
Banyak komen daripada pembaca telah diterima sejak mulanya artikel “Ethnic dominance in the civil service??? disiarkan. Kebanyakan daripada komen tersebut menyokong dan bersetuju perlunya pembaharuan dilakukan terhadap kedominanan lampau bangsa Melayu dalam perkhidmatan awam hari ini.
Terdapat juga respons yang menentang dengan hujah bahawa kedominanan Melayu dalam perkhidmatan awam diperlukan untuk menjadi pengimbang balas kepada kedominanan bukan-Melayu yang terdapat di sektor swasta.
Adakah strategi mengenakan kuota perkauman untuk mencapai keseimbangan masyarakat dan ekonomi secara keseluruhan suatu strategi yang baik untuk negara kita?
Kesedaran bahawa terdapat perbezaan utama antara pekerjaan di sektor awam dengan sektor swasta penting dalam usaha membentuk gabungan polisi yang terbaik untuk menangani isu ketakseimbangan etnik dalam ekonomi dan masyarakat. Ahli politik yang berusaha mengenakan kawalan dan sekatan ke atas sektor swasta seolah-olah tidak nampak perbezaan tersebut.
Pekerjaan di sektor awam dibiayai oleh cukai yang dibayar oleh semua kaum dan juga daripada hasil lain yang dikutip oleh kerajaan. Ini termasuk pekerjaan di universiti awam seperti di Universiti Pertahanan Nasional yang juga merupakan tempat pekerjaan salah seorang daripada pengulas artikel saya, Dr Mohd Ridhuan Tee. Sila baca artikel beliau “Iktibar Tahun Harimau??? di dalam akhbar Utusan pada hari Ahad lalu (Feb 14, 2010).
Dalam sebarang demokrasi, sektor awam dianggap sebagai kepunyaan semua rakyat dan ia berkhidmat untuk memenuhi keperluan semua rakyat sesebuah negara itu. Ia tidak dianggap sebagai suatu enklaf atau hak sesuatu komuniti tertentu sahaja. Melalui perkhidmatan awam berperwakilan dan berasaskan merit serta dibiayai oleh dana awam, Kerajaan yang memerintah dikehendaki dapat memberikan semua rakyat -- dalam hal ini, rakyat Malaysia tanpa mengambil kira kaumnya -- dengan layanan yang adil dan saksama. Perkhidmatan awam yang terdiri daripada pelbagai kaum diakui memainkan peranan utama dalam perancangan dan pelaksanaan polisi awam yang adil dan saksama serta dapat memastikan bahawa tindakan diskriminatif berasaskan kaum tidak berlaku.
Keadaan dan proses yang terlibat dalam penjurusan sektor swasta yang mewakili pelbagai kaum agak berbeza daripada sektor awam. Di sektor swasta, kaedah yang paling berkesan untuk memberi lebih banyak pekerjaan kepada sebarang kumpulan sasaran - jika ini boleh dianggap sebagai polisi yang baik - bukanlah melalui kuota yang dikenakan oleh perundangan tetapi melalui sistem insentif yang menjurus kepada pengenalan kendiri dan tindakan secara sukarela oleh majikan, terutama sekali dalam syarikat yang lebih besar.
Berkaitan dengan polisi kuota perkauman di sektor swasta, hanya terdapat beberapa negara sahaja, jika ada, yang mengamalkan kuota yang sedemikian kerana tindakan berdasarkan kaum menimbulkan kontroversi dalam rasional politik dan sosioekonomi, dan rasional tersebut sukar dijustifikasikan. Sistem kuota berasaskan kaum di sektor swasta bertentangan dengan kebebasan dan hak asas majikan -- yang membayar dari poketnya sendiri atau daripada hasil syarikat dan bukan daripada tabung awam -- dalam menggaji pekerja yang terbaik untuk sesuatu jawatan.
Sektor swasta juga bukan majikan monolitik seperti sektor awam. Sektor swasta terdiri daripada ratusan ribu individu dan organisasi kecil dan besar yang mempunyai keperluan pekerjaan yang berbeza antara satu sama lain. Usaha untuk mengenakan sistem kuota yang sedemikian bukan sahaja akan mengakibatkan masalah logistik yang besar tetapi juga adalah mustahil untuk dikuatkuasakan.
