Kenyataan Profesor Richard H.K. Vietor dari Universiti Harvard baru-baru ini bahawa Malaysia mesti membuat keputusan sama ada mahu menjadi intang atau kekal seperti sekarang patut mendapat perhatian ramai. Dia menyatakan bahawa kegagalan membuat keputusan akan bermakna negara ini terus berada di dalam kumpulan yang berpendapatan sederhana untuk 10 ke 20 tahun akan datang dan mungkin akan menurun lagi selepas tempoh tersebut.
Prof. Vietor menambah bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk memperbaiki kedudukannya tetapi masih terikat di tengah-tengah, terkebelakang daripada negara-negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
Masalah bermula apabila industri pengilangan dan perkhidmatan yang berkos rendah masing-masing dikuasai oleh China dan India. Pada masa yang sama, Malaysia tidak dapat bersaing dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura yang mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Profesor itu menambah bahawa Malaysia tidak mempunyai peluang bersaing dari segi kos dengan negara-negara seperti China, India, Vietnam dan Indonesia.
Apa yang diperlukan ialah keunikan dan memberi perhatian yang lebih kepada pembuatan barangan yang berkualiti tinggi.
Katanya lagi, bahawa Malaysia juga perlu menangani masalah kadar simpanan yang tinggi (33 peratus) berbanding kadar pelaburan yang rendah (22 peratus). Keadaan ini dijangka berubah dengan pendekatan yang diolah di bawah Model Ekonomi Baru untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti. Pelbagai pengumuman yang telah dibuat kerajaan boleh membantu Malaysia mencapai matlamat keluar daripada kumpulan negara yang berpendapatan sederhana.
Insentif-insentif ini termasuklah meningkatkan pelaburan dan eksport ke tahap nilai yang lebih tinggi, menggalakkan inovasi domestik serta pembangunan dan penyelidikan, pelaburan berterusan dalam infrastruktur, mengurangkan sekatan peraturan dalam menjalankan perniagaan dan menambah kemahiran kerja dalam kategori yang diperlukan.
Selanjutnya, Profesor Richard menambah bahawa dia bersetuju dengan rancangan transformasi ekonomi Malaysia tetapi mengingatkan bahawa kunci utama kejayaan bergantung kepada pelaksanaan. Rancangan yang digubal pada tahun 2010 bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Dia mengakhiri perbualan dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri mungkin mempunyai banyak idea tetapi jika gagal dilaksanakan, tentu sekali semua rancangan tidak akan menjadi realiti.
Graduan perlu menepati kehendak majikan
Titik tolak perubahan bergantung kepada pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi bukan setakat bekerja dengan rutin yang sama di kilang-kilang yang membuat barangan yang bermutu rendah. Kalau kerajaan benar-benar mahukan perubahan, kilang-kilang yang sedia ada mesti dinaiktaraf dan pekerjanya diberi latihan serta insentif supaya hasil keluaran mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi.
Perubahan daripada hanya bergantung kepada hasil buatan yang murah kepada yang lebih mahal dan berkualiti tinggi perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak; kerajaan, majikan dan para pekerja. Kita tidak boleh berpuas hati dengan situasi pada masa ini kerana seperti kata Profesor Richard, Malaysia memang tidak boleh menandingi negara-negara seperti China dan India jika hendak kekal mengeluarkan barangan yang murah. Lama-kelamaan Malaysia akan tertinggal jauh ke belakang dan proses perubahan akan mengambil masa yang lebih lama jika langkah positif tidak diambil dari sekarang.
Lepasan universiti dan kolej pula diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan penyelidikan dalam bidang-bidang yang boleh menjana pulangan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Malangnya graduan tempatan hari ini tidak menepati kehendak majikan dan tidak berdaya-saing. Para majikan terpaksa memberi latihan tambahan supaya lepasan universiti tersebut boleh menjalankan tugas yang dikehendaki dan terdapat juga graduan yang bekerja bukan di dalam bidang pengkhususan pengajian mereka.
Kelemahan ketara para graduan baru ini ialah kurangnya kemahiran berfikir secara kritikal yang amat diperlukan dalam dunia yang sentiasa berubah dan semakin mencabar.
Lihat sahaja berapa ramai lulusan ijazah sarjana muda yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana ketika ini. Kenapa ini terjadi sedangkan pada tahun-tahun 1960an dan 1970an apabila negara baru sahaja mencapai kemerdekaan, lulusan ijazah sarjana muda diberi keyakinan menerajui dan menjalankan jentera pembangunan baik di bidang awam ataupun swasta. Walaupun mungkin ada yang mengatakan bahawa dunia pekerjaan hari ini memerlukan asas pendidikan yang lebih tinggi, apakah negara perlukan lambakan sarjana dan doktor falsafah. Mereka mungkin belajar lebih lama dan berhak bangga dengan kelayakan mereka tetapi adakah ijazah yang diperolehi benar-benar bermutu?
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa sistem pendidikan negara perlu dikaji semula memang memerlukan perhatian semua pihak yang terlibat. Dia menyatakan bahawa sistem pendidikan negara perlu dikaji semula dalam usaha meningkatkan kualiti bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing di peringkat global. Laporan lengkap dijangka siap akhir tahun ini berhubung inisiatif yang perlu bagi mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tinggi.
Kenyataan bahawa negara ini perlu mewujudkan pendidikan berkualiti tinggi membawa persoalan adakah sistem sedia ada tidak berkualiti tinggi walhal rakyat sentiasa diberitahu bahawa Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang setanding dengan apa yang ditawarkan di luar negara. Adakah kita hanya setanding dengan negara-negara tertentu sahaja, sebaris dengan negara-negara sedang membangun yang belum berupaya melonjak ke taraf negara maju?
Ukuran perbandingan dengan negara-negara sekumpulan tentulah meunjukkan prestasi yang sama tetapi apabila dibandingkan dengan negara-negara yang lebih maju, hakikatnya jauh berbeza.
Sistem pendidikan bermutu menjadi kunci
Faktor utama rakyat negara maju mempunyai daya saing yang tinggi ialah kerana sistem pendidikan mereka telah melatih anak murid supaya berfikiran kritis, menyoal, bertanya, dan tidak menerima apa sahaja yang disuapkan. Bilik-bilik darjah di negara-negara maju memperlihatkan hubungan dua hala di antara murid dan tenaga pengajar.
Pelajar-pelajar daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti boleh malah digalakkan berbincang dan bersoaljawab dengan guru yang mengajar. Walaupun idea seseorang mungkin salah tetapi latihan mempertahan buah fikiran sendiri merupakan asas yang penting membina keyakinan diri apabila keluar dari alam persekolahan. Langkah yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu masalah pula tidak ditempelak tetapi menjadi khazanah yang bernilai dalam mencapai jawapan.
Pendidikan sedemikianlah yang telah menguatkan semangat para usahawan di Amerika Syarikat, misalnya Bill Gates dan Steve Jobs mencapai kejayaan di persada dunia. Mereka berdua walaupun tidak menamatkan pengajian universiti mereka, mempunyai keyakinan dan iltizam untuk berjaya hasil pendidikan yang tidak mencengkam minda kreatif yang terpendam.
Kita semua mempunyai keistimewaan tersendiri dan pendidikan yang berkualiti boleh menyerlahkan kelebihan masing-msing. Tidak semua orang berupaya cemerlang di bidang akademik tetapi pendidikan berkualiti dari peringkat rendah boleh menyalurkan setiap kemahiran ke arah yang lebih bermanfaat untuk negara mencapai matlamat negara maju.