Sudah 52 tahun Malaysia merdeka tetapi minda rakyat terus lagi dicengkam ‘penjajah’ – bukan penjajah berbentuk kolonialis tetapi penjajah tempatan.

Penjajah masakini terdiri daripada lapisan para elit; ahli-ahli kartel baru yang merangkumi semua komuniti etnik, baik dari sektor politik, sektor pentadbiran atau sektor perniagaan. Walaupun berbilangan kecil tetapi kuasa and pengaruh mereka amat besar kerana kaedah Machiavelli yang dipraktikkan mereka memang berkesan.

Pendekatan ala-kolonialis, yakni bahagi dan perintah (Divide and Rule mengikut huraian ahli sejarah J.S.Furnivall), diutarakan oleh puak elit politik dan pucuk perkhidmatan awam dengan sokongan sahabat-teman di sektor korporat dan media massa. Pola pemikiran pecah-belah perkauman yang mewarnai tingkahlaku dan cara perhubungan antara kaum masyarakat Malaysia didukung retorik ‘Demi bangsa, agama dan negara’.

Sekiranya kita jujur berfikir, kita akan mengaku bahawa orang bodoh, malas, tamak dan korup wujud juga di kalangan suku kaum-agama kita sendiri. Dalam pada itu, kita pasti kenal akan orang Melayu yang cerdik, tekun dan berdikari, Cina yang berbudi bahasa, murah hati dan hidup sederhana, orang India yang beramanah, berkerjaya profesional dan pantang minum arak, bukan? Adakah mereka ini merupakan lazim ataupun terkecuali?  

Menggunakan kategori suku kaum-agama ialah jalan senang supaya tidak tercabar tanggapan dunia kita. Asalkan kita selesa dan rasa selamat boleh berbangga dengan identiti kaum kita yang bagus belaka, biar ‘Yang-Bukan-Kita Orang’ tinggal stereotaip.

Akan tetapi, sekiranya pemikiran streotaip masih menyelubungi sanubari kita, maka mampulah golongan elit kekal mengeksploitasi negara demi memajukan kepentingan diri.  

Berikut adalah retorik yang biasanya diperalatkan untuk mengawal minda masyarakat: Ketuanan Melayu, Negara Islam, Kontrak Sosial.

Pihak yang satu lagi pula mencanangkan Malaysian Malaysia, Negara Sekular, Perpaduan Negara, dan ide bahawa Dasar Ekonomi Baru sudah menyeleweng dari niat asalnya yang murni.  

Alangkah baik kalau kita memartabatkan Bangsa Malaysia, Bahasa Malaysia berserta Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.  

Siapa sangka Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang berani mengorak langkah baru tatkala baru-baru ini beliau mengutuk penggunaan istilah ‘bumiputera’. Tabik kepada para pemimpin PAS yang mengasuh falsafah politik baru.  

Bagi yang kagum dengan pendirian Nik Aziz, langkah wajar selanjutnya diambil ialah perlu mengkaji semula asas tanggapan dunia kita: Adakah ianya berteraskan landasan betul agama dan mengakuri prinsip hormat-menghormati semua, dan sama rata segala insan ciptaan Tuhan?

Sekiranya didapati kita sudah tersimpang, balik sahajalah ke pangkal jalan. Jangan minda kita dihamba-abdikan oleh penjajah baru tempatan.
 
_________________________


Oleh penulis yang sama, Break the Shackles of ‘Tribal Think’!