Buat masa ini, media massa terlalu memberi tumpuan kepada tuntutan budak-budak lepasan SPM yang hampa terhadap JPA. Di sebaliknya, orangramai kurang arif tentang skop jabatan tersebut.

Betulkah persepsi bahawa biasiswa JPA lazimnya akan diberikan kepada anak-anak kroni ataupun mereka yang rapat dengan pihak penganjur? Sekiranya ada di kalangan khalayak umum yang bertanggapan sedemikian, nescaya kita bertanya siapakah yang mendapat imbuhan selama ini ?

Pada minggu lepas, timbalan presiden MCA Dr Chua Soi telah menulis di blognya: "Malaysia termasuk dalam segelintar negara yang membekalkan biasiswa bagi lepasan SPM (yang sejajar dengan O-level) walhal di kebanyakan negara-negara lain, A-level yang menjadi kayu pengukur bagi melanjutkan pelajaran ke universiti."

Kalau ikut adat, sebenarnya peluang biasiswa harus dibuka kepada mereka yang berkelayakan STPM (sejajar dengan A-level), dan bukannya SPM.

Misalannya, tiga A-level diwajibkan oleh Universiti Oxford, walaupun ada juga syarat-syarat lain yang mungkin perlu dipenuhi pemohon (khusus kepada sesuatu kursus itu). Yang berjaya masuk Oxford pada tahun 2008, sejumlah 98.2 peratus berpencapaian A-A-A sementara 1.6 peratus memperolehi A-A-B. Di United Kingdom (UK), cemerlang 'straight As' berupa tiga A sahaja; di Malaysia, 'straight As' merujuk kepada 'A' yang melambak-lambak.

Dari segi demografik, negara kita digolongkan sebagai sebuah negara muda. Kita ada 27 juta orang penduduk, yang mana 73 peratus di bawah usia 40 tahun. Pada tahun 2006, satu-pertiga (32.4%) rakyat Malaysia di bawah umur 15 tahun. Mengikut statistik yang dikeluarkan tahun lepas oleh Jabatan Perangkaan, lebih kurang 5.5 juta anak muda Malaysia duduk di bangku sekolah.

Pada 2008, seramai 442,936 murid mengambil peperiksaan SPM dan bilangan top scorers semakin bertambah. JPA tidak akan mampu menjaminkan biasiswa secara automatis kepada setiap seorang sekiranya begitu ramai yang bergelar penuntut straight As.

Berbanding penuntut Tingkatan Lima, penuntut Tingkatan Enam kurang bilangannya. Yang mengambil STPM tahun lepas hanya 53,638 orang. Natijah itu, sekiranya biasiswa JPA diberikan kepada pemohon lepasan STPM sahaja, maka akan lebih senang JPA menapis calon-calon yang patut dan berhak menerimanya.

Sarat dengan 'A'

Kalau dulu, budak yang dapat 8A bukan kepalang pandainya tetapi masa sekarang, dapat 16A barulah orang kagum. Sikap asyik mengejar 'A' adalah gejala yang memperlihatkan betapa khusyuknya kita dengan konsep Malaysia Boleh.

Cuba bandingkan budak-budak sekolah di negara jiran kita, yang dikira negara Dunia Pertama. Mereka tidak mengambil 15 atau 20 mata pelajaran macam kita. Di Singapura, penuntut yang paling berjaya di peringkat O-level ialah seorang gadis yang mencatatkan 10A1, dan dalam pada itu, dia juga bukan warga Singapura tetapi berasal dari Subang Jaya, Malaysia.

Sedangkan kita di sini menang sorak kampung. Azali Azlan, seorang penuntut sekolah agama di Yan, Kedah telah mencatatkan 21A pada tahun 2007. Adakah pencapaiannya yang 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang' itu membayangkan taraf pendidikan kita tinggi secara keseluruhannya?

