Bulan Disember 2012 mencatat sejarah yang menyayat hati apabila dua peristiwa pembunuhan dan serangan ke atas kanak-kanak berlaku di dua buah negara yang terulung di dunia, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Kenapakah peristiwa ini terjadi? Peristiwa di Amerika Syarikat dikaitkan dengan betapa mudahnya seseorang memiliki senjata api. Hak ini seperti tidak boleh diperdebatkan oleh kerana pihak yang menyokong kebebasan memiliki senjata api akan membangkitkan hak rakyat di bawah perlembagaan negara itu.
Malahan negeri di mana kejadian itu berlaku, iaitu Connecticut, telahpun mempunyai rang undang-undang yang ketat mengawal pemilikan senjata api tetapi malang sekali ini tidak menghalang tragedi hitam itu.
Kuasa melobi pihak yang menyokong pemilikan senjata api begitu kuat sehinggakan usaha untuk mengetatkan undang-undang berkaitan di seluruh negara menemui jalan buntu sejak sekian lama. Pihak pentadbiran pula belum berupaya mencari jalan yang sesuai dan boleh diterima oleh semua pihak kerana suara yang menyokong pemilikan senjata api memang lantang.
Walaupun kejadian demi kejadian berlaku saban tahun yang membabitkan orang yang tidak berdosa membuktikan undang-undang pemilikan senjata api yang lebih ketat amat diperlukan, tetapi pihak pro pemilikan senjata api tetap tidak mahu berganjak. Bentangkan apa sahaja hujah kepada mereka namun tidak terlintas langsung di fikiran kumpulan ini untuk menimbangkan semula pendirian yang sudah sebati dengan jiwa.
Sesetengahnya berpendapat hak yang termaktub di bawah pindaan perlembagaan kedua Amerika Syarikat iaitu hak memiliki senjata api untuk mempertahankan diri sendiri dan keluarga tidak boleh disentuh atau dipinda. Ada sesetengah negeri di Amerika Syarikat telah menggubal beberapa undang-undang tambahan supaya pemilikan senjata api lebih terkawal. Usaha sedemikian nampaknya tidak menghalang kejadian ngeri pembunuhan beramai-ramai oleh seseorang yang mengamuk.
Pembunuh mengalami tekanan mental
Di China pula, penyerang kanak-kanak itu telah menggunakan sebilah pisau, satu alat yang boleh didapati di mana-manapun dengan mudah. Penyerang itu juga mengamuk kerana tidak puas hati dengan apa yang telah berlaku terhadap dirinya. Pihak berkuasa masih membuat siasatan kenapa penyerang itu bertindak demikian.
Di dalam kedua-dua kejadian, mangsa penyerangan ialah kanak-kanak, kumpulan paling lemah di dalam sesuatu masyarakat. Mereka sepatutnya dibelai dengan penuh kasih sayang dan dibesarkan di dalam suasana aman damai. Jika peristiwa diserang secara tiba-tiba berleluasa, di manakah tempat mereka hendak berlindung dan membesar dengan penuh yakin tanpa ragu-ragu tentang keselamatan diri.
Senjata api atau alat apapun yang digunakan di dalam serangan ke atas kanak-kanak itu bukanlah penyebab sebenar peristiwa malang tadi terjadi. Manusialah punca sebenar kerana di tangan mereka terletak tanggungjawab sama ada mahu menggunakan alat tersebut ke jalan yang baik atau sebaliknya.
Orang ramai boleh membuat pelbagai andaian kenapa dan mengapa kejadian seperti ini semakin kerap terpampang sebagai berita utama akhbar-akhbar. Kejadian di Amerika Syarikat mungkin tidak memeranjatkan kerana peristiwa seperti ini pernah terjadi sebelumnya. Ini merupakan serangan pertama dalam ingatan yang melibatkan kanak-kanak di sekolah rendah berbanding kejadian-kejadian yang berlaku di sekolah menengah atau kolej sebelum ini.
Apa yang mungkin menjadi tanda soal ialah kenapa peristiwa seperti ini berlaku di China kerana negara tersebut memang terkenal dengan undang-undang jenayahnya yang ketat. Penjenayah yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh sering dipaparkan menerima hukuman ditembak sehingga mati di khalayak ramai sebagai pengajaran kepada rakyat bahawa mereka yang sabit kesalahannya tidak berpeluang meloloskan diri daripada kuasa undang-undang.
