Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari 2013 berlangsung tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan itu. Pihak polis walau bagaimanapun menyatakan bahawa pihak penganjur telah melanggar tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui antara mereka dan polis sebelum ini. Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.
Apa yang menarik ialah kehadiran kanak-kanak berusia bawah 15 tahun di perhimpunan itu yang seolah-olah direstui oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Ada gambar-gambar yang menunjukkan sesetengah ibu bapa membawa anak-anak yang masih belum bersekolah dan perlu dibawa dengan kereta sorong bayi. Apakah tujuan mereka berbuat demikian?
Adakah perhimpunan tersebut satu pesta bersantai di hujung minggu bersama-sama ahli keluarga?
Mungkin ada yang terlupa peristiwa pukul-memukul dan ledakan gas pemedih mata yang dirasai oleh para peserta perhimpunan-perhimpunan anjuran pihak bukan kerajaan sebelum ini. Soal siasat tentang Bersih 2.0 masih terngiang-ngiang di ingatan tetapi ada ibu bapa yang sanggup mempertaruhkan keselamatan anak-anak mereka dengan membawa mereka ke HKR.
Adakah kanak-kanak itu sengaja dibawa untuk menjadi benteng pertahanan kepada orang yang lebih dewasa?
Risiko terhadap keselamatan kanak-kanak yang di bawah umur tetap wujud walaupun dalam ruangan awam yang paling ideal, inikan pula satu perhimpunan yang merangkumi pelbagai ragam manusia. Para peserta yang pelbagai dengan rencana masing-masing mungkin sahaja terbawa-bawa dengan keadaan sekitar dan mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Salah faham di antara pengikut tegar seseorang pemimpin boleh merebak membawa kekecohan dan tempiasnya dirasai oleh mereka yang tidak bersangkut-paut termasuk kanak-kanak.
Istilah ‘kanak-kanak’ mereka yang bawah 18 tahun
Kumpulan yang tidak bersetuju dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 memang mempunyai hak bersuara membantah apa juga yang didapati tidak munasabah di dalam akta itu atau tidak bersetuju dengan wujudnya akta tersebut tetapi semua mesti prihatin dan bertanggungjawab apabila ada isu yang melibatkan kanak-kanak. Kanak-kanak bukan orang dewasa.
Menurut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Sekurang-kurangnya pihak polis telah memberi kelonggaran dengan membenarkan mereka yang berumur di atas 15 tahun hadir di perhimpunan tersebut.
Bukanlah sesuatu yang begitu sukar untuk dipatuhi kerana memang kanak-kanak di dalam lingkungan umur di bawah 15 tahun masih belum tahu hujung pangkal apa sebenarnya yang sedang terjadi di sekitar mereka. Mereka masih di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga dan memerlukan bimbingan serta nasihat.
Kumpulan umur ini mudah dipengaruhi dan mungkin ibu bapa yang membawa mereka mahu kanak-kanak itu didedahkan dengan pelbagai pandangan serta pendapat. Satu tujuan yang baik dan murni. Tidak ada sesiapa yang akan membantah jika situasi perhimpunan terjamin aman sepanjang masa. Hakikatnya situasi aman bukanlah sesuatu yang terjamin.
Para peserta perhimpunan pula pasti sedar bahawa kemungkinan ada “agent provocateur” di kalangan mereka tidak boleh dinafikan. Keadaan yang tidak diingini boleh sahaja tercetus kerana memang sentiasa ada unsur-unsur yang mahu melihat sesuatu perhimpunan itu menjadi kucar-kacir. Lebih-lebih lagi jika perhimpunan itu dianjurkan oleh pihak bukan kerajaan.
Apalah yang bebudak faham tentang politik semasa?
Umur berapakah yang sesuai untuk kanak-kanak didedahkan dengan perhimpunan beramai-ramai seperti HKR?
Perhimpunan penuh emosi yang meluap-luap membakar semangat boleh dihadiri oleh kanan-kanak walau semuda manapun usia mereka jika pengendaliannya teratur dan terjamin. Sesuatu yang positif boleh diketengahkan kepada pelbagai kumpulan kanak-kanak bersesuaian usia mereka. Perkara utama yang perlu diingati oleh semua penganjur dan peserta ialah tahap pemikiran dan penerimaan kanak-kanak pada usia yang berlainan.
Kanak-kanak yang belum bersekolah tidaklah boleh disamakan dengan yang telahpun menjejakkan kaki ke sekolah rendah atau menengah. Pendekatan yang berbeza diperlukan walaupun topik yang hendak dikemukakan mungkin sama.
Kanak-kanak yang belum bersekolah atau hanya didedahkan kepada persekitaran sekolah tadika misalnya hanya tahu asas membaca, menulis dan mengira. Pemikiran dan tumpuan mereka masih berkisar pada waktu bermain bersama-sama rakan-rakan. Apalah yang mereka faham tentang politik semasa tetapi mungkin secara tidak langsung boleh diterapkan nilai-nilai sejagat seperti hakikat bahawa rakan mereka tidaklah terbatas kepada sesuatu bangsa, agama atau warna kulit.
Didikan asas yang menekankan bahawa kita semua bernaung di bawah satu negara boleh disemai perlahan-lahan selain apa yang diajar di sekolah. Tunjukkan contoh yang baik kepada mereka bahawa perjalanan hidup ini bukanlah hanya tertumpu kepada mencari wang semata-mata. Hak menikmati hidup aman damai dan berpeluang mencapai cita-cita tanpa kekangan yang melampau akibat diskriminasi adalah matlamat semua.
Pendedahan kepada nilai-nilai murni seperti keadilan dan bertimbang-rasa tidak sahaja terbatas semasa di sekolah atau di kelas agama tetapi hendaklah dipraktikkan di rumah. Itulah asas pendidikan yang sebaik-baiknya untuk golongan muda.
Mujur kanak-kanak selamat hari itu di demo
Kehadiran kanak-kanak di perhimpunan berbaur politik hendaklah dielakkan. Ibu bapa atau penjaga yang beria-ia hendak menyertai perhimpunan sedemikian bersama-sama anak-anak mereka yang di bawah umur hendaklah memikirkan semasak-masaknya risiko yang mungkin dihadapi.
Kemungkinan sesuatu yang tidak diingini berlaku juga masih wujud sementelah pihak lawan sentiasa mencari peluang mencetuskan pelbagai provokasi. Keadaan ini tidak akan berubah selagi setiap pihak beria-ia menyatakan dan yakin hanya pihaknya sahaja yang benar.
Penerimaan pemahaman bahawa pihak lawan juga mungkin ada benarnya sukar tercapai dalam masa terdekat jika dilihat suasana panas dan tegang yang sering kali tercetus apabila sesuatu isu panas menjadi topik perbualan semasa. Harapan kita hanyalah pada generasi muda yang mesti dididik bahawa pendapat dan pandangan berbeza tidak semestinya salah sentiasa.
Kanak-kanak di dalam kereta sorong bayi tidak tahu apa-apa. Dia pasti lapar dan dahaga. Kepenatan sudah pasti. Apakah keberangkalian dia akan masih ingat hari dia dibawa ibu bapanya ke suatu perhimpunan yang mahu menegakkan keadilan apabila dia melangkah ke sekolah?
Adakah dia lebih mahir dalam hal-hal kenegeraan berbanding rakan-rakannya yang lain di sekolah hasil penyertaannya tadi? Adakah dia akan lebih prihatin tentang kewujudan pelbagai rupa dan bentuk manusia di bumi ini?
Kemungkinan besar jawapannya adalah tidak kepada semua soalan tadi dan mujurlah dia selamat pada hari itu.