Pada Okt 23, 2009 ketika pembentangan Bajet 2010, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa fungsi Kementerian Wilayah Persekutuan akan diperkukuhkan. Disarankan skop kementerian tersebut diperluaskan supaya ia lebih berkesan dalam membasmi kemiskinan bandar.
Najib Razak berkata antara tugas utama kementerian ‘baru’ yang bergelar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar [KWPKB] ialah menyediakan satu pelan tindakan komprehensif. KWPKB ditugaskan melaksanakan program bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara, termasuk di kalangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.
Menyusuli kenyataan Perdana Menteri, Raja Nong Chik Zainal Abidin yang berupa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menegaskan bahawa pertukaran nama itu mencerminkan peranan kementeriannya dalam membela penghuni miskin bandar:
“Kita akan memberi lebih penekanan kepada isu (kemiskinan) bandar dan tanggungjawab ini akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin... . Saya akan memikul tanggungjawab besar ini dan memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan lancar. Ini tekad saya dan semuanya akan cuba direalisasikan dengan berkesan.??? 1
Beliau menjelaskan bahawa kementeriannya akan memberi keutamaan kepada cadangan Perdana Menteri untuk menyediakan pelan tindakan komprehensif yang disebutkan. Pengumuman Najib untuk menangani kemiskinan bandar dianggap oleh para penganalis dasar sebagai satu peralihan paradigma radikal dari sudut dasar awam yang harus dipuji.
Pengumuman dasar tersebut juga dilihat sebagai satu pengakuan signifikan oleh kerajaan bahawa masalah kemiskinan ketara sebenarnya dialami rakyat di kawasan bandar, dan bukan sahaja rakyat luar bandar.
Program Transformasi Kerajaan
PTK yang dilancarkan oleh kerajaan pada bulan Februari telah mengetengahkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)2. Salah satunya ialah mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui NKRA tersebut.
Persoalan yang timbul ialah kenapa KWPKB tidak diberi tanggunjawab utama menerajui NKRA ini walhal kementerian ini telah diamanahkan menangani masalah isi rumah golongan pendapatan rendah dalam Bajet 2010?
Dalam seluruh dokumen PTK tidak disebut pun KWPKB, malahan tidak ada rujukan berhubungkait tugas dan tanggungjawab kedua-dua kementerian tersebut dalam program transformasi kerajaan yang kononnya prihatin terhadap masalah rakyat.
Nampaknya KWPKB tidak langsung dikehendaki sumbangan atau bantuannya dalam pelaksanaan NKRA tersebut. Yang dikhususkan supaya melaksanakan program membasmi kemiskinan bandar untuk mencapai NKRA ialah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Mungkin para penggubal dasar di Pemandu3 telah lupa akan kewujudan KWPKB kerana PTK dimuktamadkan sebelum Bajet 2010 dibentangkan. Jelas bahawa PTK yang dilancarkan Februari 2010 tidak seiring dengan pengumuman dasar yang terkandung dalam Bajet yang dibentangkan Oktober 2009 dalam tiga aspek berikut:
- NKRA tersebut memberi tumpuan kepada kemiskinan keseluruhan dan tidak membezakan kemiskinan Bandar dan Luar Bandar
- Tiada rujukan langsung mengenai isi rumah berpendapatan rendah di bandar
- NKPI4 yang ditetapkan untuk Isirumah Berpendapatan Rendah (misalannya sasaran “tambahan 2,000 wanita yang terlatih???) jelas berkait langsung dengan fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. NKPI ini adalah sangat terhad dan nyata tidak akan dapat mengukur tahap kejayaan dengan jitu.
Mana pelan komprehensif yang dijanjikan?
Enam bulan telah berlalu sejak pengumuman Bajet 2010 dan sampai sekarang masih tidak nampak kelibat pelan yang diuar-uarkan itu.
Carian laman web KWPKB tidak membuahkan apa jua hasil mengenai pelan komprehensif bagi menangani kemiskinan bandar dan meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah. Yang terdapat hanya laman web KWPKB dikemaskini pada November 2009 untuk menggambarkan fungsinya yang ‘baru’ (petikan di bawah):
Fungsi Dan Peranan KWPKB5 |
Merancang, mengurus, melaksana, memantau dan menilai kemajuan dan pembangunan dengan fokus kepada : |
1. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - sebagai Ibu Negara Malaysia dan Bandar Raya Bertaraf Dunia; 2. Wilayah Persekutuan Putrajaya - sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terurus, bersemangat, bertenaga serta makmur; 3. Wilayah Persekutuan Labuan - sebagai pusat perniagaan, hab minyak dan gas, pusat kewangan antarabangsa dan destinasi pelancongan yang maju, indah dan sejahtera; 4. pengurusan dan pentadbiran tanah Wilayah Persekutuan yang cekap dan berkesan; 5. kemajuan dan pembangunan sukan Wilayah Persekutuan yang cemerlang; 6. penyelaras perancangan bagi pembangunan Wilayah Lembah Klang yang seimbang; 7. membasmi kemiskinan bandar seluruh negara; dan 8. melaksanakan program kesejahteraan bandar. |
Butir-butir (g) dan (h) adalah tambahan yang dibuat selepas pengumuman pertukaran nama kementerian. Walau demikian, masih tidak ada maklumat yang dapat diperolehi berkenaan cara KWPKB akan melaksanakan fungsi ‘tambahan’ tersebut.
Mungkin ianya terkandung dalam MKRA6 dan MKPI7 2010 Menteri KWPKB yang diumumkan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri pada bulan December 2009.Namun begitu, harus dijelaskan juga isi kandungan serta status pencapaian program, sebaik-baiknya di dalam laman web KWPKP, yakni bagaimana menterinya Raja Nong Chik cekal berusaha membantu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil dalam melaksanakan NKRA ini.
Sekiranya, kerajaan benar-benar komited untuk menangani masalah isi rumah berpendapatan rendah, ianya perlu mengkaji semula penugasan peranan dan tanggungjawab menteri-menteri yang terlibat dalam pelaksanaan NKRA di bawah PTK.
Rombakan semula NKRA ini perlu diambilkira dalam merumuskan segala program pembangunan berkaitan membasmi kemiskinan dan mempertingkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015).
Disyorkan NKRA tersebut berpaksikan dua tonggak penting seperti dicadangkan di bawah serta diterajui oleh para menteri mengikut kerangka dalam jadual:
Perkara | Menteri yang menerajui | Menteri yang menyokong | Kumpulan sasar |
KEMISKINAN | Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat | 1. Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar 2. Kemajuan Luar Bandar & Wilayah | Golongan miskin bandar Golongan miskin luar bandar |
ISIRUMAH PENDAPATAN RENDAH | Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar | 1. Kerajaan Tempatan & Perumahan 2. Kemajuan Luar Bandar & Wilayah 3. Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat | Golongan miskin bandar [Program perumahan] Golongan miskin Luar Bandar [Infrastruktur] Golongan wanita Bandar & luar Bandar |
________________________________________________