"Henti persoal Melayu" kata Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak semasa menggulung perbahasan perhimpunan agung Umno. Hanya Umno yang serius pertahan hak Melayu, kata sebuah kumpulan NGO tentang ucapan timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin di perhimpunan yang sama. Nampaknya parti pemerintah sahajalah yang boleh dipercayai dan diyakini untuk membimbing orang Melayu ke ambang kejayaan jika dilihat daripada ucapan-ucapan para pemimpin mereka.
Cuba kita perhatikan pula persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Nurul Izzah Anwar dalam jemputannya kepada Perkasa untuk berdebat tentang hak-hak orang Melayu. Nurul juga telah menulis lagi dan memperjelaskan tentang isu yang sama setelah beberapa tuduhan dan laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dengan pendiriannya. Di akhir tulisannya, dia menekankan bahawa dia hanya mahukan penjelasan dan penyelesaian; bukan mencabar atau hendak mengubah perlembagaan negara.
Parti pemerntah sering menyatakan bahawa terdapat satu 'kontrak sosial' yang telah dipersetujui oleh para pemimpin tanah air ketika negara mencapai kemerdekaan, Mana kontrak itu?
Kenapa rakyat tidak boleh mempersoalkan hak-hak mereka? Apa yang hendak disembunyikan, apa yang perlu diselindung? Tidak ada apa yang hendak dibimbangkan atau ditakuti.
Hak yang termaktub seperti kata Perdana Menteri tidak akan dapat diubah sewenang-wenangnya kerana sebarang perubahan perlukan persetujuan raja-raja Melayu. Kita semua sedia maklum raja-raja Melayu sudah tentu tidak akan membenarkan hak-hak orang Melayu dihapuskan begitu sahaja. Tambahan pula, raja-raja Melayu tentu sudah mendapat pandangan dan nasihat daripada semua yang berkepentingan.
Miskin tegar kebanyakan Melayu
Najib telah meyakinkan para hadirin di persidangan Umno tersebut bahawa orang Melayu merangkumi pelbagai ras dan kaum sehinggalah pada masa sekarang mualaf pun bertakrif Melayu. Alangkah manisnya semakin ramai orang Melayu di dunia mengikut takrif di Malaysia. Tetapi yang menikmati hak-hak orang Melayu itu siapa? Apa yang dilihat, hak-hak istimewa itu hanyalah untuk mereka yang mempunyai hubungan dengan parti pemerintah.
Orang Melayu yang lain masih merempat, betul atau tidak? Kalau tidak, masakan masih ada program membantu golongan miskin tegar yang tersiar di media massa. Rata-rata majoriti golongan ini terdiri daripada orang Melayu. Di mana hak istimewa mereka?
Kenapa agaknya antara tujuh nilai transformasi Umno yang diutarakan oleh Najib ialah 'mendahulukan rakyat'. Adakah ini bermakna, selama ini, 53 tahun sebagai parti terbesar dan yang berkuasa di negara ini, rakyat tidak didahulukan? Itulah kesimpulan yang diperolehi jika kita lihat secara kasar. Mungkin yang didahulukan ialah para penyokong parti dan sekutu-sekutunya, tidak kiralah sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.
Bukankah kita ini satu Malaysia? Susah senang bersama. Tetapi dalam mengagih kekayaan negara, kita yang sehaluan sahaja yang akan pasti senang bersama tetapi tidak yang berlainan pendapat.
Ini juga berkait rapat dengan amanat pertama iaitu menjaga maruah dan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri. Sejak bila agaknya para pemimpin parti itu tersedar bahawa ramai di kalangan ahli-ahli parti yang memang sudah jelas mementingkan diri sendiri. Sudah terang lagi bersuluh wujudnya ahli parti yang memang mementingkan diri sendiri dahulu, cuma kemungkinan besar pucuk pimpinan suka mengambil sikap pandang sebelah mata. Masing-masing punya kepentingan, takkanlah tergamak meludah ke langit, kerana yang terkena lambat-laun ialah diri sendiri.
Amanat yang diketengahkan oleh Najib kepada para perwakilan memang banyak menekankan sikap mendahulukan rakyat, seperti memahami pemikiran, hati dan jiwa rakyat. Berapa keratlah ahli parti yang benar-benar boleh mempraktikkan amanat ini? Dalam zaman yang penuh mencabar, manusia berlumba-lumba mencapai kejayaan dan nikamt hidup di dunia. Adakah tidak masa dan iltizam untuk merenung nasib mereka yang tidak menikmati segala faedah yang kita perolehi?
Apa yang kelihatan, ialah usaha setahun sekali memberi bantuan kepada fakir miskin menjelang hari raya. Bukankah kita semestinya memberi kail supaya golongan yang tidak bernasib baik ini berupaya memancing dan bukan hanya memberi ikan. Itupun, kita tidak pasti sama ada ikan segar atau tidak.
Siapa sebenarnya mendapat hak?
Realitinya yang beruntung bukan sahaja mendapat kail atau joran malah diberi kapal berkapisiti besar supaya mudah meredah samudera luas. Itulah realiti sebenar, yang sudah memiliki kemudahan dan kemewahan diberi peluang dan sokongan menambah kekayaan. Tanpa susah payah, tanpa usaha yang setimpal, bagai bulan jatuh ke riba, bantal disorongkan, enak sahaja menikmati faedah hak istimewa orang Melayu. Berapa ramai mereka ini? Bukan majoriti orang Melayu.
Majoriti orang Melayu mendapat sisa baki, hampas kelapa bukan santannya. Kalau mengikut saranan pakar kesihatan, santan kelapa tidak begitu digalakkan kerana boleh membawa mudarat tetapi hampas kelapa juga tidak elok. Apa yang perlu ialah pemakanan seimbang dan berkhasiat, yang boleh diperolehi oleh semua pada harga yang berpatutuan. Kalau semua diberi peluang yang sama menikmati makanan yang digalakkan untuk pertumbuhan badan, sekurang-kurangnya persaingan untuk menuju ke hadapan lebih adil dan saksama.
Ini tidak, kura-kura masih di belakang, arnab sudah meluru ke depan.
Begitulah amanat dan pesanan parti pemerintah. Jangan soal, jangan tanya. Terima sahaja apa yang diberi. Bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih boleh meneruskan hidup. Kalau sudah lahir sebagai pengikut kekallah di situ, jangan memandai hendak meminta lebih daripada bahagian yang telah diagihkan. Tetapi kalau hendak lebih, jangan segan-silu menyokong tanpa soal segala perintah dan saranan daripada para pemimpin.
Para pemimpin lupa dan alpa. Memang mudah lupa. Cuba kembali semula ke ayat pertama dalam Al-Quran. 'Iqra', bacalah. Perkataan ini sangat bermakna, penuh dengan inti pati apa yang patut dan mesti diamalkan.
Bacalah. Bukan membuta tuli, bukan menghafal, bukan menerima sahaja. Tetapi apa yang digalakkan ialah berfikir, menyoal, merumus, memberi pandangan, walaupun berbeza. Kalau tidak masakan timbul pelbagai mazhab dan pandangan dalam agama Islam. Kalau Al-Quran terbuka untuk diperdebat dan dibincang, kenapa tidak hak-hak orang Melayu?