baduSebuah buku ‘Where did I come from’ tulisan Peter Mayle diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia kerana kononnya mengandungi elemen memudaratkan moral masyarakat dan kepentingan awam.

Sementara itu konsert penyanyi wanita Amerika Syarikat, Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar garis panduan Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Rakyat mesti berterima-kasih kepada Puspal dan KDN yang telah mengambil langkah proaktif menyelamatkan moral mereka.

Agensi-agensi kerajaan yang tugas mereka ialah untuk menyelia telah diamanahkan melaksanakan tanggungjawab yang berat. Mereka perlu memastikan moral masyarakat rakyat Malaysia terpelihara daripada unsur-unsur negatif yang ada di sekeliling, yang hanya menunggu masa menyelinap masuk serta mengubah watak seseorang.

Syukur alhamdulillah, kita terpelihara daripada terjerumus ke jurang durjana dan hina dengan bantuan para kakitangan kerajaan yang tidak pernah kenal lelah menjalankan tugas mereka.

Rakyat sentiasa diingatkan bahawa sebagai warganegara, unsur-unsur negatif sentiasa menunggu peluang memusnahkan kesejahteraan hidup yang telah dipupuk zaman-berzaman di bawah pimpinan kerajaan yang memerintah. Kerajaan yang dipilih akan memastikan rakyat hidup bahagia di bawah naungannya dan terpelihara daripada segala kenegatifan yang ada di luar sana.

Alangkah bertuahnya kita, rakyat Malaysia. Tentu dunia luar cemburu kita terpelihara sebegitu rupa, dan sepatutnyalah kita dijadikan contoh sebuah negara yang maju bukan sahaja daripada segi material tetapi juga rohani.

Tidak ada negara lain yang dapat menandingi Malaysia dalam hal menitikberatkan moral rakyatnya. Apa juga yang difikirkan mungkin memberi kesan negatif kepada rakyat, dengan segera dibanteras pada akar umbinya.

Kerajaan tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku sama ada kepada rakyat atau negara itu sendiri jika unsur-unsur negatif berjaya meracuni minda penduduknya. Lebih-lebih lagi jika unsur-unsur negatif itu berpunca daripada buku-buku atau bahan-bahan yang boleh merangsang minda untuk berfikir.

Rakyat mesti dijaga dan dipupuk supaya fikirannya mengikut standard moral yang telah ditetapkan. Itulah asas kesejahteraan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini oleh semua penduduk.

Garis panduan menjaga moral

KDN menetapkan tujuh perkara mudarat yang memberi kesan kepada Hasil Penerbitan Tidak Diingini mengikut seksyen 7 (1) AMCP 1984 iaitu memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, kepentingan awam, kepentingan negara, menggemparkan fikiran orangramai dan berlawanan mana-mana undang-undang.

Setiap hasil penerbitan mesti bebas daripada tujuh perkara yang tersebut sebelum diluluskan. Malangnya buku ‘Where did I come from’ terlepas pandang sebelum ini. Mujurlah ada yang prihatin dan memberitahu KDN bahawa buku ini mesti diharamkan. Tahniah sekali lagi buat KDN kerana mengambil tindakan segera sebelum gejala buruk daripada buku ini berleluasa.

Mereka yang telah membeli atau membaca buku ini patut berasa malu dan dengan segara meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah melemahkan benteng pertahanan negara melawan gejala keruntuhan moral dan akhlak yang bermaharajalela di seluruh dunia. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara dengan penduduk yang rendah standard moralnya. Kita mesti mengekalkan standard moral kita yang tinggi dan disegani oleh dunia luar.

Dalam kes penyanyi Erykah Badu pula, Lampiran B, garis panduan Puspal menyentuh tentang Tatacara Permohonan Persembahan Artis Luas Negera. Paling menarik ialah Bahagian E, yang memberi sebab-sebab sesebuah pertunjukan boleh dibatalkan dan di antaranya ialah arahan daripada lain-lain agensi/jabatan yang mempunyai kuasa ke atas sesuatu persembahan dan/atau penggambaran filem.

Tidakkah pihak penganjur yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang mereka peka dengan garis panduan Puspal?

