Barisan Nasional (BN) telah memerintah negara melebihi lima dekad. Lima dekad atau setengah abad merupakan satu tempoh yang agak lama. BN memerintah dengan dua cara.
Satu membawa negara dengan kaedah memburu pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan menerapkan ketidakseimbangan di antara golongan kaya raya dan golongan seadanya saja. Kedua, memperketatkan kuasanya melalui undang-undang ke atas rakyat agar rakyat tidak mempunyai ruang yang memadai untuk mencabar sewajarnya atas segala kepincangannya.
BN akan mempertahankan kedua-dua cara itu walaupun sekali-sekala ia akan memberi gambaran palsu yang ia seakan-akan mengamalkan ekonomi demokrasi atau demokrasi berparlimen. Untuk beberapa tempoh yang lama BN berjaya memberi gambaran yang negara sedang ditadbir secara demokrasi melaui media massa terkawal yang dimilikinya.
BN mungkin tersilap perkiraan yang dia boleh mengekalkan kuasanya di negara tercinta ini buat selama-lamanya seperti Parti Kongress dan Golkar di India dan Indonesia. Malahan Parti Bolshevik di Soviet Rusia dulupun akhirnya tumbang meskipun telah memerintah selama lebih dari setengah abad.
Tidak kira parti apa pun, baik parti komunis atau kapitalis yang sekian lama memerintah begitu lama akhirnya akan membuat rakyat merasa kelelahannya lalu akan bertindak menumbangkan parti itu walaupun parti yang memerintah itu sering beretorik yang partinya saja yang boleh memberi pembangunan, stabiliti dan kenaikan taraf hidup rakyat.
Malahan sebuah parti Islam sekali pun di Iran akan ditolak jika ia tidak boleh memberi apa-apa sumbangan signifikan pada rakyat untuk sekian lama. Ini hukum alami, iaitu proses regresi akan berjalan jika sebuah parti itu memerintah dengan begitu lama dan rakyatpun mula naik jemu.
Satu hakikat bahawa betapa baiknya sesebuah parti memerintah itu cuba meyakinkan pada rakyatnya yang dia menggendalikan negara tetapi jika rakyat mulai sedar akan kepincangan yang tidak dapat diterima lagi, tiada satu kuasapun dapat menahan gerakan reformasi yang pasti datang secara alami jua. Kerajaan yang korap harus berundur secara hormat, jika tidak akan diajar nanti dengan cara pengunduran yang tidak manis.
Pengalaman di banyak negara menunjukkan yang parti yang begitu lama memerintah dan masih memerintah dengan cara lamanya meskipun senantiasa diusaha mengabui rakyat yang ia yang masih layak berkuasa akan akhirnya runtuh.
Apakah BN masih degil dan pura-pura tidak tangkap isyarat-isyarat jelas yang rakyat mahukan reformasi/perubahan atau transformasi?
53 tahun amat menjenuhkan
Rakyat tetap mahukan pembangunan tapi cara pembangunan itu dikendalikan yang cuma memberi nikmat kekayaan untuk segelintir elit dari parti komponen BN bukanlah modus operandi pembangunan yang diingini rakyat. Pembangunan yang kian hari kian mencengkam kebebasan rakyat seperti merosotnya autonomi badan kehakiman, polis, pejabat peguam negara, parlimen tidak akan meyakinkan rakyat kerana rakyatpun sudah mulai mempunyai kesedaran politik.
Takkanlah selama 53 tahun rakyat boleh terus diperbodohkan bagaikan boleh diperbodohkan buat selama-lamanya.
BN ingin terus berpaut pada kuasa kerana kuasa itu membolehkan ia meneruskan agenda yang kerap dilakukan, yakni membangunkan negara secara menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi sementara terus mengekalkan ketidakseimbangan dengan erti kata hasil pembangunan harus terlebih dahulu menguntungkan kabilah BN saja.
Bagi memastikan rakyat tidak boleh sangat menyuara akan perilaku ini diadakan 1001 akta yang boleh menakutkan rakyat dari mempersoalkan sebarang kepincangan tingkat tinggi yang diamalkan oleh BN atau Umno. Sesiapa yang berani mencabar akan dikenakan tindakan seperti apa yang sedang berlaku pada Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim telah merengkok sebagai seorang banduan selama enam tahun kerana mencabar kepimpinan BN dulu.
Kini Anwar dikenakan lagi pertuduhan yang ramai menganggapnya sebagai tidak masuk akal.
Keadaan tenat sudah sampai. Sehingga kini tiada lagi ada manusia intelektual yang berwibawa menyebelahi BN. BN banyak mengandal pada 'one man show' iaitu Dr Mahathir Mohamad. Beliaulah yang telah menguasai Umno dan BN paling lama sehingga dalam penguasaannya tiada siapa dalam kedua-duanya itu boleh menyuara berlainan dengannya.
Meskipun sudah bersara, beliau masih mempengaruhi perjalanan pentadbiran negara, berupaya menjatuhkan Pak Lah dan kini rancak bersama Perkasa bagi mengaturkan semula kepimpinan negara mengikut visinya.
