Merdeka Center telah menjalankan satu kajian dari Januari hingga April 2010 lalu untuk mengetahui nilai-nilai, pegangan hidup serta pandangan terhadap ekonomi dan politik negara.
Tinjauan yang melibatkan 3,141 orang responden di semenanjung, Sabah dan Sarawak dibuat oleh pusat kajian tersebut telah mendapati bahawa sebahagian besar orang Malaysia bersikap konservatif dalam soal agama serta hubungan jantina.
Kelompok-kelompok responden serta gelagat mereka boleh dibahagi kepada tujuh kluster:
1. Golongan kuat beragama (True believers)
Terdapat sekelompok responden yang bersifat konservatif dan berpegang teguh kepada agama masing-masing. Bagi penganut agama Islam, 82 peratus daripada golongan ini bersetuju agar undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini sungguhpun mengetahui negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
Selain daripada peka kepada situasi politik yang berlaku, mereka juga agak kritikal kepada kerajaan yang mentadbir sekarang. Bagi kaum Melayu/Bumiputera yang berada di dalam kluster ini, mereka tidak bersetuju Melayu perlu bersatu di bawah naungan Umno. Mereka mahukan ruang diberi kepada parti-parti yang lain.
2. Golongan kelas bekerja yang akomodatif
Golongan ini juga bersifat konservatif dan merasakan agama penting bagi memupuk nilai-nilai moral. Mereka membangkang pasangan yang bukan muhrim belum bernikah tinggal sebumbung.
Golongan ini percaya kepada konsep 1Malaysia berupa sesuatu yang dapat memupuk perpaduan di Malaysia. Mereka puashati dengan para pemimpin negara dan prestasi Perdana Menteri. Sungguhpun separuh daripada golongan ini tidak berminat dengan kegiatan politik semasa, namun mereka berpendapat kaum minoriti tidak sepatutnya membuat pelbagai tuntutan.
3. Golongan kolar putih yang kurang puashati
Kebanyakan golongan ini bukan-bumiputera. Seperti golongan pertama, mereka ini tidak berapa bersetuju dengan pentadbiran kerajaan sekarang.
Mereka mengakui bahawa faktor agama adalah kurang mustahak (33 peratus berkata ianya tidak penting) dan 43 peratus tidak membantah pasangan yang belum berkahwin bersekedudukan.
Mereka tidak berpuashati dengan keadaan ekonomi negara dan tidak yakin bahawa ekonomi di tahap ini dapat dibaikpulih dalam tempoh jangka setahun.
4. Golongan bawahan yang kurang keyakinan diri
Bagi golongan ini, keraguan yang mereka alami ialah sekiranya kaum bukan-Bumiputera/ Cina/India yang cuba untuk menawan negara ini. Mereka merasa gusar apabila sesetengah kaum itu terlalu meminta-minta sehingga menggugat kestabilan.
Mereka ini tidak berpendapatan tinggi ataupun berpendidikan tinggi. Justeru itu, mereka berfikir walau parti politik mana pun yang berkuasa, ia tidak akan membawa apa-apa perubahan.
5. Golongan kelas bekerja pro-kerajaan
Mereka ini juga berpegang kepada agama sebagai penentu identiti diri. Mereka mempunyai kepercayaan tinggi bahawa kerajaan pentadbir sekarang akan dapat menyelesaikan masalah negara sungguhpun separuh daripada responden ini mengakui ekonomi negara buat masa ini tidak memberangsangkan. Kesetiaan kepada bangsa sendiri juga amat penting dan mereka berpegang kepada perjuangan hak istimewa bangsa Melayu.
6. Golongan kelas bawahan partisan
Golongan ini yang paling tidak mengambil endah mengenai ciri ras dan cenderong menggelar diri sebagai orang Malaysia (berbanding dengan menggelar diri mengikut identit bangsa). Mereka berpendapatan rendah tetapi yakin akan peranan kerajaan yang mentadbir sekarang untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara.
Golongan ini mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan dan 59% daripada mereka merasakan negara ini semakin bersatu dari segi perpaduan bangsa.
7. Golongan atas pagar yang kecewa (Disenchanted bystanders)
Sama seperti golongan kolar putih, mereka menganggap mereka ini tidak dilayan dengan adil. Golongan ini turut kurang menyokong kerajaan yang ada sekarang. Mereka kurang berminat untuk menyertai mana-mana parti politik dan juga kurang berminat untuk mengikut perkembangan politik. Mereka merasakan, mana-mana parti politik yang memerintah, keadaan akan tetap tidak berubah.
Rumusan
Lebih kurang separuh rakyat Malaysia yang tidak menaruh kepercayaan kepada kerajaan untuk memulihkan kesulitan ekonomi di negara ini.
Di dalam memperbaiki keadaan yang ada sekarang, majoriti responden berpendapat bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang lebih demokratik.
Antara faktor-faktor yang dikaji menjadi punca rakyat Malaysia berpecah belah ialah – mengikut jawapan responden –perbalahan yang berlaku di antara ahli-ahli politik (13%) dan isu-isu kaum (9%).
Responden (59%) yang ditanya juga bersependapat bahawa Melayu dan kaum Bumiputera patut dibantu dan diberi hak keistimewaan.
Rasuah Faktor kegagalan ekonomi Negara
Antara faktor penyebab ketidakyakinan responden yang diambil dari seluruh negara ini, 87% berpendapat bahawa rasuah menjadi faktor utama kegagalan ekonomi negara. Apa yang lebih menarik lagi, mereka bersetuju bahawa rasuah ini berpunca daripada pemimpin-pemimpin kerajaan. Daripada jumlah ini, 37% daripadanya adalah dari kalangan golongan ‘atas pagar’.
Sungguhpun mereka kecewa dengan tahap rasuah sekarang, 69% daripada mereka masih menganggap perkara ini dapat diatasi manakala 26% berpendapat bahawa keadaan rasuah negara ini amat teruk sehingga ianya sudah menular ke darah daging di negara ini dan tidak dapat dibendung lagi.
Fahaman 1Malaysia
Adakah konsep 1Malaysia benar-benar satu fahaman yang memupuk semangat perpaduan antara kaum di dalam negara ini? Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center, dari kalangan responden bukan-Bumiputera 46% tidak meyakini akan konsep tersebut dan percaya bahawa ia hanya satu gimik politik bagi memenangi kepercayaan pengundi bukan-Melayu.
Namun, 39% daripada responden berpendapat ianya satu usaha murni dan 16% tidak mahu berbicara mengenai konsep tersebut yang banyak menimbulkan kontroversi.
Sebanyak 66% mengganggap diri mereka tidak berupaya mempengaruhi ketentuaan isu-isu manakala 58% tidak berminat dengan politik negara.