“We do not say that a man who takes no interest in politics is a man who minds his own business; we say he has no business here at all.??? [Pericles; c.495-429 BC]
Mengundi adalah hak terpenting yang dimiliki oleh warga sebuah negara bebas.
Contohnya, warga African-American hanya mendapat hak penuh sebagai pemilih pada tahun 1965, selepas hampir 100 tahun perjuangan sosial. Sampai ke penghujung cerita, Amerika Syarikat baru-baru ini memilih seorang Presiden berketurunan Afrika.
Dalam pada itu, kaum wanita Amerika mendapat hak mengundi pada tahun 1920. Kita di Malaysia beruntung kerana hak mengundi telah diberi kepada semua warga yang layak sejak pilihan raya umum (PRU) 1955, dua tahun sebelum Merdeka.
Satu Cerita Menarik….
Semasa kempen PRU 1990, seorang akademik ternama memberi ceramah yang sungguh menarik. Beliau menerangkan prinsip-prinsip demokrasi dan tentang betapa mustahaknya rakyat terlibat dalam proses pemilihan pemerintah.
Beliau juga berhujah mengenai prinsip-prinsip tadbir urus yang baik [good governance]. Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah amat penting dalam mentadbir negara, beliau menegaskan. Rakyat harus memilih kerajaan yang mendukung prinisip-prinsip tersebut.
Penceramah itu seterusnya membidas kerajaan semasa sebagai satu yang tidak mendukung lunas demokrasi, dan yang tidak mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik. Barisan Nasional adalah satu kerajaan yang tidak menghormati hak rakyat yang terkandung dalam Perlembagaan.
Semasa beliau mengesa para hadirin supaya keluar mengundi untuk menyokong parti yang beliau sokong, seorang hadirin bangun lantas bertanya: “Tuan penceramah, adakah tuan telah mendaftar untuk mengundi????
Tuan penceramah itu diam seketika dan kemudiannya dengan nada yang lembut mengaku belum atas alasan “ tidak ada masa???.
Orang ramai di dewan mula kecoh apabila peserta tadi yang mengemukakan soalan berkata, “Tuan, lebih baik tuan pergi daftar dulu sebelum bersyarah kepada kami yang telah lama menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. Tuan tiada hak untuk menasihatkan kami! Seperti tuduhan tuan terhadap kerajaan, tuan juga tidak menghormati rakyat! Sila berundur dari pentas!???
Malangnya insiden ini menggambarkan satu perangai yang lazim di kalangan segelintir warga di negara kita. Cuba bayangkan pelbagai alasan yang diberi oleh orang malas mendaftar. Jangan pula sikap kita dua kali lima dengan penceramah itu.
Pesanan kepada bakal pemilih
Apabila kamu menjadi pemilih dan seterusnya mengundi dalam pilihanraya, kamu terlibat secara langsung dalam satu proses yang membawa manfaat berikut:
- Mengaitkan kamu kepada proses politik yang mempengaruhi kehidupan seharian, yakni kesannya dari sudut dasar-dasar awam mahupun tindakan yang diputuskan pemerintah
- Mengaitkan kamu kepada warga lain yang mengamalkan sistem berdemokrasi
- Memperkukuhkan kebebasan serta hak asasi individu yang termaktub dalam Perlembagaan
Tindakan memangkah kertas undi sebenarnya ialah intipati cara hidup berdemokrasi. Maka demokrasi akan subur sekiranya setiap ahli masyarakat melihat proses pengundian sebagai satu kewajiban.
Pada PU13 yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2013, adalah dianggarkan sejumlah 17 juta warga layak menjadi pemilih. Dari jumlah tersebut, seramai enam juta merupakan warga yang belum daftar untuk mengundi. Lebih kurang 70 peratus adalah warga dalam lingkungan umur antara 21 hingga 35 tahun.
Pesanan kepada mereka yang ingin menjaga kepentingan serta masa depan keluarga, silalah layari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
KPI untuk SPR
Mengikut sistem yang ada, nyata bahawa proses pendaftaran menyusahkan warga mendaftar. SPR sepatutnya mengambil langkah-langkah lebih proaktif bagi melibatkan semua warga yang layak.
Negara kita telah berada pada tahap kemajuan yang membanggakan dan kita sepatutnya menggunakan teknologi terkini bagi mendaftar pemilih.
Seeloknya SPR menjalankan pendaftaran secara automatik. Ini agak mudah dilaksanakan oleh sebab semua rekod warga yang mencapai umur 21 tahun sudah tercatat dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara [JPN]. Pihak JPN juga menyelenggarakan rekod warga yang bertukar alamat, jadi, masalah pemilih yang berpindah tidak boleh membuang undi di sesuatu kawasan baru tidak harus timbul.
Pada April 29, 2007, Timbalan Menteri Penerangan Ahmad Zahid Hamidi (kini Menteri Pertahanan), telah mengesa pihak SPR membuat pindahan kepada Akta Suruhanjaya Pilihanraya bagi memudahkan pendaftaran automatik bagi mereka yang berusia 21 tahun.
Zahid juga telah mengesyorkan supaya pihak SPR dan JPN menyediakan kertas kerja bagi pertimbangan Dewan Rakyat, mengikut laporan agensi berita Bernama. Cadangannya harus dikajisemula oleh pihak SPR oleh kerana ia adalah satu ide yang bernas.
Sekiranya pihak SPR dan JPN belum lagi bersedia melaksanakan pendaftaran secara automatik, adalah disyorkan supaya SPR mengkaji pendaftaran online, seperti yang ada di British Columbia, Kanada, dan negeri Arizona dan Washington state di A.S.
Kalau kita sekarang boleh memfail cukai pendapatan secara online, apa salahnya kita mendaftar menjadi pemilih mengikut kaedah yang sama?
Masanya telah tiba untuk kita memperkukuhkan demokrasi melalui penyediaan kemudahan terkini kepada rakyat, khususnya golongan muda yang menyenangi teknologi ICT.
Kesimpulannya, tuntutan KPI rakyat ialah supaya 90 peratus warga yang layak menjadi pemilih akan berjaya didaftarkan oleh SPR sebelum Disember 31, 2012.
Kami Anak Bangsa Malaysia yakin SPR akan mencapai KPI yang ditetapkan ini!
____________________________________________
Bahagian 1 rencana: Apa beza kamu mengundi? Banyak!