Mengenakan polisi pengambilan pekerja berdasarkan kaum di sektor swasta seperti yang dibayangkan oleh Ridhuan Tee itu akan mengundang bencana kepada Malaysia. Pengenaan kuota kaum dalam pengambilan pekerja di sektor swasta sama seperti mengizinkan lagi aktiviti ‘rent-seeking’ perkauman (aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh individu atau sesuatu kelompok untuk mendapatkan keuntungan kewangan tanpa memberikan nilai tambah kepada ekonomi tersebut) yang telah melumpuhkan pembangunan dan kemajuan negara. Malahan, ia mungkin merupakan noktah terakhir kepada ekonomi.
Ini tidak bermakna bahawa sistem kuota dalam pengambilan pekerja di sektor swasta tidak wujud atau harus dinafikan sama sekali. Sejumlah kecil negara di Timur Tengah, contohnya, telah memperkenalkan kuota pengambilan pekerja di sektor swasta mereka sebagai respons terhadap kebergantungan tinggi pada tenaga buruh asing. Walau bagaimanapun, polisi tersebut tidak berasaskan kaum tetapi berasaskan kewarganegaraan, dan kuota hanya memastikan rakyat mereka, tanpa mengira kaum barangkali, memperoleh pekerjaan.
Kuota atau polisi tindakan afirmatif yang serupa lazimnya terdapat dalam pengambilan wanita atau orang kurang upaya untuk pekerjaan. Justifikasi tindakan tersebut adalah berdasarkan bertambahnya golongan kurang berperwakilan atau kumpulan yang tersisih dan untuk mengedepankan kepelbagaian masyarakat. Ia tidak berdasarkan kaum. Malahan, hanya beberapa negara sahaja, jika ada, yang mengenakan kuota yang lazimnya berdasarkan kaum dan ‘hak yang telah ditetapkan oleh sejarah’ seperti yang dilakukan di Malaysia.
Apabila polisi tindakan afirmatif dianggap perlu, ia boleh dilaksanakan melalui persetujuan umum yang meluas dan pelbagai sistem kawalan termasuk penelitian awam dan akauntabiliti sepenuhnya patut dikenakan. Tindakan pengurusan dalam mencipta dan melaksanakan program tersebut harus dibuat setelus-telusnya untuk memastikan cara pelaksanaan akan menjustifikasikan matlamat dan juga untuk mengelakkan penyalahgunaan atau amalan berat sebelah.
Kita patut belajar daripada pengalaman negara lain yang pernah mencuba melaksanakan polisi kuota berasaskan kaum dalam pengambilan pekerja di sektor swasta. Di dalam bukunya “Forbidden Grounds: The Case against Employment Discrimination Laws???, Richard A. Epstein mengutarakan pandangan bahawa undang-undang hak asasi moden di Amerika Syarikat tercela dalam menidakkan kebebasan berpersatuan yang seterusnya menyebabkan paksaan kerajaan yang menggugat pasaran, dan akhirnya, and kebebasan.
“Pada asasnya, hanya terdapat dua bentuk perundangan tulen sahaja -- produktif dan pengagihan semula, ??? nyata beliau. “Perundangan anti-diskriminasi selalunya dalam golongan yang kedua. Pengagihan semula begini terselindung; ia sering berubah, mahal malahan ia membazir.???
Epstein juga menyatakan poin utama ekonomi: “Jika kita ingin memberi subsidi kepada ‘golongan terpelihara’, tulis beliau, “ia boleh dilakukan dengan lebih berkesan hanya dengan memberikan bantuan.???
Sambil bersetuju dengan Prof. Epstein dan pengkritik lain mengenai kejahilan dalam menggunakan polisi kuota untuk membetulkan sebarang kekurangan yang mungkin terdapat di sektor swasta, mengambil tindakan drastik ini di sektor awam di Malaysia mungkin merupakan satu-satunya cara untuk memastikan kesaksamaan, daya saing dan perwakilan dalam birokrasi kita.
Polisi tindakan afirmatif berdasarkan kuota yang digunakan untuk memastikan keseimbangan kumpulan minoriti dalam perkhidmatan awam negara mungkin tidak menyelesaikan kebanyakan masalah struktur yang terdapat dalam perkhidmatan awam dan institusi kerajaan yang lain.
Walau bagaimanapun, ia mungkin merupakan satu-satunya jaminan bahawa polisi dan perkhidmatan tidak berpihak kepada mana-mana kaum.
Rencana ‘Race-based quota employment policies: Can they be justified?’ pada asalnya diterbitkan pada Feb 20, 2010 di laman sesawang ini.