Saban hari kita seolah-olah menerima berita mengenai kes tembakan polis terhadap orang awam sehingga meragut nyawa. Modus operandi yang sama yakni, alasannya – bagi polis ‘menyelamatkan diri’ ataupun istilah Inggerisnya ‘in self defence’.

Apabila dikaji mengenai satu-satu kes, mangsa yang ditembak mati rupanya remaja belasan tahun (contoh kes Aminulrasyid). Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah, seorang remaja berusia 15 tahun, maut ditembak di bahagian kepala pada April 26 lepas. Adakah logik bagi fikiran waras menerima alasan mereka seperti ini akan bertindak ganas dengan melawan polis dengan balasan peluru?

Pihak polis dalam kenyataan awal mendakwa Aminulrasyid terlibat dalam kes samun dan jenayah sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Polis juga mendakwa menjumpai sebilah parang dalam kenderaan tersebut yang dimilki kakak Aminulrasyid. Dakwaan polis disangkal of keluarga Aminulrasyid serta rakannya yang juga saksi utama kejadian.

Mengikut saksi (gambar kiri), apa yang berlaku ialah dia dan mangsa telah memotong kenderaan polis dengan laju, yang mana kemudiannya mereka dikejar sebuah kenderaan MPV polis dan ditembak, mengakibatkan kereta mereka terbabas.

Saksi mendedahkan tembakan telah mengenai kepala mangsa sehingga mangsa terkulai layu, membuatkan saksi keluar dari kereta untuk menyerah diri. Remaja tersebut mendakwa salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang. Saksi juga, dalam aduan tersebut, mendakwa anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai.


Statistik yang menggerunkan

Statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009. Penjelasan yang dikemukakan oleh pihak polis semasa memberi keterangan di dalam kes ‘hasutan’ P.Uthayakumar pada Nov 29 baru-baru ini, mendedahkan bahawa pada tahun 2008 terdapat seramai 82 kes tembakan polis terhadap orang awam dan 88 kes pada tahun 2009.

Pada tahun 2001, hanya terdapat lima kes yang dilaporkan.

Selain Aminulrasyid, kes-kes yang dikenalpasti ialah Vikines Vesuanathan yang ditembak mati pada tahun 2003 di Nilai, Negri Sembilan; Muhamad Nir Oth yang ditembak mati pada tahun 2006 di Kepong, Kuala Lumpur; dan Mohd Arifudin Mohamad yang ditembak mati di Kuantan, Pahang, pada tahun 2008 dan Rames Raman pada 2008 di Kulim, Kedah.

Kesemua mereka berusia 19 tahun.

Pada tahun 2009, Lobanarthan Gobi ditembak mati oleh polis ketika mendiang berumur 17 tahun bersama-sama Vissvalingam Mookayah Devar (18 tahun) di Klang.

Menurut penjelasan Menteri Dalam Negeri melalui jawapan lisan parlimen pada 28 Jun 2010, secara keseluruhannya jumlah penjenayah yang ditembak mati sepanjang tahun 2000 hingga 2009 adalah seramai 279 orang.

Kes kematian dalam lokap bagi tempoh yang sama pula adalah seramai 147 orang.

Bagi kes-kes tersebut, pihak polis sering didapati menyebelahi dan memberi perlindungan kepada anggota-anggota polis yang
terbabit.

Para politikus tidak prihatin

Semasa kes Aminulrasyid berlaku, Dewan Negara sedang bersidang.

Senator S. Ramakrishnan dari Selangor membawa usul tergempar dan usul ini ditolak kerana kononnya ia sedang dibicarakan dan dalam siasatan. Malah Senator Jins Shamsuddin pula menyanggah dengan berkata usul sedemikian sepatutnya termasuk anggota-anggota polis yang mati akibat dibunuh penjenayah.

Ya, memang benar ada kes sedemikian berlaku. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 3 November 2010 di Parlimen, seramai 90 orang anggota polis telah terbunuh dan 343 orang cedera semasa bertugas sejak tahun 2000 hingga 2010.