Antara masalah besar yang dihasilkan pentadbiran BN ialah mutu produk sistem pendidikan negara. Bagaimana dengan sistem pendidikan kita yang selalu menghasilkan graduan secara massa? Di mana kualitinya? Kebanyakan graduan dan malahan tenaga pengajar kita tidak mampu berfikir, apalagi berfikir secara kritis tentang perkembangan sosio-ekonomi semasa. Apakah dasar pendidikan nasional kita yang sebenarnya? Apakah jati diri Malaysia yang mahu dibentukkan ?
Negara melalui parti pemerintah sedang membakar sentimen ras dan agama, tujuannya meraih sokongan orang Melayu dari semua pandangan politik untuk meneruskan agenda politik 'pecah dan perintah'. Umno mahukan semua orang Melayu balik kepada pentadbiran 'Ketuanan Melayu'.
Tidak lagi mampu bersaing
Pentadbiran Mahathir Mohamad dulu dikatakan telah mentiriskan sejumlah RM100 bilion. Sememangnya terlalu banyak kejadian ketirisan berlaku. Misalnya peruntukan RM54 bilion untuk program ekuiti orang Melayu hangus dibolot oleh petualang yang masih menjadi misteri siapa gerangannya yang memanfaatkan RM52 bilion itu.
Jurang kesenjangan antara golongan kaya dan yang sederhana semakin tajam. Pelaburan langsung asing (FDI) semakin menurun berbanding dengan negara-negara jiran yang suatu masa dulu adalah penerima FDI yang terbelakang.
Bagaimanapun kerajaan BN sentiasa cuba memberi gambaran serba indah tentang ekonomi negara biarpun hakikat adalah sebaliknya. Mengikut Laporan Bank of America Merill Lynch yang mendapati Malaysia kini antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik selepas bank tersebut meninjau pandangan pengurus dana.
Beberapa perkara mustahak yang sewajarnya diberi perhatian adalah pandangan para pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran yang begitu bertenaga maju ke hadapan seperti Indonesia.
Manakala kedudukan negara menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pula telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara. Dengan itu, perkembangan sebeginilah disangsikan perincian Model Ekonomi Baru.
Memang terlalu banyak isu yang boleh mencemaskan kita. Apakah BN masih di alam nyata yang mereka sudah membawa negara ke ambang moden? Atau kita cuma mempunyai lambang-lambang megah dan moden seperti bangunan mega di kotaraya atau di Putrajaya saja?
BN sudah banyak terlanjur. Usaha pemulihan ekonomi tidaklah begitu hebat berbanding dengan retoriknya. Lagi-lagi petunjuk pertumbuhan ekonomi kita yang terumbang-ambing dijadikan ukuran. Pertumbuhan ekonomi di negara seperti Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Thailand sudah naik dan malahan pertumbuhan ekonomi Singapura telah naik jauh tinggi. Negara kita mungkin tercicir jika dibandingkan dengan ekonomi negara di rantau ini yang sama-sama dipukul oleh krisis keewangan pada pertengahan tahun 1997 dulu.
Namun BN bagaikan gagal dalam usaha pemulihan sepenuhnya ekonomi, mungkin kepimpinan ekonominya sudah tidak lagi bervisi panjang, asyik sibuk dengan visi membina yang tertinggi, terpanjang, terbesar dan sebagainya yang tidak mempunyai erti signifikan di segi ekonomi.
Tapi BN tetap berdegil yang negara sekarang berada di ambang pemulihan sepenuhnya. Media BN memberi gambaran yang rakyat harus menerima amalan nepotisme, kronisme dan korupsi bersama orientasi politik yang mencengkam rakyat oleh BN sebagai penyelamat negara Malaysia.
Tiupan angin segar
Rakyat Malaysia kian merasa yang 53 tahun pemerintahan BN boleh melelahkan. Kita perlu angin segar baru untuk menyongsong kita ke alaf baru. Pemerintahan negara Malaysia bukan boleh dimonopoli oleh BN saja. Kitapun memiliki orang yang berkaliber dari Pakatan Rakyat untuk memerintah.
Satu hal sebahagian besar pemimpinn dari Pakatan Rakyat belum mengenal korapsi lagi, mereka masih bersih dan seharusnya diberi peluang pada mereka sekurang-kurangnya sekali mentadbir negara untuk kita mengetahui kebolehan mereka.
Di bawah BN kita jenuh mengenal korupsi. Anwar Ibrahim semasa dalam BN dulu telah membawa banyak perkara korupsi bagi pengetahuan BN tapi hasilnya masih tidak berkesan. Korupsilah yang telah menjadi darah daging dalam pentadbiran BN bakal meruntuhkan negara.
Secara logiknya juga rakyat Malaysia yang sudah ada kesedaran politik dan menginsafi betapa BN telah banyak menyeleweng mahukan BN disisihkan. Hakikatnya sebahagian besar rakyat sudah sedar dan akan mengambil tindakan menumbangkan kerajaan BN dan menggantikan dengan yang lebih baik melalui kotak undi pada pilihanraya ke-13 akan datang ini.
53 tahun di bawah BN amat menjenuhkan sekali. Sudah tak ada apa-apa yang menyegarkan dari BN.