Tidak hairan apabila membaca laporan tahunan badan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International di dalam ‘The State of the World’s Human Rights’ yang diterbitkan pada Mei 27, 2010 lalu.

Laporan tersebut telah mendokumenkan keadaan hak asasi manusia di 159 negara pada 2009, bahawa tidak terdapat pembaharuan yang signifikan terhadap perlindungan kepada hak asasi manusia di Malaysia pada tahun lepas.

Adalah mengecewakan bahawa walaupun dengan menganggotai semula suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk hak asasi manusia, Malaysia masih belum akur sepenuhnya dengan hak asasi manusia menurut piawaian PBB.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia masih lagi belum meratifikasikan konvensyen-konvensyen penting dalam PBB seperti International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR), Committee on the Elimination of Racial Discrimination (CERD) dan Convention Against Torture (CAT).

Alasan Menteri Luar Negeri melalui Dewan Negara pada Mei 3, 2010 bahawa kerajaan perlu mengkaji sama ada terdapat keupayaan (prima facie atau ‘on the face of it’) berpotensi untuk mencabar dasar-dasar sedia ada serta mengkompromikan keselamatan negara. Aspek keagamaan juga perlu dititikberatkan dalam memastikan kandungan perjanjian-perjanjian tersebut selaras dengan ajaran dan fahaman dan tidak bercanggah dengan mana-mana agama di Malaysia.

Penganiayaan pekerja asing meningkat

Penganiayaan dan sikap tidak endah terhadap pekerja asing dan pelarian berterusan meningkat, dengan keengganan kerajaan untuk mengakui terdapatnya perbezaan antara kumpulan tersebut.

Menurut laporan Amnesty, terdapat 45,000 pemohon perlindungan di dalam negara yang masih tidak berdaftar, dengan ketiadaan atau inisiatif yang kecil diambil untuk melindungi atau memberi mereka status perundangan yang sahih. Penghijrah, termasuk pemohon perlindungan dan pelarian, sering ditangkap dan ditahan untuk jangka masa panjang. Ini melanggar Konvensyen Pelarian PBB dan Konvensyen Pekerja Asing PBB yang menyeru penjagaan dan perlindungan yang wajar terhadap mereka.

Sebagai anggota kepada PBB dan menandatangani Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, negara kita seolah-olahnya acuh tak acuh terhadap deklarasi tersebut yang menyatakan bahawa ‘Tiada sesiapapun boleh dikenakan penderaan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau mengaibkan’ (Perkara 5).

Walaupun begitu, keadaan di penjara dan pusat tahanan adalah amat tidak memuaskan, dengan makanan dan zat yang tidak mencukupi, tahap kebersihan yang rendah dan penderaan fizikal yang selalunya berakhir dengan kecederaan atau jangkitan yang serius, dan di sesetengah kes menyebabkan kematian.

Statistik Jabatan Penjara menunjukkan semenjak tahun 2002 hingga 1 Jun 2009, sejumlah 2,029 penghuni yang ditahan di penjara, pusat pemulihan akhlak dan depot tahanan pendatang asing tanpa izin/PATI – pada 2002 hingga 2007, depot tahanan PATI masih di bawah pengurusan Jabatan Penjara – telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit.

Dua tahanan telah meninggal pada bulan Mei kerana leptospirosis (jangkitan bakteria yang disebabkan air yang telah dicemari oleh air kencing haiwan) di depot imigresen Juru, menurut Menteri Dalam Negeri melalui kenyataannya di Dewan Negara pada Julai 2009.

Berdasarkan laporan koroner, laporan pegawai perubatan serta hasil siasatan, punca utama kematian-kematian tersebut adalah disebabkan oleh penyakit seperti HIV-AIDS, septicaemia, pulmonary tuberculosis, barah, sakit jantung, masalah darah dan sakit lelah.

Daripada jumlah kes kematian yang dinyatakan di atas, sebanyak 98.5% atau 1,999 kematian tersebut berlaku di hospital iaitu semasa penghuni berkenaan sedang menerima rawatan, 0.75% atau 15 kematian berlaku ketika dalam perjalanan ke hospital dan 0.75% lagi atau 15 kematian berlaku di dalam penjara.

Amalan hukuman sebatan

Amalan hukuman yang mengaibkan seperti sebatan perlu dimansuhkan segera sekiranya Malaysia telah menerima tanggungjawab untuk menegakkan maruah manusia. Sebanyak 34,923 hukuman sebatan telah dijalankan kerana kesalahan imigresen di antara tahun 2002 dan 2008, dan ribuan yang telah dijatuhkan hukuman tersebut sedang menanti hukuman dijalankan.