Entah-entah sukatan pelajaran sekolah menengah sudah dipermudahkan ... anak saudara saya yang baru sembilan tahun pun berupaya menjawab kertas SPM Bahasa Inggeris.

Pencapaian yang menonjol di Singapura ialah 10A; yang lulus istimewa di Malaysia ialah 20A. Pendekatan ketara berbeza dan nampaknya tuaian 'A' kita dua kali ganda, jauh mengalahkan Singapura. Namun universiti Singapura bertempat di tangga teratas, sebaris dengan negara-negara maju; di mana letaknya Malaysia?

Lim Kit Siang, Tony Pua dan Anthony Loke – para Yang Berhormat DAP tatkala membahaskan topik biasiswa JPA di suatu forum pada malam Selasa lalu – mengajukan bahawa pelajar cemerlang SPM 14A atau 15A patut diberikan keutamaan dalam pertimbangan anugerah biasiswa. Saya tidak sealiran pendapat dengan mereka.

Pada hemat saya, kurang masuk akal kalau mahu memupuk sifat kiasu yang mendorong para penuntut mengambil terlalu banyak matapelajaran sehingga ia membebankan. Hakikatnya remaja keluarga kelas menengah terlalu banyak menghabiskan masa menghadiri kelas tuisyen, mengulangkaji kertas soalan tahun-tahun lepas dan mencedok contoh jawapan. Sukar untuk diketahui sama ada mereka ini kuat belajar untuk tujuan lulus peperiksaan ataupun untuk menimba ilmu.

JPA telah memutus untuk membuat pilihan calon atas kriteria 9A (yakni 10A atau lebih tidak mendatangkan faedah) dan keputusan tersebut memang wajar.

Menaiktaraf sumber manusia

Pastinya timbul kekecohan setiap tahun kerana ramai bukan-Melayu kecewa serta mempertikaikan ketelusan lembaga yang menganugerahkan biasiswa JPA.

Satu cadangan jalan keluar dari kebuntuan saat ini adalah supaya bantuan kewangan JPA disalurkan kepada individu berumur 25 ke atas. Biar biasiswa JPA memanfaatkan orang yang lebih matang – seperti guru, pensyarah dan pelatih di maktab teknik atau vokasional – serta lain-lain yang terlibat dalam sektor-sektor penting yang membawa kepada pembangunan negara. Antara yang harus diberi keutamaan ialah mereka yang bertugas di kawasan luar bandar ataupun pedalaman, misalnya Pegawai Daerah.

Individu di jabatan 'perkhidmatan awam' yang telah memegang jawatan sekurang-kurangnya lima tahun, yakni sekitar usia 30, harus juga ditaja untuk ijazah Sarjana. Setakat ini, sebahagian besar peruntukan biasiswa JPA nampaknya adalah untuk ijazah pertama dan matrikulasi.

Memandangkan JPA itu singkatan untuk Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kita harus memikirkan, di samping mereka dalam bidang perguruan, kelompok mana yang turut memberi sumbangan khidmat.

Antara yang paling banyak menumpahkan jasa kepada masyarakat ialah pasukan keselamatan berseragam seperti ahli bomba. Kakitangan-kakitangan jabatan kerajaan – contohnya bomba, perhilitan, polis – harus dihantar ke luar negeri untuk mempelajari teknologi yang paling canggih dan kaedah moden berhubung kait dengan lapangan kerja mereka.

Anggota polis yang muda juga boleh diberikan latihan dan dedahan luar negeri di akademi-akademi polis yang terulung. Ini insentif bagi polis meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

Tidak semestinya kita terikat kepada ide bahawa biasiswa perlu dihulurkan kepada lepasan SPM – peperiksaan yang didakwa hanya menguji kebolehan menghafal dan mengitar semula nota yang disalin. Sebagai alternatifnya, baik kalau graduan universiti tempatan boleh ditaja pengajian Sarjana mereka daripada penuntut matrikulasi and ijazah pertama yang boleh mengikuti kursus yang mereka minati di kolej tempatan.

