Bagi negara kita, Akta Keselamatan Negeri atau ISA pada dasarnya adalah satu warisan daripada pemerintahan kolonial Inggeris. Pada mulanya akta ini dengan jelasnya dimaksudkan sebagai perisai untuk menghadapi agitasi dan gerakan komunis di Tanah Melayu. Apalagi sidang pleno ke-4 Parti Komunis Malaya 1948 telah menggariskan cara untuk mencapai kemerdekaan di negara Malaya ketika itu, iaitu melalui 'perjuangan revolusioner'. Perjuangan revolusioner bererti berlawan dengan senjata.

Sebuah peristiwa pada Jun 16 ,1948 telah terjadi yang mana tiga orang pentadbir kolonialis dipukul oleh staf komunis di Sungai Siput, Perak. Oleh kerana itu maka diambil keputusan oleh pemerintah kolonial untuk mengumumkan keadaan darurat di Perak dan Johor. Seminggu kemudian, keadaan darurat meliputi seluruh Malaya dan Singapura.

Keadaan darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan kolonial Inggeris pada tahun 1948 itu dimansuhkan secara rasmi pada tahun 1960. Pada tahun yang sama juga undang-undang ISA digubal. Dalam masa keadaan darurat, pihak pemerintah akan menangkap sesiapa saja yang mereka curigai tanpa keharusan menghadapkannya ke muka pengadilan. Itulah ciri ketara dan penting ISA. Kuasa tahanan pencegahan tanpa perbicaraan.

Parti-parti pembangkan ketika itu termasuk PSRM, DAP, PAS dan juga badan-badan pertubuhan politik NGO seperti Aliran tidak jemu-jemu sentiasa mengutuk undang-undang ISA ini.

Akta ini juga setelah melalui proses penggubalan yang mana 'kuasa luar biasa' telah menjadi suatu ciri yang kekal pula dalam undang-undang yang biasa, iaitu undang-undang sivil tanah air kita. Kuasa tahanan pencegahan itu dianggap sebagai suatu penyimpangan kuasa bagi satu-satu tempoh seperti waktu darurat, kini kekal termaktub di dalam buku-buku statut. Peruntukan ini membuka peluang untuk disalahgunakan bagi kepentingan elit pemerintah.

Adalah penting diperhatikan juga bahawa dalam beberapa segi terdapat perlindungan yang lebih berkesan bagi tahanan yang ditangkap di bawah undang-undang darurat yang wujud terlebih dahulu lagi daripada undang-undang ISA. Jadinya sementara di bawah kedua-dua undang-undang itu terdapat peruntukan bagi orang tahanan memperolehi perwakilan terhadap tahanannya kepada sebuah badan bernama Jawatankuasa Kajian Semula.

Kuasa-kuasa pada Jawatankuasan Kajian Semula ini di bawah ISA sekadar memberi nasihat yang tidak perlu dipatuhi oleh Menteri Dalam Negeri, sedangkan di bawah undang-undang darurat, jawatankuasa tersebut mempunyai kuasa 'memerintah bahawa si tahanan itu tidak lagi ditahan'. Lihat Peraturan 17[4A] Peraturan-peraturan Darurat 1951 yang dibuat di bawah Ordinan Peraturan Darurat 1948.

Ops Lalang

Isu ISA bergelora di tahan air kita apabila pemerintah menangkap seramai 106 orang mulai 27 Oktober 1987 dulu. Peristiwa itu adalah tangkapan yang paling ramai pernah dibuat di dalam satu operasi yang menggunakan ISA. Justeru peristiwa itu mendapat liputan hebat dari media tempatan mahupun antarabangsa. Buat sekita Malaysia pun mendapat perhatian luar negara. Pemerintahan di bawah Mahathir Mohamad ketika itu diselar habis oleh badan-badan yang berorientasikan keadilan sosial.