Satu contoh popular ialah yang berkaitan dengan Kartika Sari Dewi Shukarno, pada Julai 2009.

Seterusnya, sebanyak 68 orang telah direkodkan sebagai telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.

Kerajaan berterusan menunjukkan sikap tidak endah terhadap saranan perhimpunan agung PBB yang meminta penangguhan rasmi (‘moratorium’) bagi hukuman mati. Ini adalah kegagalan negara untuk menghormati piawaian hak asasi manusia.

Sikap cakap tak serupa bikin kerajaan Malaysia ternyata sekali kerana negara merupakan anggota majlis hak asasi manusia PBB yang meluluskan Resolusi 62/149 mengenai moratorium terhadap hukuman mati. Resolusi tersebut telah dikuatkuasakan oleh perhimpunan PBB pada Disember 18, 2007.

Di antara ketetapan-ketetapannya adalah bahawa negara-negara yang masih mengamal hukuman mati diminta untuk menghentikan pengunaan hukuman mati dan mengurangkan jumlah hukuman-hukuman yang membawa hukuman mati secara berperingkat. Negara-negara yang mengingkari PBB turut digesa supaya melaksanakan moratorium terhadap kesemua hukuman-hukuman mati dengan hasrat untuk menghapuskan hukuman ini sama sekali.

Namun, Malaysia masih lagi mengendah-endahkan moratorium tersebut dalam meminda undang-undang yang bercanggah dengan penangguhan tersebut.

Kebebasan bersuara

Melalui kajian kebebasan akhbar yang dijalankan oleh Freedom House, Malaysia tergolong antara 30 peratus terbawah dalam kebebasan media dunia.

Malaysia semakin terjatuh dari tangga ke-71 daripada 100 negara-negara yang dikaji (tahun 2003), kepad tangga ke-154/193 (2004), 152/194 (2005), 141/194 (2006), 150/195 (2008), 143/195 (2009) dan 142/196 (2010). Malah, jika dibandingkan dengan prestasi negara-negara Asean, Malaysia berada di belakang Timor Timur, Filipina, Indonesia, negeri Thai dan Kemboja – yang kesemuannya secara relatif ialah lebih miskin daripada negara ini.

Kebebasan berpendapat dan bersuara, seperti yang tertera dalam Perkara 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga terus ditindas. Penahanan berleluasa ke atas penulis serta para pembaca blog yang memprotes krisis politik Perak menyebabkan lapan orang dihadapkan ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana komen-komen mereka, manakala lima peguam dan sekurang-kurangnya 15 orang daripada parti pembangkang juga telah ditangkap kerana menyuarakan pendapat mereka.

Selain Amnesty International, sebuah lagi badan hak asasi Suaram juga menjalankan kajian pada 2009 yang memberi beberapa contoh kejadian.

Antaranya ialah ketika wartawan Merdeka Review dihalang daripada membuat liputan barisan cabinet pada April 9, 2009. Pada September 2009 pula, akhbar maya Malaysiakini disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) atas siaran klip video ‘protes kepala lembu’.

Pada Nov 18, 2009, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat amaran kepada Tamil Nesan yang melaporkan tembakan anggota polis terhadap lima orang yang cuma disyaki.

Pada Mac 31, 2009 pula Kementerian Dalam Negeri menghalang parti-parti politik membangkitkan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Pada Mei 5, 2009, Wong Chin Huat dari gabungan Bersih ditahan di bawah Akta Hasutan kerana berkempen berpakaian hitam bertemakan ‘1Black Malaysia’ atas pengambilalihan pentadbiran kerajaan Perak oleh BN. Pada Mei 25, 2009, 19 orang ditahan polis di Ipoh kerana turut serta dalam mogok lapar atas isu yang sama.

Pada Mei 23, 2009, polis merampas komputer dan beberapa DVD atas rakaman nyalaan lilin (‘candlelight vigil’) yang diadakan dua hari sebelum itu.

Blogger juga menjadi mangsa dalam kebebasan bersuara apabila Bernard Khoo yang mengelolakan blog berjudul ‘Zorro Unmasked’ disoalsiasat polis atas tulisannya pada Ogos 8, 2009 bertajuk ‘Childish police bullying again???. Raja Petra Kamarudin pula didakwa atas Akta Hasutan beralasankan penulisan-penulisannya tentang pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Secara kesimpulannya, pencapaian Malaysia atas kedudukan hak asasi manusia tidak boleh dibanggakan. Dan perlu diingatkan bahawa pembangunan negara selaras dengan perkembangan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga sosial dan politik.