Tidak dinafikan ada anggota polis gugur ditembak penjenayah. Tetapi apa penjelasan pihak polis mengenai kes yang disebutkan di atas?

Berdasarkan penjelasan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada Disember 2, prosedur menjalankan tangkapan, pematuhan proses tangkapan adalah sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 15 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam jawapannya, Hishamuddin Hussein selaku menteri menjelaskan bahawa:


i) Apabila pegawai polis atau orang lain hendak menangkap orang, ia hendaklah menyentuh
[misalannya sentuhan pada bahu orang yang hendak ditangkap tetapi orang itu tidak digari] atau mengurung jika ia menyerahkan dirinya melalui percakapan ataupun tingkah lakunya.

ii) Jika orang yang hendak ditangkap itu melawan dengan kekerasan atau cuba lari daripada tangkapan itu, maka pegawai itu atau lain itu boleh menggunakan sebarang langkah yang perlu untuk melaksanakan tangkapan itu.

iii) Seksyen ini tidak sekali-kali memberi hak untuk menyebabkan kematian pada seseorang yang tidak dituduh berkenaan dengan kesalahan yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Senjata api adalah langkah terakhir

Menurut peruntukan yang sama, mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana orang yang terlibat dalam sebarang kesalahan yang dilakukan di mana-mana juga dalam Malaysia yang mana ia adalah kesalahan boleh ditangkap di bawah sebarang undang-undang yang berkuatkuasa dalam bahagian Malaysia itu dalam mana ia telah dilakukan atau terhadap sesuatu aduan yang munasabah yang dibuat, atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau wujudnya syak yang munasabah di mana orang itu telah terlibat.

Menteri Dalam Negeri pada Nov 1, 2010 memberitahu Dewan bahawa penggunaan senjata api adalah langkah terakhir pihak polis dalam menumpaskan penjenayah. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anggota polis, mereka dibekalkan dengan jaket kalis peluru.

Menurut penjelasan Menteri Dalam Negeri melalui jawapan lisan parlimen pada Jun 15, 2010, merujuk kepada kandungan dalam Kanun Keseksaan serta Perintah Tetap KPN bab D 222 (Penggunaan Senjata Api oleh Pegawai Polis), latihan-latihan amali yang merangkumi matapelajaran pengendalian pistol dan latihan-latihan amali lapang sasar sentiasa dilakukan.

Dalam kedua-dua latihan amali ini, para anggota agensi penguatkuasa turut didedahkan dengan pengetahuan yang bukan sahaja merangkumi tentang pengendalian senjata api tetapi juga pengetahuan mengenai bila dan masanya untuk melepaskan tembakan. Selain daripada itu, juga dijalankan pemeriksaan terhadap senjata yang digunakan untuk memastikan ianya sentiasa dalam keadaan baik dan tidak rosak.

Ya, peraturan (sebut S.O.P.) sudah lengkap tersedia. Tetapi adakah ianya dipatuhi. Tidakkah setiap anggota ini peka akan SOP yang dikeluarkan ini sebelum memakai pakaian seragam mereka?

Di manakah IPCMC?

Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) disarankan oleh Suruhanjaya Diraja pada 2005, mengusulkan 125 cadangan bagi pemulihan imej polis dan memantau sebarang tindakan salahlaku polis.

IPCMC ini bertujuan untuk menyiasat kes-kes ini berlaku. Tidak disarankan pihak polis diberi immunity ataupun kekebalan.

Tetapi, ianya digantikan dengan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang kononnya lebih merangkumi pegawai-pegawai penguatkuasa yang lain. Tetapi adakah ini yang menjadi masalah tentang keganasan polis?

Selepas bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan ditamatkan tempoh perkhidmatan, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan polis. Ini mungkin menjadi buakan ledakan yang terpendam di lubuk hati bekas IGP selama ini. Tetapi pihak berkuasa masih tidak mengendahkan dakwaan tersebut.

Jadi sekiranya anda atau saudara-mara anda ditembak polis, siapakah yang boleh kita adukan? Tepuk dada, tanya selera.