Apabila mendapat tahu bahawa Dewan Rakyat akan mula membentangkan Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008*, aku tersenyum dan berasa musykil – adakah ianya benar-benar berlaku atau harimau tidak bertaring atau permainan politik parti pemerintah atau hanya retorik?
Sekiranya penubuhan ini benar-benar dengan niat yang suci bagi reformasi sistem kehakiman negara, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan persekutuan atas usaha sedemikian.
Sudah tiba masanya untuk hakim-hakim di mahkamah kita diterapkan dengan sifat-sifat beretika dengan bermulanya penguatkuasaan rang undang-undang ini.
Hakim sering menggunakan kuasanya dalam menghukum peguam yang kononnya telah menghina mahkamah. Terdapat kes di mana kesalahan peguam yang tidak seberapa juga dikenakan tindakan atas 'hina mahkamah'.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengimbas kembali kes pada September 5, 2000 Zainur Zakaria melawan Pendakwaraya di Mahkamah Rayuan.
Segalanya bermula dengan perbicaraan kes Anwar Ibrahim pada November 2, 1998. Zainur Zakaria merupakan salah seorang peguam yang mewakili Anwar.
Pada November 28, 1998 Anwar memohon untuk menyingkirkan dua daripada pendakwaraya. Afidavit Anwar berbunyi:
“ Dato' Abdul Gani Patail yang tersebut dahulu telah membayangkan (indicated) bahawa dia akan mempertimbangkan permintaan tersebut jika Datuk Nallakaruppan bersedia untuk bekerjasama dengan Kamar Peguam Negara dengan secara palsu membabitkan saya di dalam perlakuan kesalahan-kesalahan seksual dengan beberapa orang wanita yang telah atau belum berkahwin???.
Anwar menambah:
“ Tindak-tanduk mereka yang dirujuk di atas menunjukkan kedua-dua Dato' Abdul Gani Patail dan Encik Azahar bin Mohamed telah menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai Kamar Peguam Negara dan sebagai pendakwa-pendakwa di dalam perbicaraan saya di sini, dengan mencuba sedaya upaya untuk membuatkan Datuk Nallakaruppan merekapalsu keterangan bagi membolehkan lebih banyak pertuduhan-pertuduhan dibuat terhadap saya berkenaan lain-lain kesalahan seksual yang dikatakan.???
Anwar juga mendakwa di dalam afidavitnya bahawa:
“ Setelah menampakkan diri mereka sebagai amat tidak profesional di dalam perlaksanaan tanggungjawab mereka dan sebagai mempunyai kepentingan peribadi dalam mempastikan kesabitan kesalahan saya melalui cara yang boleh dipersoalkan, penglibatan mereka di dalam perbicaraan saya di sini telahpun membangkitkan keraguan yang mendalam terhadap keutuhan keterangan yang telah setakat ini dikemukakan oleh pihak pendakwaan.???
Hakim Augustine Paul telah mempertikaikan penghujahan peguam di mana di dalam afidavit yang menunjukkan terdapatnya permohonan untuk mengada-adakan bukti.
Zainur menjawab dengan memberitahu bahawa kenyataan tersebut terdapat di perenggan ketiga yang mana ianya perlu dibaca dengan perenggan keempat.
Hakim menyoal lagi: “Adakah perkara dalam perenggan ketiga mengandungi permohonan dalam mengada-adakan bukti????
Zainur: “Ia perlu dibaca dengan perenggan keempat.???
Setelah beberapa persoalan mengenai perkara ini, Hakim membuat keputusan bahawa Zainur & Co. telah menghina mahkamah dan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Zainur.
Di dalam penghakimannya di Mahkamah Rayuan, Yang Arif Ahmad Fairuz telah menolak rayuan Zainur terhadap pensabitannya atas kesalahan menghina mahkamah lalu mengekalkan hukuman asal.**
Di dalam kes seumpama ini, kita mempersoalkan isu etika dalam sikap hakim dalam membicarakan sesuatu kes.
Mesti bebas dari pengaruh politik
Di dalam kes-kes normal dan seharian, hakim juga boleh membaling fail yang tidak disukainya di dalam kamar (ketika sedang dalam perbicaraan) dan hakim juga pernah membatalkan sesuatu perbicaraan kes hanya apabila peguam terlambat 10 minit kerana tersekat di dalam kesesakan lalulintas atau kemalangan tanpa mahu berkompromi.
Di dalam sistem kehakiman yang berada di tahap kemuncak di dalam mengadili sesuatu kes dan diperhatikan media dunia, jawatankuasa etika hakim amat bertetapan. Bermula dengan perbicaraan Anwar Ibrahim pada tahun 1998, VK Lingam, Altantuya; kes-kes ini menjadi bahan bagi media asing.
Malah, cara perbicaraan dan penghakiman kes Memali, cara pengusiran Tun Salleh Abbas juga amat dikritik penganalisis.
Cara hakim Mahkamah Rayuan memberi kenyataan keputusan dalam kes Menteri Besar Perak melawan Menteri Besar Perak serta kes liwat kedua Anwar Ibrahim juga menjadi ujian dalam melihat cara hakim menggunakan kuasa mutlak yang diberikan kepada mereka dalam mengadili kes-kes ini.
Pada Jun 27 lepas, kita dikejutkan pula dengan keputusan hakim mahkamah sesyen Kuala Lumpur, Yang Arif Zainal Abidin Kamarudin yang mahu dirinya sendiri menjalankan hukuman rotan 10 kali ke atas remaja Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20, yang didapati bersalah atas kesalahan merompak. Hukuman tersebut juga akan disaksikan ibubapa pesalah.
Oleh yang demikian, jawatankuasa seperti ini yang bebas dan tidak dipengaruhi kuasa politik rakus dan rasuah perlu ditubuhkan bagi menunjukkan reformasi sistem kehakiman.
Jawatankuasa ini juga haruslah bertindak sebagai sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa dengan taring. Jadikan jawatankuasa ini sebuah jawatankuasa yang benar-benar bersifat sebagai jawatankuasa berwibawa, bersih dan benar-benar menakutkan sesiapa yang cuba melakukan sesuatu yang di luar etika tanggungjawab seorang.
Nota Pengarang:
* Bil Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim Dewan Rakyat telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada bulan Disember 2008. Bacaan kedua dijadualkan untuk minggu ini.
** Pada Jun 27, 2001 Mahkamah Persekutuan (panel hakim Steve Shim, Abdul Malek Ahmad dan Haidar Mohd Noor menolak pensabitan kesalahan 'menghina mahkamah' ke atas Zainur Zakaria serta membatalkan hukuman penjara tiga bulannya.