Inilah akibatnya apabila terlalu taksub dan menurut perintah atas kepentingan tertentu. TV3 terpaksa menanggung kerugian atas iklan Hari Raya tahun ini yang jelas menyentuh sensitiviti agama dan budaya.

Tahun ini, TV3 telah menayangkan sebuah iklan berdurasi 1:01 yang didakwa membawa unsur keagamaan Kristian, Hindu dan Buddha dalam perayaan Aidilfitri dengan memasukkan elemen seperti menaiki beca terbang ala Bapa Santa, bunga teratai dan pelita ala Deepavali.  

Iklan itu juga dikritik hebat kerana didakwa boleh mengeliru dan menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.

Umum mengetahui bahawa sebarang penyiaran mestilah melalui sebuah badan penapisan di negara ini yang memantau sebarang elemen hasutan serta apa jua yang mencabar keselamatan dalam negeri. Akan tetapi akibat daripada kepentingan pemerintah yang rakus mahu mengekalkan kekuasaan, badan-badan ini terpaksa menutup mata. Ia seolah-olah tidak berfungsi buat sementara.

Mungkin pihak pemberi arahan dalam menyiarkan iklan tahun ini memberi syarat untuk mempromosikan konsep 1Malaysia dalam iklan-iklan mereka. Namun tanpa memahami semangat bangsa Malaysia, iklan TV3 tahun ini telah meluluskan sebuah tayangan iklan yang menyelitkan tulisan jawi atau tulisan Al-Quran yang dipaparkan dalam keadaan terbalik (gambar), dan menara masjid yang kelihatan seperti 'ditokok' menjadi bentuk salib!  

Ini menjuruskan kepada tanggapan sesetengah pihak bahawa iklan tersebut cuba memesongkan aqidah umat Islam.

Kontroversi yang dicetuskan telah sampai ke kemuncaknya apabila TV3 melalui Buletin Utama edisi 5 September memohon maaf kepada semua masyarakat Muslim yang terguris dengan penyiaran iklan tersebut dan ianya dibekukan daripada siaran sepanjang musim Raya.

Raya berslogankan 1Malaysia   



Dengan memasukkan unsur 'Bapa Santa' iaitu simbol perayaan Natal dan juga unsur bunga teratai yang menjadi lambang kepada upacara keagamaan Buddha, secara mata kasar kita dapat membaca apa yang cuba ditonjolkan dalam iklan tersebut adalah peralihan dari slogan 1Malaysia terbitan Umno.

Filem tersebut dikatakan menyamakan Melayu dengan kemiskinan. Di dalam adegan pembukaannya, seorang "budak lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia dengan bertemankan sebiji mentol". Ulasan mengenai filem iklan ini dikemukakan secara terperinci dalam blog 'Love Perak'.

Pada salah satu paparan, filem ini juga menunjukkan secara dekat sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca berwarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah bintang -- yang mengingatkan kepada 'nativity' (kelahiran Nabi Isa) -- menutup sehelai mukasurat lain bertulisan jawi yang diterbalikkan.

Pada satu babak lain, beca terbang bersama seorang tua berambut putih (seolah-olah ingin disamakan dengan watak Bapa Santa merentasi awan dan menuju ke sebuah kawasan pergunungan. Kelihatan sebuah masjid di sebelah kiri, budak-budak Melayu (secara sengaja atau pun tidak) tidak mempedulikan kewujudan masjid malah lebih tertarik dengan pemandangan di bawah beca terbang. (gambar),  

Malah di dalam babak yag lain, budak-budak Melayu tadi sudah mendarat dan terus berlari sambil menunjuk-nunjuk ke arah masjid yang terletak jauh disebalik jurang yang dalam sambil ketawa berdekah-dekah. Terdapat dua tangan misteri yang juga sedang menunjuk-nunjuk ke arah masjid. Sebuah bangunan misteri berada di antara masjid dan budak-budak Melayu.

Aku amat yakin bahawa pembikin filem ini tidak mempunyai daya kreatif tersendiri dan terikat kepada syarat-syarat penyiar yang mahukan ianya mampu membodek puak 1Malaysia tertentu, asalkan kekayaan dan pulangan ribuan diperolehi.

Mengosongkan jiwa Aidilfitri  

Aku tidak tahu bagaimana untuk menilai kos pembikinan filem sebegini tetapi dengan pembekuan siaran tersebut telah merugikan secara material dan mendatangkan sifat jijik di kalangan umat Islam terhadap siaran tersebut.

Filem tersebut telah membawa kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan At Tantawi, untuk mengeluarkan kenyataan. Katanya,  

 "TV3 mempamerkan Aidilfitri itu sebagai satu sambutan perayaan yang sama taraf seperti sambutan parayaan agama dan kaum lain seperti Kristian, Hindu, Buddha, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Walhal Aidilfitri ialah satu ibadah merupakan manifestasi kesyukuran umat Islam berpuasa melawan nafsu selama sebulan serta melatih jiwa dalam proses penyucian rohani atau spiritual seseorang Islam itu.

"Ia bukan majlis pesta seperti yang digambarkan oleh TV3 atau media milik Umno-BN yang mengosongkan jiwa Aidilfitri itu dengan sambutan ala jahiliyah yang dipenuhi gelak ketawa, makan minum serta pergaulan bebas tanpa ada had dan sempadan di mana halal dan di mana haram sesuatu perbuatan itu."  



Mengenangkan hasil-hasil filem iklan arwah Yasmin Ahmad, aku amat rindu terhadap bagaimana pemahaman semangat kekeluargaan, Bangsa Malaysia memberi semangat kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan musim keraian rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.

Pada saat filem iklan Yasmin dimuat turun di dalam YouTube, aku berkali-kali ulang menontonnya.

Yasmin, secara berprinsip percaya kepada apa yang dihasilkan, mesej yang hendak disampaikan. Beliau tidak perlu tunduk kepada arahan bagi memenuhi kepentingan tertentu tanpa memahami sendiri niat tersebut. Dan beliau diangkat dan disanjung.