studentsSatu rencana tentang kekuatan dan kelemahan sekolah jenis kebangsaan Cina di Malaysia yang tersiar baru-baru ini, patut direnung bersama bukan sahaja oleh mereka yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan tetapi seluruh rakyat yang mahu melihat perubahan sistem pendidikan negara ke arah yang lebih baik dan yang boleh menjadi teras kepada pembentukan satu masyarakat majmuk bukan daripada segi nama sahaja tetapi dalam erti kata yang sebenar.

Hakikat bahawa 90 peratus ibubapa keturunan Cina, tidak kira sama ada mereka berpendidikan Cina atau tidak, menghantar anak-anak mereka ke SJK (C) secara tidak langsung merupakan tamparan kepada sistem pendidikan kebangsaan.

Tidak boleh dinafikan semakin ramai ibubapa yang bukan keturunan Cina juga menghantar anak-anak mereka belajar di SJK (C). Satu petanda bahawa reputasi SJK (C) semakin mantap berbanding sekolah kebangsaan.

Sekolah kebangsaan pula rata-rata mempunyai majoriti pelajar daripada keturunan Melayu. Tidakkah keadaan ini membimbangkan?

Slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan terasa begitu hambar apabila kita berhadapan dengan realiti kurangnya interaksi di kalangan rakyat negara ini semenjak mereka masih di peringkat anak-anak lagi. Lebih-lebih lagi jika kita mahu menggunakan sekolah sebagai salah satu alat menyatupadukan rakyat.

Pada masa ini ibubapa yang berkemampuan mempunyai pilihan pula untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa yang lebih menitikberatkan sistem pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris.

Ada yang memberi pendapat bahawa sekolah kebangsaan tidak akan berjaya menarik minat ibubapa yang bukan berketurunan Melayu akibat pandangan negatif tentang prestasi guru-guru yang mengajar di situ. Guru-guru dikatakan tiada motivasi untuk mengajar.

Di samping itu, mereka juga dikatakan tidak ada sikap bertolak-ansur apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar bukan Melayu atau bukan beragama Islam. Pendekatan yang tidak mengambil kira perbezaan kaum, bahasa dan agama menambahkan kebimbangan ibubapa bukan berketurunan Melayu tentang apa yang akan dihadapi anak-anak mereka di sekolah-sekolah kebangsaan.

Pelajar hari ini kurang matang

Laporan Penilaian Sistem Pendidikan Negara telahpun dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan pada Mac 2012. Fasa kedua Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara pula sedang berjalan ketika ini dan dijangka pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pendidikan adalah pada Disember 2012.

Sebahagian besar tempoh fasa kedua ini tertumpu kepada dialog melalui pelbagai saluran untuk mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai. Sekurang-kurangnya satu usaha telah bermula untuk memperbaiki sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan juga telah menetapkan sembilan bidang keutamaan untuk mencapai visi tersebut:

  1. Guru
  2. Kepimpinan sekolah
  3. Kualiti sekolah
  4. Kurikulum dan pentaksiran
  5. Kecekapan pelbagai bahasa
  6. Peluang pasca menengah
  7. Ibubapa dan masyarakat
  8. Penggunaan sumber yang efisien dan efektif
  9. Kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian

Apa yang ketara ialah peranan guru memang penting. Guru-guru diharapkan akan menjana transformasi dan menyuburkan semula profesion perguruan sebagai pilihan profesion utama. Kata kuncinya di situ ialah menyuburkan semula profesion perguruan dan ini adalah satu tugas yang amat berat yang memerlukan bantuan serta sokongan semua pihak.

Guru bersendirian tidak akan dapat menyuburkan semula profesion yang pada satu ketika dahulu dilihat amat sinonim dengan satu pekerjaan yang mulia kerana di bahu guru-gurulah terletak tanggungjawab mendidik dan membentuk rakyat negara ini.

Satu beban yang amat berat untuk dipikul oleh guru-guru sahaja. Misalnya dari segi disiplin anak murid, telah banyak berita tersiar tentang guru-guru yang dipersoal atau lebih parah, dimakihamun atau dipukul kerana cuba membimbing anak-anak ke satu arahtuju hidup yang lebih bermanfaat.