Apa yang menarik tentang kejadian di China ialah spekulasi tentang penyerang yang dikatakan mengalami tekanan mental, sesuatu yang dikaitkan juga dengan beberapa penyerang kanak-kanak sebelum ini.
Stigma dalam menerima rawatan mental
Ada yang mengaitkan pertambahan pesakit mental dengan pembangunan pesat ekonomi di negara China. Pembangunan ekonomi yang pesat ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima ramai. Ada juga yang ke samping, tidak berupaya menikmati faedah daripada kejayaan negara itu menjadi kuasa ekonomi besar di dunia.
Tekanan mental dan psikologi merupakan perkara lazim yang menghantui para pekerja pada masa ini. Sokongan dan bantuan untuk mereka yang mengalami tekanan sedemikian kurang diketengahkan dan masyarakat akan memandang serong terhadap seseorang yang dikatakan menghidap penyakit mental. Pelbagai sebab mencetuskan tekanan mental dan tidak ramai yang akan meminta bantuan ketika mula-mula disedari kerana kemungkinan besar mereka akan terus dicop sebagai orang gila.
Sementelahan pula kepada siapa hendak mereka meminta bantuan. Kunjungan ke hospital pasti suatu langkah yang amat berat kerana entah siapa yang akan bertembung dengan si pesakit. Mulut orang tidak boleh ditutup dan dengan serta-merta berita akan tersebar bahawa si-polan telah dikenalpasti seorang pesakit mental. Stigma itu akan kekal walaupun sebenarnya pesakit tersebut boleh berfungsi sebagai warganeara normal yang memerlukan bantuan perubatan.
Penyerangan terhadap kanak-kanak seperti pada tahap yang berlaku di Amerika Syarikat dan China belum lagi terjadi di Malaysia. Memang kanak-kanak dan ibu bapa mereka boleh bersyukur dan berasa selamat dengan persekitaran sekolah yang secara relatif lebih aman di negara ini.
Mungkin apa yang lebih membimbangkan ialah kejadian meragut yang sering berlaku dan boleh juga mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa.
Baik mencegah daripada mengubat
Peragut semakin berani dan tidak mengenal erti belas kasihan kerana matlamat utama ialah mendapatkan hasil pulangan yang lumayan daripada tindakan mereka. Ramai mangsa ragut juga yang cedera kerana tindakbalas secara spontan menyelamatkan diri dan harta benda, mencederakan diri mereka sendiri apabila terkejut dan bergelut dengan peragut.
Apabila kanak-kanak terlibat dalam situasi sedemikian pastilah terdapat kemungkinan lebih besar mereka yang akan tercedera dahulu.
Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat mengawal pemilikan senjata api tetapi kadang-kadang terdapat juga kelemahan daripada segi penyeliaan dan penjagaan alat tersebut. Kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu tentang sesuatu yang ditemuinya, berasa teruja melihat senjata api. Kalau tidak kena gaya akan membawa parah kepada kanak-kanak tadi.
Begitu juga dengan alat-alat yang sering didapati di rumah seperti pisau dan parang. Sesetengah kanak-kanak akan menyelongkar almari dan laci dalam kegiatan hariannya dan alat-alat yang tajam tadi mencederakannya.
Baik senjata api ataupun hanya sebilah pisau ada faedahnya. Alat-alat ini tercipta untuk memudahkan sesuatu kegiatan jika digunakan mengikut peraturan. Kanak-kanak pula memang harus diajar dari kecil bahawa bukan semua benda yang ditemui adalah alat permainannya. Alat-alat tersebut memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding alat permainan biasa. Penggunaan alat-alat yang boleh mencederakan atau membunuh memerlukan pengguna mempunyai sikap bertanggungjawab.
Kemungkinan penyerangan terhadap kanak-kanak berlaku lagi pada masa hadapan memang ada tetapi pemantauan terhadap senjata api boleh mengurangkan risiko kejadian itu berulang. Mereka yang dikenalpasti mengalami tekanan mental dan psikologi pula hendaklah diberi bantuan secukupnya dan masyarakat mesti mengubah sikap terhadap kumpulan ini.
Mereka yang sakit tidak harus dipulaukan kerana tindakan sedemikian mungkin mencetuskan peristiwa berdarah sekali lagi.