Kenyataan beliau di atas adalah tepat pada waktunya walaupun ianya merupakan satu pengakuan bahawa selama ini masalah kemiskinan ditangani berlandaskan pola perkauman.
Atas andaian bahawa kenyataan Najib dibuat dengan hati jujur, timbullah sekarang soalan pokok: Bagaimanakah niat 1Malaysia dapat direalisasikan dalam konteks pencapaian Agenda Nasional utama, yakni, pembasmian kemiskinan? Apakah yang perlu dilakukan untuk beranjak dari pemikiran serta satu sistem penyampaian perkhidmatan yang berasaskan kaum, kepada satu pendekatan yang ‘buta etnik’?
Kita di abad 21
Ternyata pembasmian kemiskinan memerlukan satu peralihan paradigma di kalangan bukan sahaja anggota Jemaah Menteri tetapi juga Wakil Rakyat serta pegawai perkhidmatan awam. Bagi peralihan paradigma ini direalisasikan, tiga perubahan asas perlu dititikberatkan.
(1) Dari sudut dimensi kognitif, satu revolusi mental adalah kritikal.
Semua pihak yang terlibat mesti mengikis pemikiran (mindset) tahun 70-an. Para Menteri, Wakil Rakyat dan pegawai Perkhidmatan Awam harus menerima hakikat bahawa semua penduduk negara adalah warga tulen ‘1Malaysia’, dan bukan segolongan istimewa sahaja. Ini bukan satu perubahan yang dapat dicapai dengan mudah. Pengamalan satu falsafah dan pemikiran bahawa setiap rakyat adalah ‘pelanggan yang berhak’ mungkin akan dapat mengatasi rintangan mentaliti ini.
(2) Dari sudut dimensi afektif atau tingkahlaku seharian, para Menteri dan Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu bertindak sebagai wakil rakyat untuk semua warga, bukan warga suku kaum.
Pegawai perkhidmatan awam pula harus mengamalkan prinsip tidak berat sebelah yang menjadi tonggak mana-mana perkhidmatan awam yang berfungsi secara berkesan. Ini bermakna setiap pegawai seharusnya ‘buta etnik’ dalam menyampaikan perkhidmatan kepada 'pelanggannya'.
Sebagai contoh, subsidi bagi petani atau nelayan perlu diagihkan secara saksama bukan berdasarkan sama ada si petani atau si nelayan itu penyokong parti memerintah. Ataupun bantuan kebajikan dihulurkan mengikut keperluan sesebuah keluarga miskin dan bukan sebab keluarga itu adalah dari suku kaum tertentu sahaja.
(3) Dari sudut dasar dan perancangan, program membasmi kemiskinan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sebenar rakyat miskin. Para Menteri yang terlibat harus membuat keputusan mengenai program dan projek secara rasional dan objektif. Contohnya, peruntukan untuk sesuatu projek pembangunan patut diberi tanpa mengambil kira kawasan itu dipegang siapa (maksudnya kawasan parti pembangkang tidak dianaktirikan).
Peralihan paradigma diperlukan dalam pendekatan dan kaedah pembasmian kemiskinan yang telah diterimapakai selama 52 tahun yang lepas. Zaman sudah beredar dan pendefinasian abad 20 tidak lagi memadai .
Gambaran sebenar kadar kemiskinan
Terlebih dahulu kerajaan seharusnya telus dan mengaku bahawa data isi rumah miskin yang digunakan tidak menggambarkan keadaan sebenar paras kemiskinan dalam negara. Dalam konteks ini, perkara yang perlu dikaji semula mengikut keutamaan ialah penggunaan satu Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] yang realistik.
Mengikut PGK yang digunapakai kini oleh kerajaan, hanya 3.6 peratus isi rumah dikategorikan miskin. Sekiranya PGK RM1,000 digunakan, sejumlah 8.6 peratus isi rumah boleh dikategorikan miskin. Maka isi rumah yang miskin adalah hampir 500,000 dan bukan 210,000 seperti yang didakwa oleh kerajaan. Sekiranya PGK RM1,500 pula digunakan, sejumlah 1.2 juta isi rumah iaitu 21 peratus isi rumah dikira miskin. [Rujuk jadual]
ENDAPATAN ISI RUMAH SEBULAN {RM} | BIL.ISI RUMAH {NOMBOR} | PERATUS{%} |
PGK Kerajaan : Semenanjung= 720 Sabah = 960 Sarawak = 830 | 208,800 | 3.60 |
1000 | 496,580 | 8.60 |
1500 | 1,695,759 | 29.35 |
Peralihan paradigma yang dihasratkan '1Malaysia' seharusnya menghasilkan satu pendekatan baru merangkumi aspek-aspek berikut:
(i) Pernyataan yang jitu
Masalah kemiskinan adalah gejala yang dicerminkan dalam sesuatu kelas sosio-ekonomi dan bukan sesuatu suku kaum. Maka program membasmi kemiskinan perlu digubal bagi mengatasi punca budaya kemiskinan generasi (generational culture of poverty) yang terdapat dalam komuniti nelayan, petani, buruh estet, pekerja di bandar, dan golongan golongan kelas tertentu.
(ii) Pemetaan data perlu dibuat mengikut komuniti miskin di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi memahami persekitaran dan kehendak khusus kumpulan sasar.
(iii) Penganalisaan dan penyelesaian punca masalah, bukan simptomnya
Ini akan melahirkan penyelesaian berasaskan keperluan sebenar komuniti miskin di akar umbi. Kini pelbagai agensi merancang dan melaksanakan program dan projek dengan menggunakan pendekatan generik yang tidak mengambil kira kehendak sebenar kumpulan sasar di kawasan tertentu. Perancangan dari bawah ke atas, dan bukan sebaliknya seperti yang diamalkan semasa ini, adalah wajar.
(iv) Semua Wakil Rakyat wajib mengenalpasti, merancang dan memantau program membasmi kemiskinan di kawasan masing-masing. Sekadar bergantung kepada agensi atau pegawai awam tidak akan membawa kejayaan. Setiap Wakil Rakyat harus terlibat secara langsung dalam menangani masalah kemiskinan penduduk di kawasannya. Mereka juga harus dibekalkan dengan peruntukan khas bagi tujuan dan matlamat ini.
Dalam pada itu, semua anggota Jemaah Menteri harus mara ke hadapan bagi memimpin 'perjuangan yang belum selesai' membasmi kemiskinan sebagai agenda utama negara. Kerja ini tidak boleh lagi diserahkan kepada Menteri atau pegawai kerajaan khususnya sahaja.
Bukti bahawa '1Malaysia' betul-betul diamalkan adalah dalam pelaksanaan dasar sama rata! Dengan itu, barulah rakyat boleh yakin akan janji-janji Najib yang tiada siapa dipinggirkan dan tiada siapa yang perlu memikir dia warga negara kelas kedua.
Nota kaki:
i. Bernama, 15 April 2009, Kuala Lumpur
ii. Utusan Malaysia, 15 April, Kuala Lumpur
Baca juga:
Anil Netto: Tengoklah jurang antara yang kaya dengan yang miskin … patutlah kita banyak masalah sosial