statutory-rapeKes rogol yang melibatkan dua gadis berusia 12 dan 13 tahun menarik perhatian ramai di Malaysia ketika ini terutama sekali kerana pasangan lelaki yang didakwa tidak dikenakan hukuman penjara atau sebatan tetapi hakim mahkamah memberi kenyataan bahawa hakikatnya mereka telahpun disabitkan kesalahan dan sabitan berkenaan direkodkan.

Sebaliknya mereka dikenakan perintah ikat jamin berkelakuan baik setelah mengambil kira usia yang masih muda dan potensi kerjaya mereka pada masa hadapan.

Seterusnya, hakim mempertimbangkan bahawa gadis terbabit pula melakukan hubungan seks suka sama suka bersama-sama pasangannya dan tidak ada kekerasan digunakan ke atas gadis terbabit.

Rakyat Malaysia mestilah berterimakasih dengan keputusan penghakiman ini kerana telah secara tidak langsung memberi mandat dan lampu hijau kepada gadis-gadis di bawah umur membuat keputusan sendiri apabila hendak melakukan hubungan seks.

Undang-undang Malaysia ketika ini menyatakan bahawa hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun walaupun dengan kebenaran gadis tersebut adalah ditakrif sebagai ‘statutory rape’. Ini berdasarkan andaian bahawa gadis di bawah umur 16 tahun tidak boleh membuat keputusan sendiri di sisi undang-undang.

Keputusan mahkamah bersabit dua kes rogol ini telah membuka peluang kepada anak gadis di bawah umur berdikari dalam hal-hal berkaitan seks tanpa dikekang oleh penjaga atau ibubapa mereka.

Bukankah ini satu anjakan pradigma yang patut disambut dengan penuh kesyukuran dan besar hati kerana hakim-hakim yang arif lagi bijaksana tadi telah mengiktiraf bahawa gadis-gadis di bawah umur 16 tahun memang berkemampuan berfikiran sendiri. Hakim-hakim itu yakin gadis-gadis di bawah umur boleh mengambil keputusan yang bijak walaupun gadis-gadis dalam peringkat umur tadi belum layak mengambil lesen memandu atau dibenarkan mengundi.

Orang dewasa diutamakan mahkamah

Inilah salah satu manfaat apabila kita berfikiran di luar kotak. Kita utamakan yang dituduh kerana mereka adalah orang dewasa ketika melakukan hubungan seks tersebut dan sekiranya mereka dihukum penjara atau disebat, tentulah memberi kesan yang mendalam dari segi mental dan fizikal.

Gadis-gadis di bawah umur itu memang tidak perlu diberi perhatian langsung kerana kalau sudah boleh membuat keputusan tanpa dipaksa, melakukan hubungan seks dengan pasangan masing-masing, ini bererti mereka telahpun tahu sebab dan akibat perbuatan itu.

Seorang perunding kanan pediatrik komuniti, Datuk Dr Amar Singh menyatakan kebimbangannya tentang hukuman yang dikenakan dalam dua kes tadi. Pertama, jarak umur di antara mangsa dan pasangannya jelas menunjukkan gadis itu terlalu muda untuk memahami atau mengawal keadaan. Kedua, hukuman itu tidak mengambilkira trauma yang dialami si gadis dan yang akan terus menghantuinya pada masa hadapan. Ketiga, hukuman tersebut memberi gambaran bahawa masyarakat tidak mengambil berat tentang kanak-kanak itu sendiri apabila yang dituduh adalah seorang dewasa yang masih muda.

Sentimen yang sama diutarakan oleh seorang pakar neurologi pediatrik, Dr Alex Khoo Peng Chuan di dalam suratnya kepada akhbar The Star. Dr Khoo menjemput mana-mana hakim melihat sendiri keadaan kanak-kanak di wad dan klinik di bawah penjagaannya yang melalui pengalaman serupa. Pada pandangan Dr Khoo, walaupun undang-undang bersabit jenayah rogol, “statutory rape” dan penganiayaan kanak-kanak adalah jelas, tetapi jarak umur enam tahun sepatutnya menjadi salah satu faktor penentu dalam memberi hukuman.

Itulah pandangan pakar-pakar pediatrik tanah air dan bolehkah mereka dipercayai kerana hakikatnya hakim yang arif dan berpengalaman luas telahpun memutuskan bahawa si gadis bawah umur memang boleh membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa.

Mungkin pandangan dan kesimpulan yang dibuat oleh pakar-pakar tadi hanyalah berdasarkan persepsi masing-masing tentang apa yang mereka hadapi saban waktu dalam tugas harian. Samalah juga dengan persepsi tentang peningkatan jenayah di merata tempat sejak kebelakangan ini walaupun kita sendiri pernah menjadi mangsa ragut atau penyamun. Persepsi telah menjadi satu penyakit yang menular ke bidang-bidang lain pula.

Contoh bagaimana kaum Hawa disanjung

Berbalik kita kepada kes sensasi ini.

Apa yang lebih menggembirakan semua, jika kita melihat dari sudut positif ialah bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara Islam, telah berjaya pula meletakkan status wanita, dan dalam kes ini, gadis bawah umur, ke peringkat paling tinggi dalam masyarakat.

Sistem penghakiman telah mengakui bahawa gadis bawah umur berhak ke atas apa yang hendak dilakukan kepada tubuh badannya sendiri. Gadis bawah umur di Malaysia adalah individu yang bebas memilih siapa juga pasangan seksnya lebih-lebih lagi jika pasangannya dari golongan orang dewasa.

Apa yang diketahui setakat ini ialah belum ada negara-negara lain di dunia yang telah mengambil inisiatif sedemikian.

Bukankah ini yang diperjuangkan oleh kumpulan hak asasi manusia dan mereka yang mahu hak sama taraf dengan kaum lelaki? Sekaligus, dengan hukuman yang dikenakan, kumpulan pendesak telah mendapat apa yang mereka inginkan. Gadis-gadis bawah umur tidaklah dapat diperkotak-katikkan lagi. Mereka mempunya hak yang sama seperti orang dewasa memilih jalan hidup yang disukai.

Tidak kiralah sama ada mereka masih bersekolah atau tetap menjadi tanggungan kedua-dua ibu bapa.

Perkara utama yang menonjol, ialah kebebasan memilih. Mungkinkah ini juga suatu kesinambungan dengan kes perkahwinan kanak-kanak beberapa tahun dahulu. Apabila gadis-gadis di bawah umur telah diiktiraf mempunyai hak memilih pasangan sendiri tanpa dipaksa, tentulah kes perkahwinan kanak-kanak dengan orang tua menjadi satu perkara lazim.

Maklumlah, gadis-gadis di bawah umur tentu rata-rata mahukan kestabilan ekonomi di dalam hidup mereka dan menerima perlindungan daripada orang yang boleh dipercayai. Siapa lagi yang boleh menepati syarat-syarat tersebut, kecuali, tidak lain tidak bukan, orang dewasa. Kalau jarak umur enam tahun, tidak menjadi persoalan lagi, apalah pula jarak umur berpuluh-puluh tahun.

Mungkinkah pada satu hari nanti kita akan membaca kisah gadis-gadis di bawah umur yang lebih muda daripada 12 tahun, mempunyai pasangan seks pilihan sendiri? Apa yang paling diutamakan ialah tidak ada paksaan dan hubungan seks itu adalah di antara dua orang yang suka sama suka.