebut? Apakah rakyat di Sabah dan Sarawak telah dipinggirkan dalam pelaksanaan program pembangunan membasmi kemiskinan?
Dokumen RMK10 tidak memberi apa jua penjelasan mengenai peningkatan insiden kemiskinan tersebut.
Isi rumah pendapatan rendah
RMK10 menyatakan bahawa terdapat 2.4 juta isi rumah berpendapatan rendah dengan purata pendapatan bulanan RM1,440. Pembahagian isi rumah ialah 1,233,600 ataupun 51.4% di ‘Bandar’ dan 1,166,400 ataupun 48.6% di ‘Luar Bandar’.
Sasaran yang ditetapkan ialah “untuk meningkatkan purata pendapatan 40 peratus isi rumah dari RM 1,440 pada 2009 ke RM2,300 pada 2015.???
Dalam perkara ini RMK10 membekalkan dua set data yang agak mengelirukan.
Set data pertama adalah seperti jadual berikut: (RMKe10; ms.151)
Isi rumah | Peratusan | Bilangan |
Miskin Tegar | 1.8 | 43,200 |
Miskin | 7.6 | 182,400 |
Berpendapatan Rendah | 90.6 | 2,174,400 |
Jumlah | 100.0 | 2,400,000 |
Set data kedua mengenai kelas pendapatan yang dikira daripada Carta 4-3 (RMK10; ms.152) menunjukkan profail yang berbeza.
Kelas Pendapatan [RM/Sebulan] | Isi Rumah [%] | Bilangan isi rumah |
< 500 | 1.2 | 72,294 |
500-999 | 6.1 | 367,495 |
1,000-1,499 | 14.2 | 855,480 |
1,500-1,999 | 11.9 | 716,915 |
Jumlah | 32.4 | 2,012,184 |
Isi rumah dalam kelas pendapatan <RM500 harus dikategorikan sebagai ‘miskin tegar’ mengikut kriteria PGK separuh penggal yang digunapakai oleh kerajaan. Ini bermakna angka untuk miskin tegar seharusnya 72,294 isi rumah dan bukan 43,200 seperti yang dilaporkan.
Berdasarkan PGK purata nasional RM800, sekurang kurangnya 80 peratus daripada isi rumah dalam kelas RM500-999 harus diklasifikasikan sebagai ‘miskin’, iaitu 293,996 isi rumah berbanding dengan angka 182,400 yang dicatatkan.
Tambahan pula, RMK10 tidak memberi data mengenai kadar kemiskinan atau isi rumah berpendapatan rendah mengikut kumpulan etnik atau mengikut negeri seperti yang dibuat oleh semua Rancangan Malaysia sejak RMK2 (1971-1975).
Apakah isi rumah miskin sebenar?
Pendirian kerajaan bahawa sesebuah isi rumah dengan 4.2 anggota dapat menampung segala keperluan hidup [makanan dan bukan-makanan] dengan RM800 sebulan ternyata tidak realistik.
Seharusnya kerajaan perlu mengamalkan kaedah antarabangsa yang menetapkan PGK sebagai separuh purata pendapatan bulanan isi rumah nasional. Memandangkan RM4,025 didtapkan sebagai purata pendapatan bulanan isi rumah nasional, maka PGK baru hendaklah sekurang-kurangnya RM2,000.
Sekiranya RM2,000 sebulan ditetapkan sebagai PGK, hampir 1.3 juta isi rumah bersamaan dengan 32% daripada jumlah isi rumah dalam negara akan dikelaskan sebagai golongan miskin.
Dari sudut kumpulan etnik pula, profail kemiskinan yang terdapat adalah seperti dipaparkan dalam jadual berikut:-
Komposisi isi rumah mengikut kumpulan etnik, 2010
(Anggaran berdasarkan pendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah)
Kumpulan etnik | % | Bilangan isi rumah | % dlm kumpulan etnik | |
Bumiputera | 73.0 | 1,469,000 | 43.2 | |
Cina | 16.7 | 336,000 | 21.2 | |
India | 6.7 | 135,000 | 31.8 | |
Lain Lain | 3.6 | 72,100 | 81.5 | |
Jumlah | 100.0 | 2,012,100 | -- |
Melihat pada data di atas, tiada mana-mana kumpulan etnik yang dikecualikan daripada tergolong dalam isi rumah miskin atau berpendapatan rendah. Hampir 43% isi rumah kaum Bumiputera, 21% isi rumah kaum Cina, 32% isi rumah kaum India dan 82% isi rumah kaum ‘Lain Lain’ terbabit.
Jelas bahawa masalah kemiskinan adalah gejala yang dicerminkan dalam sesuatu kelas sosio-ekonomi dan bukannya terhad kepada sesuatu kaum etnik sahaja.
Untuk merealisasikan hasrat pembangunan inklusif, maka program dan projek pembasmian kemiskinan seharusnya menggunakan pendekatan holistik yang ‘buta etnik’ supaya semua warga miskin mendapat manfaat yang setara.
RMKe10, ms. 147
RMKe9, ms. 360
KSP-RMKe9, ms.58
RMKe10, ms. 153