Ibubapa begitu sensitif di dalam sesetengah kes walhal tindakan yang diambil oleh guru-guru itu adalah untuk kebaikan anak murid itu sendiri. Para pelajar mungkin kelihatan gah dari segi susuk tubuh badan mereka hasil pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat pada masa ini tetapi daripada sudut kematangan pemikiran, masih ramai yang belum boleh dikatakan dewasa.

Ramai para pelajar sedar tentang perubahan fizikal mereka sejak akal baligh tetapi jika cara penyampaian ilmu masih di takuk lama, mereka tidak akan sedar bahawa tahap pemikiran masing-masing tidak menunjukkan peningkatan seiring dengan perkembangan fizikal. Di sinilah debat tentang baik buruknya sekolah-sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan, agama atau antarabangsa akan berterusan. Aliran manakah yang sesuai untuk menjana tenaga mahir dan intelektual untuk masa depan negara.

Di manakah pula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara di dalam isu ini?

Proses asimilasi di negara jiran

Menurut pandangan seorang penulis, kalau tujuan pejuang bahasa adalah untuk mengagungkan sesuatu bahasa itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan dalam dan melalui bahasa itu.

Dalam rencananya di Merdeka Review, penulis tersebut menyatakan bahawa ketika tempoh dua dekad Malaysia berada di bawah Dasar Ekonomi Baru, ramai anak-anak bukan Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu.

Dia juga menambah bahawa sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris, sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah bahasa ibunda akan merosot.

Malangnya peluang ini disia-siakan. Perbandingan telah dibuat dengan situasi yang wujud di Thailand dan Indonesia.

Proses asimilisasi di Thailand telah memberi peluang kepada orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha merasakan diri mereka benar-benar warganegara yang dihargai berbanding orang Melayu Thai yang berlainan agama. Di Indonesia pula, peratusan orang Cina yang kecil tidak memungkinkan pilihan lain kecuali menerima asimilisasi.

Satu andaian dikemukakan bahawa jika orang Melayu di negara ini sanggup mengikut contoh negara Thai dalam konteks asimilisasi bahasa dalam tahun-tahun DEB (1971-1990), ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat untuk kesamarataan sepenuh. Persoalan dasar ialah apakah orang Melayu sanggup menerima syarat sebegitu? Kata penulis itu lagi, bahawa era globalisasi telah melenyapkan pilihan ini sebagai jalan memartabatkan lagi bahasa Melayu.

Tulisnya lagi bahawa dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti mempertingkatkan kegunaan bahasa. Dan apakah musuh paling besar kepada bahasa Melayu itu? Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Apakah bahasa Melayu dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

Semua kekangan ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi lesu dalam dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia, janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan sebagainya.

Pendapat penulis tadi apabila direnung bersama dengan pemerhatian bahawa rakyat Malaysia sudah semakin renggang di antara satu sama lain walaupun ketika berada bersama-sama di sesuatu tempat memerlukan pendekatan yang baru supaya trend ini tidak berterusan.

Harapan masih ada kerana pencapaian atlet negara ini di sukan Olimpik baru-baru ini dan sokongan ramai terhadap wakil kita di London membuktikan bahawa rakyat masih menaruh harapan dan yakin bahawa inilah satu-satunya negara tumpah tanah darah mereka. Pada dasarnya di bumi bertuah inilah sahaja tempat mereka mencari rezeki dan hidup mati memang di sini.

Sistem pendidikan yang lebih jitu dan bahasa kebangsaan yang boleh dibanggakan oleh semua merupakan titik tolak dalam perubahan ke arah yang lebih baik. Apa yang kita impikan ialah rakyat berbilang kaum di negara ini benar-benar merasakan diri mereka tidak terpinggir dan tidak hanya patriotik ketika menyokong atlet negara.

Harapan menggunung tinggi ramai yang peka tentang situasi semasa ialah supaya tidaklah kelihatan lagi enau di belukar melepaskan pucuk masing-masing.