Adakah kami (kaum India) insan yang tiada hak serata di bawah prinsip keluhuran undang-undang dan berperlembagaan seperti warga Malaysia yang lain ataupun kami dianggap sebagai binatang dan hamba abdi yang harus ditangkap, dipukul sampai mati? Kenapakah prinsip keluhuran undang-undang, hak asasi berperlembagaan diketepikan apabila ianya warga Malaysia berketurunan India yang terlibat? Mengapa kami dilayan teruk sekali sedangkan nenek-moyang kami telah bertungkus lumus membangunkan dan memajukan negara ini???? (Terjemahan dari Bahasa Inggeris)

http://www.makkal.org/content/hindraf-–-stop-crucifixion-malaysian-indian – 21 Januari

Kenyataan melampau yang dikeluarkan oleh Gabungan Graduan Melayu Muda [GGMM] pula berasaskan stereotaip yang menyeleweng.  

GGMM beranggapan bahawa Kugan tak lain dan tak bukan ahli sindiket curi kereta tetapi kematian beliau disensasikan sehingga jenayah yang beliau lakukan dilupakan. Kumpulan tersebut menuduh “Keling memang expert (pakar) bab mengalihkan cerita???, lantas Kugan semasa hidupnya seorang penjenayah tetapi selepas kematiannya dijadikan wira.  

Amarah perkauman yang diuja GGMM mengimbas kepada bidalan Melayu “antara ular dan Keling, mana nak bunuh dulu?"   

http://graduanmelayumuda.blogspot.com /2009/01/kugan-adalah-ahli-sindiket-curi-kereta.html

Reaksi kedua-dua Hindraf dan GGMM adalah petanda kepada prasangka buruk yang masih menyelinapi masyarakat berbilang kaum kita.  

Walaupun pendirian yang sebenarnya dipegang orangramai sukar dikenalpasti tetapi huraian-huraian seperti ‘Ya, orang India ini memang pencuri, perompak, perogol’ atau ‘Memang benar polis tak berhati perut dan selalu mendera orang bukan-Melayu’ amat merunsingkan.  

Liputan media, khususnya akhbar vernakular, setakat mengukuhkan tanggapan umum yang Kugan menjadi mangsa semata-mata kerana dia orang India dan anggota polis lebih rela bertindak kejam terhadap suspek keturunan India.  

Dan ada juga di kalangan kita yang kurang mengambil berat dengan perkembangan isu semasa.  

Kita acuh tak acuh atas alasan Si Mati itu kononnya seorang penjenayah dan justeru itu kematian beliau tidak banyak merugikan masyarakat. Seolah-olah insan yang disyaki penjenayah tiada nilai jiwa raganya! Manakala jentera pentadbiran dan politikus yang mengenengahkan agenda masing-masing dalam tragedi ini langsung tidak menenangkan suasana melalui tindakan mereka, malah mengkaburi isu sebenar.  

Bukan berasaskan ciri etnik  

Kegiatan geng yang sekilas pandang memang membabitkan golongan India telah menimbulkan salah anggap bahawa kaum ini berperwatakan ganas dan terdorong untuk melakukan jenayah.  

Adalah betul bahawa statistik menampakkan kadar jenayah tinggi jika dibandingkan dengan nisbah penduduk kaum India di Malaysia tetapi fakta ini perlu dinilai dalam konteks yang lebih menyeluruh. Pendekatan yang sepatutnya diambil untuk memahami gejala ini ialah pendekatan dari segi kelas dan bukan dari segi keturunan etnik komuniti.  

Kejadian jenayah berpunca daripada status sosio-ekonomi masyarakat India. Kedudukan sosio-ekonomi ini akibat perubahan demografi komuniti India. Pada tahun 1970, sebanyak 80 peratus kaum India bermastautin di luar bandar; pada tahun 2005 sebaliknya, 80 peratus bermastautin di bandar.  

Majoriti keluarga India yang sejak abad ke-19 bekerja di sektor perladangan telah berhijrah ke bandar apabila hilang pekerjaan selepas ladang-ladang getah ditutup. Dianggarkan bahawa seramai 300,000 orang terpaksa meninggalkan ladang untuk mencari rezeki di bandar tanpa berbekalkan kemahiran profesional atau pelajaran tinggi.   

Pada tahun 2006, lebih kurang 30 peratus pekerja India terlibat dalam bidang kerja yang sekadar cukup sara diri seperti buruh kasar, penjaja, jaga kereta, pencuci di pejabat dan sebagainya.   

Pada tahun 2007, statistik menunjukkan bahawa sebanyak 40 peratus isi rumah komuniti India diklasifikasikan di bawah kategori miskin dan berpendapatan rendah.  

Mereka juga terpaksa duduk dalam kawasan rumah pangsa kos rendah ataupun menjadi setinggan. Anak-anak yang berlatarbelakang rumahtangga miskin lebih besar kemungkinan tercicir dari sekolah dan mula bekerja dari usia awal. Sebilangan pemuda India ini mudah dipengaruhi untuk melibatkan diri dalam aktiviti anti-sosial.  

Status sosio-ekonomi yang jauh ketinggalan adalah faktor utama menyumbang kepada pembabitan dalam jenayah. Persekitaran tempat tinggal dan tempat kerja di bandar telah mengetepikan jaringan sokongan kekeluargaan yang dulunya wujud di estet atau luar bandar.  

Memandangkan hakikat bahawa ‘Dilema India’ bukannya berunsurkan genetik tetapi sosio-ekonomi, maka kita perlu prihatin supaya mengelak daripada hujah-hujah berciri etnik yang tidak akan membantu kita dalam menangani permasalahan ini.  

Pencabulan hak asasi  

Tidak dinafikan bahawa majoriti pegawai Polis Di-Raja Malaysia terdiri daripada kaum Melayu. Akan tetapi, tidak juga boleh dibuat andaian bahawa Kugan dikasari sebab polis berbangsa Melayu. Sekiranya didapati bahawa pegawai PDRM keturunan India atau Cina bersama Melayu yang bersalah, apa pula reaksi Hindraf dan GGMM?   

Intipatinya Kugan mati dalam lokap polis; jenayah yang beliau dituduh lakukan tidak relevan kerana dia belum dibicarakan di mahkamah ataupun didapati bersalah oleh hakim, dan keturunannya tidak relevan. Begitu juga keturunan pegawai polis yang disyaki bertanggungjawab adalah tidak relevan.  

Isu sebenar ialah adakah institusi negara yang sepatutnya menjaga keselamatan dan melindungi orang awam telah menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil?  Adakah anggota PDRM yang mengendalikan kes ini bertindak secara profesional dan tertib mengikut prosedur penyiasatan? Dalam pada ini, imej PDRM sebagai suatu institusi yang diyakini dan berwibawa sudah banyak merosot memandangkan pelbagai tohmahan yang kini dilemparkan terhadapnya.  

Akan tetapi sebagai pengulas di blog dan laman Web, wajib kita lebih matang dalam pemikiran berserta perbincangan kita hendaklah berasaskan fakta dan analisa. Kita juga perlu mengikis kecenderungan untuk memakai kacamata etnik dalam melihat kes-kes sebegini.   

Tidak dapat tidak, boleh kita mengambil iktibar daripada seorang pemimpin negara dihormati, Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat yang melahirkan rasa sedihnya atas peninggalan Kugan.   

Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, berkata ramai orang Malaysia mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tetapi kematian Kugan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. “Walaupun dia tidak sebangsa dan tidak seagama dengan kita, namun dalam Islam nilai kemanusiaan lebih diutamakan berbanding bangsa,??? kata Tuan Guru.

Teladan Nik Aziz dalam menekankan sikap kesaksamaan sejagat harus dicontohi.

 

About the author: Born a Malayan and happily became a Malaysian thanks to the vision of our dear Bapa Malaysia. Currently classified as 'Indian' by the NRD but prefer to be called, seen and judged as Anak Bangsa Malaysia. Dreaming of a Malaysia where her people will be judged by the strength of their character and the courage of their conviction.