Sehingga kini peristiwa yang juga digelar sebagai Operasi Lalang tidak mungkin dilupakan dan dipercayai akan kekal sebagai satu titik hitam dalam sejarah politik tanah air kita.

Orang-orang yang diserkup dalam operasi yang menggunakan ISA itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang kegiatan mereka tiada langsung berhubung-kait dengan komunisme. Mereka pun bukan ahli komunis. Mereka adalah terdiri daripada wakil dari parti pembangkang, aktivis dari kelompok alam sekitar, pengguna dan kepentingan umum, kesatuan sekerja, para akademik dan ahli dari pertubuhan agama.

Sebarang dakwaan yang kesemua itu dari latar belakang dan kumpulan yang berbeza orientasi ideologi mereka dengan tiba-tiba menjadi ancaman keselamatan negara agar sukar diterima akal sihat. Tetapi adalah pasti bahawa kumpulan 106 itu bersikap kritikal dan kritis terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Umno. Mereka bersuara lantang terhadap pemerintah kerana pemerintahan ditanggapi sebagai melakukan banyak pelanggaran hak-hak asasi manusia di bumi Malaysia, namun mereka bukan juga dari parti komunis.

Namun Akta ISA yang pada mulanya dijanjikan akan ditujukan kepada pengganas komunis saja telah diaplikasikan bagi membungkamkan gerakan yang berciri menuntut keadilan sosial.

Apakah penggunaan undang-undang ISA boleh melumpuhkan gerakan rakyat yang menuntut perubahan atau reformasi sosial? Mungkin ISA boleh untuk sementara membantutkan gerakan rakyat. Suara-suara bernada kritik tajam lagi konstruktif tidak mungkin boleh lesu dan pudar sama sekali.

Protes 'Mansuhkan ISA'

Pada awal Ogos tahun 2009, seramai berpuluh ribu pencinta keadilan sosial dan hak asasi manusia dari pelbagai kumpulan dan etnik telah turun ke padang di sekitar dada dan jantung Kuala Lumpur dan mendesak agar pihak pemerintah memansuhkan ISA.

Mereka berarak aman pada mulanya tetapi dibalun dengan air kimia yang memedihkan mata oleh pihak Unit Rizab Persekutuan (FRU). Pihak pemerintah masih tidak beranjak akan memansuhkan ISA malah bertegas yang baginya ISA itu amat perlu bagi membentuk sebarang kemungkinan kegiatan rusuhan yang boleh menjejaskan perpaduan pelbagai bangsa Malaysia meskipun pihak pemerintah menyedari bahawa gerakan anti-ISA itu bukanlah orang komunis.

Apatah lagi Malaysia mempunyai banyak akta untuk menangani kes-kes keganasan. Pokoknya pemerintah menentang ISA kerana ISA boleh menghambat mereka daripada menyuarakan isu-isu yang menafikan hak-hak asasi mereka dan kritik terhadap elit pemerintah.

Sungguhpun tujuan ISA di mana-mana negara yang masih memilikinya dinyatakan sebagai satu langkah pencegahan, namun tidak boleh disangkal sama sekali yang ia selalu digunakan dan sering disalahgunakan juga sebagai satu senjata untuk menghukum dan membungkamkan para penentang lawan-lawan politik terhadap kuasa kerajaan yang memerintah.

Oleh itu adalah jelas sekali selagi akta ini termaktub di dalam buku-buku undang-undang di mana-mana negara jua pun ia akan terus menjadi satu ancaman kepada kebebasan sivil. Maka itu, sesiapa yang menjunjung tinggi kebebasan bagaimana kecil sekalipun sumbangannya harus berusaha ke arah pemansuhannya secara total.

ISA di negara Afrika Selatan telah dihapuskan sama sekali sebaik saja sistem apartheidnya dihapuskan. Di Singapura ISA masih dikekalkan. Di Malaysia harapan untuk melihat ISA ini dibubarkan mungkin terjadi sekiranya parti Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.