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai golongan dan kaum, sewajarnyalah segala pandangan penduduk tempatan diambilkira sebelum sesuatu persembahan di bawa ke negeri ini. Tindakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim membatalkan konsert itu setelah didapati melanggar garis panduan Puspal dan syarat-syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitiviti agama, bangsa serta nilai budaya masyarakat Malaysia memang sesuatu yang harus diberi pujian.

Ke manakah halatuju kita nanti kalau kita tidak dibimbing dan dilindungi oleh pihak yang lebih mengetahui dan arif tentang perkara-perkara yang menyentuh nilai-nilai budaya masyarakat.

Melentur aur biar dari rebung

Sesetengah daripada kita telah lupa dan tidak sedar betapa sensitifnya isu-isu yang menyentuh agama dan bangsa terhadap rakyat tempatan. Mungkin ada yang endah tak endah tentang isu-isu ini tetapi mujurlah pihak berkuasa memang sentiasa memantau supaya standard moral kita terpelihara. Kita sebagai rakyat Malaysia memang amat bertuah.

Mungkin sudah tiba masanya, kita berusaha lebih gigih membanteras gejala seperti ini daripada mengambil tempat di hati rakyat. Sesuatu yang diharamkan dari awal mungkin lebih mudah untuk dipantau sama ada sudah berkembang-biak atau tidak. Apa yang membimbangkan ialah kemunculan bahan-bahan yang pada mulanya kelihatan begitu baik tetapi rupa-rupanya mempunyai maksud jahat yang tersirat. Banyak sangat anasir di luar sana yang cemburukan kejayaan negara. Mereka cuba sedaya-upaya memporak-perandakan masyarakat Malaysia yang hidup penuh harmoni, berteraskan standard moral yang begitu tinggi supaya menjadi kucar-kacir. Kita tidak boleh membiarkan anasir-anasir subversif ini menyelinap masuk.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan mesti digubal semula supaya apa juga bahan penerbitan yang didapati memudaratkan rakyat setelah diluluskan sebelumnya, bukan sahaja diharamkan tetapi sesiapa yang memiliki atau mengedarnya didenda dengan lebih keras.

Pada masa ini, sesiapa jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali. Jumlah denda dan hukuman penjara ini tidak memadai untuk satu kesalahan yang begitu besar akibatnya. Tahu-tahu sajalah, mata pena lebih tajam dari mata pedang.

Oleh itu satu pindaan kepada undang-undang yang sedia ada mesti dipertimbangkan. Sekurang-kurangnya mereka yang disabit kesalahan mesti dipamer ke khalayak ramai sebagai pembelot negara!

Sesiapa juga yang telah membaca hasil penerbitan yang diharamkan itu mesti dirawat supaya segala kesan daripada pembacaan tadi dibersihkan dan dihapuskan. Rawatan sedemikian  boleh memastikan minda mereka kembali pulih seperti sediakala, minda seorang rakyat yang mempunyai standard moral yang tinggi.

Kita perlukan semua rakyat menggembleng tenaga, membantu kerajaan, menjadi mata dan telinga bagi pihak kerajaan mengenalpasti sesiapa yang telah terpesong daripada arah tuju yang telah ditetapkan kerajaan.

Ini satu tugas yang besar yang mesti diserapkan ke dalam jiwa setiap rakyat sejak lahir. Kita tidak boleh berharap kepada KDN semata-mata. Mereka juga punya tugas yang lain. Oleh itu, rakyat secara keseluruhan boleh membantu meringankan tugas mereka. Kita bersama-sama akan memastikan segala anasir subversif yang cuba mengambil-alih minda rakyat negara ini dihalang daripada bercambah.

Kalau hari ini buku tentang seks dan bagaimana bayi dicipta boleh terlepas pandang, kemungkinan ada buku-buku lain yang sedang mempengaruhi rakyat tanpa disedari berselindung di sebalik tajuk-tajuk yang kelihatan normal.

Rakyat Malaysia mestilah sentiasa berwaspada kerana dunia luar bukan seperti kita. Dunia luar tidak mengenali kita dan tidak tahu jerih-payah dalam mencapai kejayaan dan keharmonian yang kita nikmati pada masa ini. Mereka hanya melihat dari luar, dan tidak tahu bahawa kejayaan itu berpunca daripada keprihatinan kerajaan yang sentiasa memantau supaya standard moral yang tinggi setiap rakyat dikekalkan.

Itulah rahsia kekuatan kita, standard moral yang tinggi.