
Berita tentang pemerintah Indonesia hilang kuasa mengharamkan buku sewenang-wenangnya memang sesuatu yang menggembirakan. Yalah, tumpang gembira kerana di Malaysia, kartunis pun akan ditahan kerana kononnya kartun yang dihasilkan boleh menggugat ketenteraman awam.
Kartunis Malaysiakini, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar ditahan pada Sept 24 di bawah Akta Hasutan kerana menerbitkan buku yang didakwa 'boleh menjejaskan kepentingan orang awam' dan 'mempengaruhi rakyat memberontak dan menentang polisi kerajaan'. Mujurlah penulis buku '8 March' tidak ditahan walaupun alasan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah sama iaitu pengedaran buku itu akan memudaratkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam dengan meracuni fikiran pembaca khususnya kaum India.
Memudaratkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam? Memang sudah mudarat, bukan? Saban hari kita membaca berita tentang kes ragut misalnya yang membawa padah kepada mangsa. Bukankah mangsa itu orang awam dan keselamatannya telah dimudaratkan? Menjejaskan kepentingan awam? Tak pentingkah mangsa ragut, orang awam juga bukan?
Memang benarlah seperti yang sering dikatakan, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Itulah punca dan sebab sebenarnya buku-buku dan apa juga penghasilan kreatif diharamkan.
Keselamatan dan ketenteraman pemerintahlah yang hendak dipelihara bukan orang awam. Pemerintah tidak harus memandang rendah tahap pemikiran rakyat. Mereka juga boleh menimbangkan mana yang baik dan mana yang buruk.
Bukankah pendidikan dalam negeri yang diwawarkan sebagai antara yang terbaik di dunia telah melahirkan rakyat generasi kini? Perjalanan hidup di sekolah dan institusi pengajian tinggi tempatan telah menghasilkan warga negara yang boleh berfikir, menganalisa sesuatu persoalan, mencari jawapan dari pelbagai sumber, merumus dan bertindak mengambil keputusan yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Daya penarik benda terlarang
Pengharaman hanya mencetus perasaan ingin tahu yang lebih mendalam terhadap bahan yang diharamkan. Matlamat asal untuk menjaga ketenteraman awam mungkin tersasar kerana yang ingin tahu pasti cuba sedaya-upaya memperolehi apa yang dilarang. Mungkin naluri semula jadi manusia. Apa yang tidak dibenarkan mempunyai daya tarikan yang lebih.
Pendekatan mengharamkan sesuatu hanya membuka jalan yang lebih kreatif untuk penghasilan lebih banyak karya yang subversif pada pandangan pemerintah. Dunia siber pada masa ini memungkinkan pengedaran yang lebih banyak dan cepat bahan-bahan yang tersenarai hitam.
Lucu juga jika kita lihat cara pemerintah menangani sesuatu yang kononnya menggugat ketenteraman awam. Seolah-olah kelambu dibakar dek pijat seekor. Mungkin juga pemerintah tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh menangani masalah sebenar yang membuahkan reaksi orang awam tentang sesuatu isu sensitif.
Rakyat Malaysia sudah masak dengan khabar-khabar angin kerana kadang-kadang, berita yang dikatakan tidak sahih itulah berita sebenar. Tetapi tentu sekali pemerintah tidak mengaku kerana berita rasmi yang dikeluarkan mereka itulah yang mesti dipercayai orang awam. Tidak boleh tidak. Hanya satu versi yang dicop, diluluskan oleh jentera pemerintah yang boleh digunapakai oleh orang ramai. Apa juga perbezaan pendapat tidak akan dilayan dan jika kita terus berdegil mahu memberi pandangan, tentu sekali mengikut kata pemerintah akan menggugat ketenteraman awam.
Ungkapan yang sering dilaungkan -- 'menggugat ketenteraman awam'. Teringat pula ketika Dilema Melayu tulisan Dr Mahathir Mohamad yang diharamkan ketika mula diterbitkan. Ungkapan yang sama digunakan, menggugat ketenteraman awam tetapi setelah pengharaman ditarik balik dan buku itu berada di pasaran, kita masih hidup aman damai.
Ada yang mengatakan, masa memainkan peranan juga dalam keputusan mengharamkan sesuatu. Pada masa mula diterbitkan Dilema Melayu terlalu sensitif dan provokatif pada pandangan pemeritah. Tidak ada apa yang diubah dalam buku itu ketika statusnya sebagai buku yang diharamkan berkuatkuasa. Oleh kerana itu tentu sekali apabila buku tersebut diterbitkan semula, semua yang sensitif dan provokatif tetap kekal untuk tatapan semua pembaca. Pembaca dan masa telah berubah?
Mungkin satu faktor yang meyakinkan pemerintah bahawa buku itu selamat untuk diedarkan, tidak menggugat ketenteraman awam lagi. Sungguh subjektif bukan?
Politikuslah yang paling melucukan
Itulah yang hendak ditekankan oleh semua yang mahu kebebasan berkarya. Apa yang diharamkan hari ini boleh dihalalkan esok. Mana konsistensinya? Oh ya, konsisten dalam pengharaman memang wujud. Apa juga yang tidak direstui pemerintah memang menjadi calon pengharaman. Hanya menunggu masa. 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism', terbitan Sisters in Islam (SIS) 2006 diharamkan pada tahun 2008. Jarak masa dua tahun. Lama juga ketenteraman awam tergugat, ya?
'Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology' tidak diharamkan setakat ini tetapi naskah yang masih ada di kedai buku Kinokuniya, Kuala Lumpur telah diambil oleh pihak pemerintah. Walhal buku itu diterbitkan pada tahun 2009 dan hanya sekarang tindakan hendak diambil?
Kalau ketenteraman awam menjadi kriteria utama mengharamkan sesuatu penerbitan, kenapa buku-buku tersebut tidak diambil pemerintah ketika mula diterbitkan. Mungkin hanya apabila ada pihak yang membuat laporan yang buku itu memang boleh menggugat ketenteraman awam, tindakan susulan akan diambil. Mengikut kata penerbitnya, buku itu setakat ini telah terjual sebanyak 2,900 naskah dan ia tidak bercadang menerbitkan naskah tambahan.
Rupa-rupanya penerbit itu juga telah menghadapi situasi yang sama pada Februari 2010 apabila sembilan naskah "Malaysian Politicians Say the Darndest Things (Vol. 2)" diambil oleh pihak polis di MPH Mahkota Parade, Melaka. Buku tersebut diterbitkan pada Januari 2009, jarak masa setahun untuk ketenteraman awam tergugat sekali lagi.
Paling menghairankan, buku ini adalah kompilasi kata-kata yang diutarakan oleh politikus daripada segenap lapisan dan aliran. Kompilasi yang memaparkan semula apa yang telah tersiar di media massa. Tentu sekali negara sudah porak-peranda apabila ucapan dan kata-kata tersebut buat pertama kali tersiar untuk tatapan semua, menggugat ketenteraman awam.
Inilah senario yang sentiasa berkunjung.
Nasib sesiapa sahaja yang mahu memberi pandangan dalam apa juga bentuk di Malaysia tetap akan tergugat, ibarat telur di hujung tanduk. Pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika hasil diterbitkan atau beberapa tahun kemudian, kemungkinan notis pengharaman diberikan memang wujud. Kadang-kadang kita sendiri yang tidak tahu menahu tetapi disedarkan apabila rakan-rakan bertanyakan ke mana hilangnya hasil titik peluh kita. Selidik punya selidik, telah diharamkan. Kenapa? Menggugat ketenteraman awam.
Lucu memang lucu.