Sungguhpun Aung San Suu Kyi sudah dibebaskan daripada kurungan rumah, banyak lagi reformasi politik perlu berlaku di Burma.
Dalam ucapannya, Suu Kyi berkata beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan jeneral junta tentera yang kini mentadbir kerajaan Myanmar. Nampaknya Suu Kyi lebih percaya kepada diskusi daripada revolusi. Dalam temuramahnya bersama BBC, Suu Kyi juga menyatakan bahawa beliau tidak menyerang seseorang semasa-mata atas faktor peribadi.
Sungguhpun Suu Kyi secara teknikalnya dibebaskan tanpa syarat, kebebasan mutlak beliau masih belum dapat dipastikan, termasuklah hak beliau untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti politik. Kita perlu diingatkan di sini, dan perkara ini tidak disangkal oleh Suu Kyi, bahawa tindakan beliau selepas ini ada kemungkinan membawa beliau kembali ke tahanan.
Suu Kyi dibebaskan enam hari selepas pilihan raya Myanmar 7 November lalui yang melanggar setiap aspek perjalanan suatu pilihan raya. Tidak cukup dengan peruntukan-peruntukan pro-tentera di dalam Perlembagaan 2008 mereka dan undang-undang pilihan raya yang senget, junta tentera secara tidak malunya menjalankan intimidasi dan manipulasi terhadap para pengundi bagi memastikan kemenangan kepada parti-parti komponennya.
Daripada apa yang diperhatikan, sukar untuk mempercayai rakyat Burma terus memilih rejim yang telah menindas mereka sekian lama sebagai peneraju demokrasi dalam pilihan raya umum. Kemenangan besar rejim pemerintah dalam pilihan raya adalah tidak konsisten dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Burma terhadap pembebasan Aung San Suu Kyi.
Seperti juga di Malaysia, kebanyakan akan berasa bingung apabila kerajaan Barisan Nasional tanpa rasa segan boleh mengaku bahawa rakyat masih yakin dengan BN tatkala rasa tidak puas hati terhadap kerajaan terus dilahirkan menerusi komik, lagu-lagu kesat, demonstrasi jalanan, kumpulan-kumpulan protest Facebook, dan blog-blog serta media alternatif yang tumbuh bak cendawan selepas hujan yang mengkritik kerajaan.
Kepincangan pilihan raya di Myanmar
Parti-parti pembangkang telah mengadu 'advance votes' di Myanmar yang mirip dengan undi pos kita telah menjejaskan peluang mereka untuk menang.
Selain itu, Union Solidarity and Development Party (USDP) juga didakwa menghulurkan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah sebagai insentif kepada mereka yang menyertai parti tersebut.
Hampir 300 kampung diharamkan daripada mengundi kerana dipercayai tidak menyokong rejim pemerintah dan dihuni etnik minoriti -- antaranya adalah Kachin, Karen, Karenni, Mon and Shan -- yang sebahagianya dikawal oleh parti politik berasaskan etnik dan disokong oleh kumpulan-kumpulan militia yang mengadakan gencatan senjata dengan pihak junta.
Pendek kata, sandiwara demokrasi yang baru-baru ini dijalankan di Myanmar masih tidak membawa apa-apa perubahan kepada rakyatnya sendiri mahupun tanggapan komuniti antarabangsa. Rejim junta di Myanmar masih lagi menzalimi rakyatnya, masih lagi menoda demokrasi dan masih enggan melepaskan kuasa.
Suu Kyi telah dikurung selama 21 tahun pada keselurahannya dan pertama kali diberikan kurungan rumah pada Julai 20, 1989 oleh rejim tentera yang dipanggil Undang-undang Kerajaan dan Majlis Perintah Kurungan (SLORC) dan kemudiannya dipanggil Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara (SPDC). Beliau ditahan sehingga Julai 1995.
Pada September 2000, semasa percubaan beliau untuk pergi ke Mandalay melalui keretapi bersama pemimpin-pemimpin National League for Democracy (NLD), beliau dikenakan kurungan di rumah sekali lagi pada Mei 2002. Setahun kemudiannya (Mei 2003), Suu Kyi dan konvoinya diserang secara ganas di Depanyin sehingga mengakibatkan 50 kematian. Beliau sekali lagi ditahan sehingga Mei 2009.
Pada Mac 2009, kumpulan kerja PBB menganggap tahanan Suu Kyi tidak berasaskan undang-undang SPDC. Sebelum tempoh tahanannya berakhir pada Mei 2009, seorang wartawan Amerika ditangkap berenang di tasik ke arah rumah Suu Kyi dan meletakkan Suu Kyi kepada tiga tahun penjara dan kerja buruh. Kemudiannya hukuman tersebut ditukar kepada kurungan rumah selama 18 bulan.
Pilihan raya yang dijalankan ini serta memasukkan peruntukan kepada perlembagaan 2008 telah meletakkan Burma dalam intensifikasi bahaya yang seterusnya akan menjurus kepada konflik-konflik dalaman. Pasca-pilihan raya di antara tentera Myanmar bersama kumpulan Democratic Karen Buddhist Army (DKBA), telah membawa 20,000 orang lagi menyeberang sempadan Thailand serta pertembungan ketenteraan di Shan (salah sebuah daerah di Burma). Ini barulah permulaan selepas pilihan raya.
Apakah sumbangan masyarakat antarabangsa?
Perkara terpenting ialah kita sebagai masyarakat dunia yang intelek perlu menyumbangkan analisa-analisa jujur mengenai keadaan yang berlaku sekarang di Burma. Perbandingan juga perlu ditekankan dalam kajian-kajian yang dilakukan agar melihat di tahap manakah kebobrokan sistem pentadbiran Myanmar sekarang.
Seperti kita sedia maklum, rakyat Burma sekarang menjadi pelarian. Malaysia sebagai salah satu negara jirannya sepatutnya memberi perlindungan kepada mereka ini.
Pada 24 September 2009, enam lagi tahanan Burma didapati mati akibat daripada penyakit bawaan air (waterborne disease) yang membawa penyakit leptospirosis yang berpunca daripada air yang dicemari kencing tikus.
Tahanan-tahanan yang berada di pusat tahanan KLIA itu mengadakan rusuhan akibat keadaan yang berlaku dan barulah kemudiannya pihak berkuasa memindahkan 700 tahanan. Sebelum daripada itu, laporan media Julai 24, 2009 menyebut bahawa seramai 700 tahanan di depot imigresen Semenyih juga telah mengadakan rusuhan. Barangkali mereka ini daripada kumpulan yang sama.
Menjaga keselamatan daripada cengkaman Rela juga menjadi tanggungjawab kita bersama. Rela sejak kebelakangan ini diberi banyak peruntukan dan kuasa yang membolehkan mereka membuat tangkapan sewenang-wenangnya, memeras ugut bagi pelarian yang tidak mempunyai dokumen dan sebagainya.