(Teks nota panel pengadil)

Saudara Pengerusi,

Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina, tuan-tuan, saudara-saudara dan kawan-kawan yang datang pada malam ini. Salam hak asasi, salam demokrasi.

Pada 10 Disember seluruh dunia menyambut Hari Hak Asasi Sedunia. Kita juga di Malaysia ini telah cuba melakar dan membudayakan agenda hak asasi ini kepada warga. Walaupun nilai hak asasi ini masih belum mantap tetapi langkah-langkah telah diambil untuk membudaya hak asasi dalam masyarakat kita.

Nilai hak asasi ini masih terumbang-ambing dengan anggapan bahawa agenda hak asasi ini adalah ajenda Barat – maka ertinya agenda yang ditiru. Ini juga bermakna agenda hak asasi Barat adalah berbeza dengan agenda hak asasi kita warga Malaysia.

Ini tidak betul.

Hak asasi sama ada di barat, utara, timur atau selatan adalah sama. Keinginan warga untuk bersuara sama ada di London, Paris, New York atau di Kampung Berembang adalah sama.

Penahanan tanpa bicara di Guantanamo, Abu Gharaib, Penjara Evin atau di Kamunting adalah sama. Perasaan seorang anak – yang ayahnya atau ibunya ditahan sama ada di Iraq, Palestin, India, Malaysia atau Amerika – adalah sama.

Hak keinginan semua warga dunia untuk hidup aman damai adalah sama.

Maka marilah kita menolak cakap-cakap yang mengatakan bahawa budaya kita dalam hal hak asasi ini berbeza dengan orang lain. Tidak ada bezanya antara hak asasi di barat atau di timur. Keinginan warga untuk bebas merdeka dalam ruang demokrasi adalah sama.

Dewan Perhimpuan Cina Selangor telah mengambil langkah yang tepat dalam usaha untuk membudayakan dan merakyatkan nilai hak asasi dan ruang demokrasi. Melahirkan nilai budaya yang menghormati hak asasi bukan sesuatu yang senang untuk dilakukan. Budaya bukan lahir dengan sekelip masa. Ianya mengambil masa.

Langkah Dewan Perhimpunan Cina adalah tepat sekali. Ini adalah kali kedua dewan ini memberikan hadiah penghormatan: Civil Society Award.

Kita akui konsep dan budaya civil society atau masyarakat madani ini pun masih belum lagi difahami secara meluas dalam negara kita. Memang kita selalu mendengar dan membaca tentang konsep ini tetapi – Apakah dianya masyarakat madani atau What is civil society?

Secara ringkasnya masyarakat madani adalah sebuah masyarakat yang merayakan kepelbagian cara hidup dan pemikiran warganya. Masyarakat madani menghormati pendapat dan pandangan yang berbeza. Masyarakat madani memghormati hak asasi warganya. Dalam masyarakat madani yang diutamakan bukan keseragaman tetapi kesaksamaan. Bukan uniformity but equality.

Di sini saya mewakili kawan-kawan yang telah dijemput oleh Dewan Perhimpunan Cina untuk memilih siapakah yang layak untuk menerima anugerah Civil Society Award untuk tahun 2009.

Nama-nama yang tersenarai untuk dipilih adalah cadangan dari individu dan orang perseorangan. Nama-nama ini adalah diajukan kepada jawatankuasa untuk dikaji dan dilihat berpandukan sumbangan mereka untuk melakar, mengembang dan membudayakan konsep hak asasi dan masyarakat madani.

Ada nama individu yang dicalonkan. Ada nama NGO yang di calonkan. Ada nama persatuan yang dicalonkan. Pemilihan kami berasaskan pandangan yang diajukan oleh pencalon dan dari apa yang kami sendiri baca dan mengetahui tentang individu atau badan-badan ini.

Tahun ini kami menerima pencalon:

1. Jawatankuasa Sekolah Damansara

2. Bersih

3. Wong Chin Huat

4. Sisters in Islam

5. Hindraf

6. Raja Petra Kamarudin

7. Kumpulan Penan

8. Jerit

9. Jawatankuasa bertindak menentang penggunaan cyanide dalam perlombongan emas di Bukit Koman, Raub

Amat jelas ada individu seperti Raja Petra seorang blogger yang membuka ruang demokrasi di Malaysia. Dan Wong Chin Huat yang muncul sebagai protoganis Baju Hitam sesudah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dirampas kembali oleh Barisan Nasional.

Kita juga menerima perncalonan organisasi seperti Jerit dan Jawatankuasa Sekolah Damansara yang bekerja tanpa lelah untuk memperkasa dan mempertinggi kesedaran warga tentang hak-hak mereka.

Kita juga melihat dua protes besar anjuran Bersih dan Hindraf yang telah memainkan peranan yang amat penting untuk membuka ruang demokrasi di Malaysia. Mereka juga dicalonkan.

Penindasan hak asasi telah berjalan begitu lama. Lihat sahaja bagaimana hak-hak tanah pusaka warga Penan telah diinjak-injak. Tanah mereka dirampas. Anak isteri mereka ada yang dirogol. Justeru kami menerima Penan sebagai salah satu dari anggota masyarakat kita yang dicalonkan untuk menerima Civil Society Award.

Kita juga selalu mendengar tentangan dan cemuhan terhadap satu kumpulan perempuan yang cuba menerangkan dan membuka ruang demokrasi khusus untuk masyarakat Islam. Nama kumpulan ini ialah Sisters in Islam.

Sisters in Islam telah berusaha untuk memperkasa dan membuka kesedaran umum bahawa Islam adalah selari dengan kehidupan hari ini. Sisters in Islam ini juga telah dicalonkan.

Dari sembilan ini kami telah memilih tiga untuk tahun ini. Yang tidak terpilih bukan bermakna mereka tidak memainkan peranan dalam civil society. Mereka juga adalah sebahagian dari lanskap mayarakat madani kita. Mereka akan terus menjadi penjana kesedaran untuk membudayakan hak asasi.

Yang kami pilih ini adalah untuk tahun ini ...



Mereka ialah:

1 – Penan

2 – Raja Petra

3 – Sis atau Sisters in Islam.



Rencana-rencana menarik CPI yang lain: