Kajian ini dijalankan untuk mengkaji peningkatan minat pelajar Tingkatan Dua terhadap subjek Sains KBSM. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian bulanan pertama, soal selidik minat pelajar, pemerhatian tidak berstruktur terhadap pelajar dan guru terlibat serta temu bual pelajar dan guru sains terlibat. Hasil tinjauan awal menunjukkan keputusan ujian bulanan pertama pelajar tingkatan dua paling rendah kelulusannya. Daripada 245 pelajar tingkatan dua hanya 27.8% (65 pelajar) sahaja yang lulus. Pemerhatian tingkah laku pelajar menghadapi proses P & P sains kelihatan tidak menyeronokkan, mengharapkan semua jawapan dari persoalan aktiviti diberi oleh guru. Guru dan pelajar menjalani proses P & P seperti dalam keadaan terkongkong dengan teks. Soal selidik minat pelajar menunjukkan 72.8% responden merasakan minat terhadap subjek sains semakin menurun. Perancangan kajian tindakan difokuskan bagi meningkatkan minat pelajar kepada subjek sains dengan melakukan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah menggunakan aktiviti "Science Explorace". Pelajar telah didedahkan kepada aktiviti "Science Explorace" selama sebulan mulai tarikh 1 April hingga 30 April 2005 dengan menggunakan ruang Bulan Sains dan Matematik SMK Serendah bagi meningkatkan minat pelajar terhadap subjek sains. Keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan minat pelajar selepas aktiviti "Science Explorace" dijalankan. Pelajar menanti-nanti aktiviti seperti "Science Explorace" dijalankan semula.