Sarawak adalah negeri terbesar, yakni, 37.5% kawasan tanah Malaysia serta mempunyai hutan hujan tropika yang amat luas.

Pada awal tahun 70an dulu, seorang penulis Perancis, Mady Villard telah menggambarkan pengalamannya semasa penggembaraan beliau di hutan Sarawak lebih kurang seperti "… hutan tebal yang penuh dengan pokok-pokok besar dan diselubungi oleh bunga-bunga benalu di samping ranting-rantingnya melengkung ke arah langit lalu menutup sepuhan sinaran matahari… suasananya mirip seperti senario hening dalam gereja, amat hening…".

Namun suasana hening-bening masa itu sudahpun mulai dicerobohi oleh kerja-kerja pembalakan komersial yang direstui oleh kerajaan Sarawak.

Bermula dari tahun 1970an, sebanyak 70,00 hektar hutan ditebang. Pada tahun 1980an kawasan hutan yang ditebang meningkat dua kali ganda menjadi 240,000 hektar, bermakna 266 pokok ditebang setiap hari dan meletakkan Malaysia sebagai negara pengeksport kayu tropika terbesar di dunia!

Kayu balak banyak dieksport ke Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Bayangkan, ketika itu 40% daripada keseluruhan eksport kayu balak dunia adalah dari Sarawak.

Bagi mereka yang berkepentingan, pembalakan itu adalah rezeki lumayan sedangkan orang Penan yang telah menghuni kawasan pedalaman sejak zaman silam lagi yakin bahawa hutan-hutan yang telah dibotakkan itu belum tentu boleh pulih kembali dalam waktu 200 tahun.

Kini terdapat sekitar 10,000 suku kaum Penan (Dayak darat). Sulit untuk menemu mereka -- kelompok orang Ulu yang banyak tinggal di dalam pedalaman hutan belantara.

Jangan salah anggap Penan 'primitif'

Cerita Penan mula menarik perhatian dunia apabila terjadi satu perbalahan antara mereka dengan pengusaha-pengusaha balak sampai ke tahap kemuncak pada awal tahun 1987. Kejadian itu berlaku di Long Napir, bahagian Limbang.

Lebih kurang 150 orang Penan bersama seorang wartawan, Peter Popham dari The Sunday Times magazine menuju ke sebuah markas pengusaha pemegang lesen balak. Tidak sesuatu yang tidak diingini berlaku. Pengusaha menjinakkan kemaraan Penan dengan memberi wang sejumlah RM2,000 bagi menamatkan kepungan yang dibuat. Tetapi ini tidak bererti perjuangan Penan sudah mengaku kalah.

Sebelum itu juga, aktivis berasal Switzerland, Bruno Manser (kiri), telah bersama-sama orang Penan menyusun atur membina benteng kayu dan 'tembok manusia' sebagai satu cara memprotes terhadap kegiatan penindasan terhadap tanah warisan mereka.

Sememangnya pertentangan di antara suku kaum Penan dengan pengusaha balak adalah satu yang berat sebelah. Musuh-musuh mereka adalah para pengusaha kayu balak yang kaya-raya bernaung di bawah payung politik dalam pentadbiran menteri besar Taib Mahmud.

Orang Penan cuma bersenjatakan sumpitan panjang dan kekayaan yang ada pada mereka hanyalah sumpitan yang diikat bersama di pinggung mereka. Namun mereka tidak rela melihat luka-luka hutan akibat penebangan yang rakus. Mereka masih mengguna modus operandi yang sama iaitu membuat benteng manusia di beberapa tempat berhampiran dengan kem membalak bagi menunjukkan protes mereka terhadap kegiatan rakus pembalakan.

Ramai menganggap suku kaum Penan adalah satu kelompok primitif. Kebudayaan mereka mungkin berlainan dengan kebudayaan kita tetapi ini tidak bermakna syarikat kapitalis balak mempunyai hak membuat sesuka hati mereka terhadap persekitaran rakyat Penan.

Jika digugat rakyat Penan berhak melawan demi menjaga keutuhan dan kesejahteraan mereka. Mana-mana rakyat yang tertindas akan tetap menentang sebarang bentuk eksploitasi. Ini adalah hukum hidup manusia.