Menceritakan pengalamannya sepanjang lebih 13 tahun sebagai ahli lembaga Yayasan Pendidikan Johor, Dr Chua berkata dia sering menjalankan temuduga dengan pemohon biasiswa. "Saya cukup kecewa mereka begitu cetek pengetahuan am serta kurang berminat dengan berita and isu perkembangan semasa walaupun sangat baik keputusan peperiksaan mereka."

Beliau juga memberitahu: “Bila ditanya soalan mudah, contohnya 'Mengapa anda memilih untuk mengikuti kursus ini', mereka membisu seribu bahasa???. Dr Chua merumus kesimpulan bahawa generasi pelapis kita sekadar ulat buku.

Masalah prestasi IPTA

Saban tahun adik-adik yang menunggu bulan jatuh ke riba akan mengadu kepada MCA dan MIC, dan kini DAP perihal mereka dianaktirikan. Mereka mendakwa bahawa JPA berat sebelah.

Dirasakan sia-sia sahaja usaha mereka memerah otak apabila budak-budak bijak diketepikan tetapi rakan yang tidak sehebat pencapaian akademik dibelai JPA. Pengajaran hidup yang pahit ini menyebabkan budak-budak menggelar JPA, 'Janji Putus Asa'.

Akan tetapi mereka harus sedar bahawa JPA bukannya satu-satu badan yang menyediakan biasiswa. Badan-badan lain ada menawarkan biasiswa juga. Contohnya Bank Negara yang menaja Azali. Malah Sufiah Yusof yang berbakat luarbiasa matematik dan bukan seorang warga Malaysia dulunya menerima tawaran melimpah-limpah!

Mantan Menteri Goh Cheng Teik mengenangkan zaman persekolahannya tatkala beliau ketua pengawas sekolah St Xavier's Institution di Pulau Pinang. Beliau telah memohon untuk mendapat biasiswa kerajaan supaya boleh melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya dalam bidang perubatan tetapi ditolak.

Umpama perpatah 'niat hati hendak getah bayan, tergetah burung serindit', lalu Goh menjelajah ke Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

JPA menawarkan 2,000 biasiswa yang menjadi rebutan. Lapan ratus calon yang gagal permohonan mereka telah membuat rayuan. Walaupun perhatian media tertumpu kepada mereka ini, sebenarnya permasalahan masa kini yang mendesak ialah mutu pendidikan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Beberapa hari lalu ketika saya mengunjungi warong kegemaran saya, seorang jejaka mendekati saya untuk mempromosikan mainan jigsaw. Alangkah sayangnya seorang siswazah UiTM (yang lulus dua tahun lepas) bekerja sebagai jurujual jalanan, manakala ada juga yang menganggur.

UiTM ialah universiti terbesar di Malaysia dengan sejumlah 95,000 penuntut di kampus. Universiti-universiti yang ditubuhkan lebih awal seperti UPM, UTM, UM, USM dan UKM masing-masing mempunyai di antara 25,000 dan 30,000 penuntut. Dicampurkan sekali dengan politeknik, mungkin genap sejuta penuntut IPTA kita.

Ada yang meminta kerajaan menunaikan tuntutan budak-budak yang beria-ia hendak ke luar negeri. Akan tetapi, bukankah pada masa yang sama kita harus lebih peka kepada IPTA tempatan? Taburkan pelaboran dari segi kewangan, prasarana dan juga sumber tenaga pengajar supaya anak-anak muda yang bermati-matian mahu menuntut di Barat akan lebih tertarik untuk belajar di tanahair.

Ingat … biasiswa JPA hanya untuk 2,000 yang bertuah; IPTA menampung sejuta penuntut.

 

Oleh kolumnis ini juga:

10 dalil kenapa Tun Mahathir wajib diletakkan di Seri Penanti