Aku rasa bertuah menjadi di antara orang yang terawal membaca buku yang benar-benar mencatat pergerakan politik di era 70an – Time Bombs in Malaysia 30th Anniversary.

Buku ini pada awalnya ditulis pada tahun 1978 oleh seorang ahli politik terkemuka sehingga kini, Lim Kit Siang. Jatuh bangunnya dalam dunia politik semuanya dinukilkan. Selepas 31 tahun, ianya diterbitkan sekali lagi dengan beberapa pembaharuan.

Aku berasa bangga kerana terlibat secara langsung dalam penerbitan buku ini yang dianggap sebagai salah satu arkib dalam perkembangan sejarah moden politik Malaysia. Di dalam buku ini juga, kami menyelitkan foto-foto berwarna perkembangan politik yang mengkhususkan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sehinggalah sewaktu kebangkitan rakyat menjelang pilihan raya umum Mac 8, 2008.

Pada awal penerbitannya, buku ini menjadi kitab sejarah pergerakan politik akibat daripada penggelitaan media pada ketika itu. Rakyat yang mahukan kebenaran membeli buku ini dan kemudiannya memberi inspirasi dalam perjuangan keadian sosial negara.

Terbitan pertamanya mencecah jualan 10,000 naskah pada Mei 1978, tiga minggu ianya berada di pasaran. Edisi keduanya mula dicetak dan habis dijual pada Ogos 1978. Sepuluh ribu lagi naskah kemudiannya dicetak pada September, satu bulan kemudian.

Apa yang sebenarnya menarik mengenai buku ini sehingga ia lari seperti ‘pisang goreng panas’?

Buku inilah yang pada waktu itu menjelaskan mengenai prinsip kebebasan, keadilan akauntabiliti, integriti, perpaduan dan solidariti.

Apek-apek yang menceritakan kepadaku (apabila aku memberitahu mereka bahawa Lim Kit Siang akan menerbitkan semula buku ini) masih ingat bagaimana 30 tahun lalu, ramai yang ternganga bila membaca Time Bombs seolah-olah membaca cerita hantu!

Setelah meneliti buku Kit Siang, orang ramai terlalu dahagakan sebuah ketelusan mengenai keadaan rasuah yang pada dasarnya memang menular di dalam diri ahli-ahli politik pada waktu itu.

Pada awal penulisannya lagi, Kit Siang sudah mengutarakan prinsip perpaduan di bawah satu payung bangsa Malaysia. Apabila beliau memperkenalkan Malaysian Malaysia, dia dihentam hebat terutama dari kalangan pemimpin Umno. Dan seluruh akar rumput parti Melayu itu yang tidak memahami prinsip tersebut secara mendalam turut sama mengecam tanpa usul kajian.

Kini Presiden Umno sendiri cuba mengenengahkan prinsip yang sama di bawah '1Malaysia'.

Kit Siang ketika dibebaskan pada April 19, 1989 dari ISA selepas Operasi Lalang. Beliau dan Guan Eng (hujung kiri) adalah tahanan terakhir dibebaskan daripada sejumlah 108 orang. Mereka ditahan selama satu tahun setengah.

 Aksi DAP di Parlimen

Time Bombs in Malaysia juga menceritakan kisah-kisah sebalik tabir yang berlaku di dalam parlimen yang tidak kita ketahui.

Pada sidang parlimen Februari/Mac 1971 lah Peraturan Tetap Parlimen dipinda apabila kesemua ahli parlimen dari DAP menghantar ratusan soalan lisan dan pertanyaan bertulis. Kit Siang sendiri telah menyiapkan 152 soalan lisan untuk kementerian menjawabnya.

Sejak itu, pihak berkuasa menetapkan Ahli-ahli Parlimen hanya boleh menghantar 20 soalan lisan maksimum.

Kit Siang juga menceritakan bahawa beliau digantung pada Julai 19, 1974 hanya kerana merujuk National Front (Barisan Nasional) kepada National Fraud (Barisan Penipu).

Mengimbas kembali sewaktu buku ini mula-mula diterbitkan, Kit Siang menulis dalam prakatanya bahawa pada waktu itu Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Razak yang meninggal dunia di London pada tahun 1976 akibat leukemia.

Menurut ramalan formula RAHMAN, selepas Tun Hussein Onn, Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya Tun Abdullah. RAHMAN juga menilik Datuk Seri Najib sebagai penyudahnya. Kit Siang mengharapkan ianya akan benar-benar berlaku dengan isu-isu yang diketengahkan 31 tahun yang lampau dikenang oleh generasi sekarang.

Sememangnya isu-isu di dalam buku ini masih relevan untuk diperbincangkan memandangkan pemerintahan Malaysia sejak 50 tahun yang lampau di bawah legasi BN dan Umno.

Kit Siang dalam beberapa siri ucapannya pernah berkata bahawa DAP berfungsi sebagai pembangkang dan tidak berminat menjadi kerajaan pemerintah. Namun telahannya agak meleset kerana selepas tsunami Mac 8, lima negeri telah jatuh kepada pembangkang, bahkan anaknya Guan Eng dipilih sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Selangor dan Perak juga mendapat sumbangan besar dari DAP dalam pentadbiran negeri-negeri tersebut.

Time Bombs mencatat semula ucapan-ucapan yang dibaca oleh Kit Siang sewaktu beliau menjadi wakil rakyat beberapa sessi. Jatuh bangunnya, susah senangnya, tangis riangnya, gagal jayanya semuanya dinukilkan dalam buku ini.

Selain pengalamannya di dalam politik, Kit Siang juga menulis mengenai rasuah, isu buruh, demokrasi, perlembagaan dan juga mengkritik hebat dasar-dasar kerajaan. Dalam isu buruh, Kit Siang sudah mula mewar-warkan kepentingan untuk mengadakan gaji minima. Kesan serta tekanannya hanya mula mendapat sambutan lewat ini.

Menceritakan mengenai penulisnya, Lim Kit Siang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Mei 1969 hingga Oktober 1970. Dia ditahan lagi pada April 23, 1978 di bawah Akta Rahsia Rasmi. Pada waktu itu beliau dibicarakan atas tulisan beliau bersama P. Patto berkaitan dengan pembelian kapal angkatan laut dari Sweden.

______________________________ 

Time Bombs in Malaysia 30th Aniversary ditulis dalam Bahasa Inggeris dan pembelian secara talian boleh diperolehi dari Tokobuku.