Hidup tradisional mesra alam

Kehidupan mereka bergantung pada hutan yang membekalkan makanan seperti sago, tumbuhan, ikan, mamalia seperti khinzir hutan, monyet dan sebagainya. Mereka hidup seadanya, meredah hutan secara berkala, bercucuk tanam dan dan gemar hidup berkelana di pedalaman hutan, hampir seratus-peratus intim/akrab dengan senario hutan.

Mereka mesra alami hutan belantara sedangkan para pengusaha balak pantang melihat entiti hutan tidak dinodai.

Bagaimanapun para pengusaha balak, empangan hidro dan perladangan mahu gantikan hutan mereka dengan membina empangan, ladang kelapa sawit dan ladang balak, justeru sumber pergantungan Penan pasti terjejas.

Sehingga kini pihak kerajaan hanya memberi tindakan 'lepas batuk di tangga' saja memandangkan kumpulan Penan ini adalah kumpulan daif. Lembaga NGO seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang tempatan mahupun dunia ada membuat pembelaan terhadap mereka namun kerja-kerja pembangunan seperti pembalakan atau perladangan tetap berjalan.

Kerajaan mengambil jalan mudah iaitu menempatkan orang Penan ke suatu penempatan dengan mendirikan rumah panjang seperti di Long Luar, Lusong dan Long Urun. Ini dilaksanakan tanpa memikirkan yang usaha mereka mencabut akar umbi kehidupan orang Penan itu sudah pasti akan melupuskan jati hidup puak ini.

Mereka ditempatkan ke rumah panjang sedangkan projek pembalakan sepanjang lebih daripada tiga dekad lalu telah membuat Ketua Menteri Sarawak dan kroninya sebagai insan yang paling kaya di Sarawak tatkala orang Penan dan banyak lagi suku kaum Orang Ulu masih hidup seadanya saja.

Pada 11 Ogos lalu lebih daripada 100 suku kaum Penan dari pelbagai penempatan di pedalaman Sungai Apoh/Tutoh di mukim Baram berkumpul di Long Kevok untuk menunjuk perasaan tanpa kekerasan terhadap kegiatan pembalakan di kawasan warisan mereka. Mereka membina benteng kayu pada laluan jalan yang digunakan oleh beberapa anak syarikat Rimbunan Hijau dan Shin Yang bagi menghalang kerja operasi para pengusaha balak itu.

Mereka terpaksa menunjuk rasa marah sedemikian kerana pihak berkuasa masih tidak endahkan aduan-aduan mereka selama ini. Suku kaum Penan mengutuk keras tindakan syarikat pembalakan itu yang telah merosakkan tanaman buah-buahan dan kawasan perkuburan nenek moyang mereka. Mereka mendakwa bahawa syarikat-syarikat itu telah melanggar dan mencerobohi kawasan rizab hutan warisan mereka.

Langkah-langkah penyelesaian

Jika tiada penyelesaian orang Penan akan terus membina benteng kayu seperti yang pernah dibuat mereka terhadap laluan pengangkutan yang dibina oleh syarikat-syarikat konsensi balak. Mereka akan terus berbuat demikian bagi menarik perhatian kerajaan negeri dan pusat bahawa orang Penan meskipun orang daif akan tetap menunjuk rasa marah kerana hak asasi mereka tidak diambil peduli selama ini.

Mereka dibunuh bukan dengan senjata tetapi perampasan tanah itu sama seperti membunuh rakyat Penan.

Orang Penan pernah menuntut ketetapan-ketepatan berikut melalui bantuan SAM:

    *  Kerajaan harus mengiktiraf hak warisan terhadap kawasan penginapan orang Penan,
    * Kerajaan harus membatalkan semua lesen balak di kawasan tempat penginapan mereka,
    * Polis harus bersikap bebas dengan tindakan mereka membuat benteng manusia di kawasan  pembalakan,
    * Syarikat balak mesti membayar ganti rugi ke atas kerosakan yang sudah dilakukan ke atas tempat penginapan dan pokok-pokok buahan mereka.

 
Namun kerajaan lebih setia kepada syarikat balak dan bukan pada rakyat Penan. Cogankata 'Satu Malaysia' hanya terniang-ngiang sayu di telinga rakyat Penan.