Dalam tempoh empat bulan yang lepas, kerajaan telah mengumumkan dua dasar awam yang penting berkenaan golongan berpendapatan rendah.

Pengumuman tersebut terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (PTK) pada Januari 2010 dan Model Ekonomi Baru (MEB) pada Mac 2010.

PTK yang diterajui oleh Pemandu, yakni Unit Pengurusan Prestasi di dalam Jabatan Perdana Menteri, menggunakan definasi berikut:

 

“Isirumah Berpendapatan Rendah (LIH) adalah isirumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM2,000 sebulan, yang mewakili 75% median pendapatan di Malaysia. Ia ditakrifkan sebagai jumlah purata nasional.??? 1

 

MEB yang diterajui oleh MTEN ataupun Majlis Tindakan Ekonomi Negara pula mendefinasikan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan sebagai kumpulan sasaran.2

Dalam pada itu, Bajet 2010 yang dibentangkan pada Oktober 2009 telah menafsirkan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 sebagai golongan berpendapatan rendah.3

Jelas bahawa dokumen-dokumen tersebut menggunakan definasi berlainan untuk menghuraikan golongan yang sama. Kenapa ada perbezaan ini?

Adakah ianya disebabkan tiada penyelerasan antara Pemandu, MTEN dan Kementerian Kewangan walaupun ketiga-tiga badan ini berada di bawah penyeliaan Perdana Menteri? Apakah MTEN tidak mengetahui tafsiran yang digunakan oleh Bajet 2010 dan PTK?

Yang lebih penting, adakah ini menunjukkan suatu percanggahan di antara kaedah pemantauan ketiga-tiga agensi pusat tersebut?

Ke arah Rancangan M’sia Ke-10

Walau apapun alasannya, perbezaan-perbezaan yang disebutkan membawa implikasi bahawa tidak wujud penyeragaman definasi mengenai golongan berpendapatan rendah.

  • Kumpulan Sasaran – pasti akan timbul kekeliruan di antara agensi pelaksana tentang siapa sebenarnya pelanggan mereka?
  • Dasar Pembangunan – apakah kriteria perancangan yang akan digunakan dalam membentuk program dan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 [tahun 2011-2015]?
  • Sistem Penyampaian Perkhidmatan – agensi manakah yang akan dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan program bagi golongan berpendapatan rendah? 4

Rancangan Malaysia Ke-10 yang lazimnya diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) harus menggunakan satu definasi yang jitu supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan agensi-agensi dan para pegawai kerajaaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program dan projek kesejahteraan golongan berpendapatan rendah.

Dalam konteks ini pernyataan masalah yang dirumuskan oleh MTEN (sedutan Bahasa Inggeris di bawah) dalam MEB mengenai pendapatan isi rumah adalah amat penting.



Memang benar masalah pokok ialah jurang perbezaan pendapatan di antara golongan isi rumah dalam negara. Maklumat yang terkandung dalam gambarajah graf (Fig. 19) harus digunakan sebagai rujukan bagi memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat jelata.

 

Pada 2009, jumlah isi rumah dalam negara ialah 6.2 juta. Pembahagian isi rumah berasaskan purata pendapatan bulanan adalah seperti di dalam jadual berikut:


GOLONGAN JUMLAH ISI RUMAH (juta) PURATA PENDAPATAN BULANAN (RM)
20% teratas 1.2 8,157
40% pertengahan 2.4 2,957
40% terbawah 2.4 1,222

Rumusan daripada data di atas ialah:

  • Sejumlah 2.4 juta isi rumah boleh diklasifikasi sebagai golongan berpendapatan rendah dengan purata pendapatan bulanan RM1,222.
  • Jurang perbezaan di antara 20% teratas dan 40% terbawah ialah 85%.
  • Sekiranya RM2,000 yang didefinasikan oleh PTK digunakan maka adalah dianggarkan bahawa sejumlah 3.2 juta atau 55 peratus isi rumah dalam negara harus diklasifikasikan sebagai golongan berpendapatan rendah.
  • Sekiranya RM3,000 yang diumumkan melalui Bajet 2010 digunakan sebagai garis panduan, maka sejumlah 4.8 juta atau 80 peratus isi rumah dalam negara harus diklasifikasikan sebagai golongan berpendapatan rendah!

Jelas bahawa satu definasi yang jitu harus digunapakai oleh kerajaan untuk menjayakan matlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat golongan berpendapatan rendah.

Syor bagi membasmi kemiskinan teras

MEB memperkenalkan satu pendekatan ‘baru’ yang menekankan “inclusive, pro-poor growth???.5

 

Walaupun kerangka yang diketengahkan oleh NEAC bukan satu perkara baru, namun pihak kerajaan harus beri pujian kerana MEB sanggup mengakui kelemahan-kelemahan yang ada dalam dasar dan pelaksanaannya selama ini.

“Inclusive pro-poor growth??? bermakna kerajaan harus menetapkan kriteria yang sahih sebelum menggubal program dan projek untuk menangani masalah jurang perbezaan pendapatan.

Adalah disyorkan bahawa pihak penggubal Rancangan Malaysia Ke-10 menggunakan kriteria yang sahih dan relevan dalam mentafsirkan:

  • Golongan miskin mengikut strata ‘Bandar’ dan ‘Luar Bandar’ di setiap daerah pentadbiran
  • Golongan berpendapatan rendah mengikut strata tersebut yang sama

Definasi yang bakal digunakan harus berasaskan data pendapatan dan perbelanjaan yang dijanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengikut strata tersebut.

Pemetaan data perlu dibuat mengikut golongan miskin dan berpendapatan rendah di setiap daerah pentadbiran, iaitu di peringkat pejabat daerah atau jajahan serta pihak berkuasa tempatan. Ini akan memudahkan agensi pelaksana benar-benar memahami persekitaran dan kehendak khusus kumpulan sasar di peringkat akar-umbi.

Peralihan paradigma dalam menangani masalah pokok ketidakseimbangan pendapatan isi rumah harus dilakukan sekiranya hasrat MEB supaya terdapatnya “inclusive pro-poor growth??? akan dicapai.

Dengan demikian, cogankata PTK supaya “tiada rakyat yang ketinggalan??? mungkin boleh berpijak di bumi nyata.

____________________________________

  i) Program Transformasi Kerajaan, ms.90
  ii) New Economic Model [NEM], ms. 4
  iii) Ucapan Bajet 2010, Kementerian Kewangan Malaysia
  iv) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah diamanahkan tugas ini pada Oktober 2009
  v) NEM, ms.98