interlok-press

1hb Mac 2011

Kenyataan akhbar Bersama 6 Pertubuhan

1.  Kenyataan Umum

Sebagai satu kumpulan NGO pelbagai kaum, kami yang terdiri daripada LLG, NIAT, Suaram, KLSCAH, Paksi dan Budayawan Bertindak dalam dialog tertutup di Pejabat LLG di Bangunan UCST, Kuala Lumpur pada malam 24 Februari 2011:

Menyedari sepenuhnya hakikat bahawa cadangan Interlok dijadikan buka teks KOMSAS Tingkat 5 (1), telah tersasar menjadi kontroversi yang begitu rumit  dan meresahkan, seolah-olah kita telah mencapai jalan buntu.   Demi kepentingan kesejahteraan negara, keharmonian antara kaum, dan khasnya kepentingan pelajar, kami dengan ini menyeru supaya suatu penyelesaian rasional yang segera  diambil sebelum terlewat.

Kami juga sebulat suara menggesa supaya semua pihak, baik kerajaan, parti-parti politik maupun pelbagai organisasi yang mewakili pelbagai kaum di negara kita,  menghadapi dan menangani kemelut ini dengan penuh kewarasan dan bijaksana.  Untuk mencapai tujuan itu, semua pihak mestilah duduk semeja, bergabung tenaga untuk mencari penyelesaian dengan penuh kesabaran, hikmah dan bertanggungjawab.

Untuk mencari kejernihan itu, semua pihak perlulah segera bertenang, agar seluruh isu ini dapat ditangani dengan dada yang tenteram dan kepala yang dingin. Dalam konteks ini, kami menyeru agar pemimpin-pemimpin pelbagai pihak yang terlibat, segeralah tampil untuk meredakan keadaan. Sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada massa yang mereka pimpini, maka mereka hendaklah segera menyeru para pengikutnya supaya bertenang dan mengetepikan segala sentimen yang tidak diingini.

Untuk membawa mesej bahawa yang waras itu jauh lebih unggul dan perlu disemai dalam kalangan masyarakat ? oleh itu mestilah diutamakan, maka  kami  telah memutuskan suatu forum terbuka terdiri daripada penulis-penulis dan budayawan pelbagai kaum diadakan pada masa terdekat, sebagai inisiatif bersama untuk mengupas hakikat yang tersirat mengikut pendekatan yang tersebut di atas.

Kami juga bersama-sama mengecam tindakan penangkapan peserta perhimpunan aman Parti Hak Asasi Manusia (HRP) pada 27hb Feb 2011 di KLCC kerana telah mencabul hak kebebasan bersuara mereka.

2. Isu Pokok yang telah dibangkitkan

NIAT (National Interlok Action Team) misalnya membangkitkan hakikat bahawa novel Interlok ini tidak memenuhi semangat yang telah diseru oleh Nabi Muhammad SAW dalam khutbah perpisahannya bahawa tidak ada satu bangsa pun yang lebih mulia atau hina kerana latar belakang keturunannya.

Di samping itu novel ini gagal memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan di bawah panduan penulisan buku teks KBSM, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Mengikut NIAT lagi, novel Interlok ini tidak sesuai dijadikan teks sastera di sekolah menengah kerana sifatnya yang menghina, mengelirukan/tidak tepat faktanya, menyalahi nilai-nilai agama dan juga budaya sesetengah kaum di negara ini.

Paksi dan Budayawan Bertindak menegaskan sekali lagi bahawa karya kreatif seperti novel tetaplah karya kreatif dan oleh kerana itu, mestilah dilihat sedemikian.  Namun begitu, akibat  sepak terajang hodoh politik yang melampaui batas-batasnya yang waras terhadap novel ini, Paksi dan Budayawan Bertindak berpendapat bahawa masalah yang timbul sekarang ini sudah berada di luar kawalan pemahaman sastera dan budaya semata-mata.

Berdasarkan hakikat ini, maka Paksi dan Budayawan Bertindak menggesa seluruh warga sastera dan budaya ? tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit dan juga fahaman politiknya ? supaya segera bangun dan bersatu menentang tindakan campur tangan politik dalam isu ini.

LLG dan juga KLSCAH berpendapat oleh kerana novel ini khusus menggambarkan sejarah imigran, dan penulisnya cuba melalui interaksi tiga keluarga (iaitu keluarga Seman, keluarga Cing Huat dan keluarga Maniam) untuk mensimbolikkan   hubungan tiga kaum besar di negara ini dengan persembahan yang agak stereotaip, justeru keabsahan sejarahnya agak diragui. Tambahan pula banyak kelemahan dan  nilai-nilai negatif  ketiga-tiga kaum tersebut telah disentuh, maka sudah barang tentu mudah sekali menimbulkan kontroversi memandangkan sentimen perkauman di negara kita sekarang masih tebal. Justeru itu, kedua-dua NGO ini berpendapat bahawa novel ini sama sekali tidak sesuai untuk dijadikan buku teks.

Demi kesejahteraan dan masa depan negara, LLG dan KLSCAH menyeru agar semua pihak berlapang dada dan waspada dengan pendirian masing-masing agar tidak diperalat oleh pihak tertentu.  Sehubungan itu, ‘sikap tegas’ yang terlalu emosional  hendaklah dielakkan, agar segala sentimen yang tidak diingini bisa digantikan dengan kewarasan menangani isu sulit ini semata-mata berasaskan kepada penilaian sama ada karya terbabit dapat memenuhi kriteria-kriteria yang sedia wujud untuk memilih sebuah  buku teks menurut permintaan pendidikan dan kepentingan pelajar.

 

1.      Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (LLG)

2.      National Interlok Action Team (Niat)

3.      Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor

4.      Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)

5.      Budayawan Bertindak

6.      Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

 

_______________________________________________

(1) Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggunakan novel Interlok karya Sasterawan Negara,  Abdullah Hussein sebagai teks sastera untuk para pelajar tingkatan lima,  di sekolah-sekolah untuk Zon 2 yang terdiri daripada Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur

Source: