Sebuah lagi sekolah telah gagal, sekiranya laporan tentang murid sekolah di SK Seri Pristana di Sungai Buloh itu benar. Kanak-kanak sekolah dikehendaki menggunakan bilik persalinan di sebelah tandas sebagai kantin sementara kerana kantin sebenar telah ditutup dalam bulan puasa ini.
Seperti yang dijangkakan, TPM telah mengarahkan siasatan dijalankan dan kemungkinan menteri pendidikan yang seorang lagi akan menyatakan rasa sedikit kesal atas kejadian itu. Ini bukan kali pertama perkara hodoh sebegitu rupa berjaya merosakkan nama baik institusi pendidikan kita.
Pada tahun 2010 nama pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra di Johor muncul dalam berita lantaran komen bersifat perkauman terhadap pelajar-pelajarnya yang berbangsa Cina dan India. Lazimnya, dalam kejadian seperti itu, segala-galanya akan dilupakan apabila kegemparan reda. Kemudian satu lagi peristiwa berlaku apabila terdapat pentadbir berbangsa Melayu/Islam merasakan bahawa orang bukan Melayu/bukan Islam tidak cukup penting untuk dilayan dengan hormat dan bermaruah.
Apa yang berlaku adalah hasil peningkatan kesedaran Melayu-Islam yang dipromosikan oleh ahli politik dan birokrat Islam — yang menggunakan perkauman dan dalam beberapa kes, agama atau kedua-duanya sekali – yang mahu dikenal pasti sebagai juara bangsa dan agama mereka. Akan tetapi, dengan menggunakan ideologi patriotisme palsu dan Islamisasi, mereka sebenarnya telah menceroboh ruang awam dan mengisi fikiran orang ramai dengan terlalu banyak indoktrinasi karut-marut hinggakan sebahagian orang Melayu / Islam lupa akan kesopanan asasi manusia dan nilai-nilai asasi moral dalam hubungan mereka sesama manusia.
Proses itu telah menjadikan suara hati para pentadbir ini kaku, suatu keadaan, seperti kata orang tua-tua Melayu kita: hilang hati perut. Ia bermakna bahawa sikap adil, empati dan saling memahami yang sepatutnya tersemat kukuh dalam diri mereka telah pupus. Mereka tidak lagi boleh menghayati natijah tindakan mereka terhadap orang lain yang bukan daripada kumpulan mereka. Mereka sudah tidak lagi peduli.
Juara-juara palsu bangsa dan agama ini kemudiannya menyalahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam. Lalu mereka mengatakan bahawa orang bukan Melayu/bukan Islam tidak sensitif. Pagi tadi pun seorang Timbalan Menteri selamba menyalahkan penganjur berbangsa Cina kerana menganjurkan pertandingan ratu cantik sedangkan, kata beliau, penganjur berbangsa Cina itu maklum tentang terdapatnya fatwa mengenai pertandingan ratu cantik berkenaan. Secara tersirat beliau mengatakan bahawa orang Cina juga perlu mematuhi fatwa. Mungkin juga beberapa orang penulis blog yang tolol telah memberikan peluru kepada juara-juara palsu ini bagi menjustifikasikan kenyataan mereka.
Namun demikian, sepanjang ingatan saya, pada dasarnya, orang bukan Melayu dan bukan Islam sentiasa menghormati orang Melayu dan Islam. Selama bertahun-tahun setelah Merdeka, orang Cina dan orang India sentiasa menyisihkan diri dan sedar akan tempat mereka di bawah mentari Malaysia ini. Malah, keengganan mereka untuk terlibat dalam perkara-perkara utama telah sering diterjemahkan sebagai apati dan keengganan untuk terlibat dalam pembangunan bangsa.
Sekarang, generasi yang lebih muda mahu suaranya didengar. Tetapi mereka pula dituduh tidak mengenang budi. Rakyat Malaysia generasi muda ini tiba-tiba dilabelkan sebagai tidak patriotik. Suatu kursus khas mengenai kenegaraan telah disarankan bukan oleh calang-calang orang tetapi oleh Pemangku Raja Perak yang secara tersirat mengatakan bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam didapati tidak mempunyai perasaan setia kepada negaranya.
Sebaliknya, saya percaya bahawa, kalau adapun mereka yang perlu menjalani kursus kenegaraan, mereka adalah orang Melayu dan Islam yang lupa bahawa terdapat rakyat Malaysia yang berlainan bangsa dan agama yang sama-sama tinggal di negara ini.
Saya sudah bosan mendengar preskripsi yang diberikan oleh sesetengah daripada mereka yang dipanggil pemimpin, mengenai apa yang menjadikan negara ini tenat. Orang bukan Islam dan bukan Melayu mesti bangun menegakkan hak mereka kerana dengan itu sahajalah kita bakal memiliki sebuah negara yang sama rata. Orang Melayu akan juga memperoleh manfaat daripada keadaan ini apabila rakyat akan diperlakukan sebagaimana yang sewajarnya iaitu dengan keadilan dan ketenangan.
Pesalah sebenar putar-belit yang berlaku ini adalah orang Melayu yang selalu menyalahkan orang Cina lantaran kelemahan orang Melayu dan pendakwah Islam palsu yang mengajar orang Islam supaya takut akan Allah tetapi mudah lupa bahawa Allah juga memerintahkan kita supaya menjaga hak sesama manusia lebih daripada diri kita sendiri. Negara kita tenat kerana terdapat ajaran palsu dan ideologi palsu yang sudah hilang kesopanan dan maruah kemanusiaan. Ini telah menyebabkan hubungan yang bermakna antara rakyat di negara ini sukar dicapai.
Jadi pada hari jadinya yang ke-60, boleh tak kita minta PM kita menyatakan dan membuat sesuatu yang akan membetulkan kompas moral mengenai kelakuan yang baik antara orang Melayu dan bukan Melayu? Buang prisma yang memutarbelitkan yang sekarang ini memacu kita bertindak semata-mata berdasarkan kaum atau kepercayaan. Boleh tak kita bersetuju bahawa rakyat Malaysia, walau apapun kumpulannya, memberikan keutamaan atas dasar manusia (mengutamakan manusia), dan bahawa manusia layak mendapat layanan yang sama rata dan adil? Negara-negara maju memberikan keutamaan kepada pembangunan sesebuah masyarakat prihatin dan penyayang. Kita juga seharusnya begitu. Sudah semestinya kejayaan itu tidak boleh diukur menggunakan KDNK dan pendapatan per kapita semata-mata.