Rakyat perlu tahu bahawa mereka berhak memperolehi akses media yang sama rata. Ini terutama sekali ketika membuat pilihan semasa sesebuah pilihan raya. Bukan dengan disogok dengan satu pihak sahaja dan pada masa yang sama, pihak yang itu menyekat pihak yang lagi satu dalam menerangkan manifesto mereka.
Baru-baru ini, pihak pengurusan ntv7 didakwa telah mengarahkan supaya penerbit kanannya Joshua Wong berhenti dari menyentuh isu mengenai pilihanraya kecil Hulu Selangor.
Perkara ini didedahkan oleh Wong yang meletakkan jawatan pada April 20 berikutan dengan tekanan politik dari pihak kerajaan.
Siri rancangan ‘Editor’s Time’ terbitan Wong merupakan forum TV popular menggalakkan perbincangan rasional dan kritikal yang menjemput pemimpin-pemimpin negara untuk membuat analisa politik.
Sepertimana usul yang dibangkitkan oleh senator Tunku Abdul Aziz di Dewan Negara pada April 26, “campurtangan politik dalam urusan ntv7 menyekat kebebasan media dan membantutkan budaya perbahasan politik yang sihat???. (Sila baca di sini untuk mengetahui butir-butir kes yang membabitkan perletakan jawatan oleh Wong.)
Tunku Abdul Aziz berkata, “Ia tidak membantu kita mencapai tahap negara maju, sebaliknya merupakan taktik yang digunakan oleh diktator negara mundur untuk terus membelenggu rakyatnya.???
Menyusuli babak ntv7, sekatan juga dialami oleh satu lagi saluran televisyen, iaitu TV2, apabila dokumentari bersiri yang memaparkan permasalahan penduduk Bakun-Sg.Asap dihentikan siarannya selepas hanya sempat menayangkan dua episod daripada 10 episod yang telah dijadualkan.
Sekatan ke atas Editor’s Time (ntv7) and penyambungan dokumentari Galeri Mandarin Nasional (TV2) ialah satu bentuk ugutan kepada kebebasan penerbit dalam siaran televisyen. Ia juga bercanggah dengan prinsip laporan media yang bebas dan berdikari.
Ia sebenarnya satu bentuk hukuman kepada profesionalisme kumpulan penerbit.
Bukan untuk kali pertama
Perkara campurtangan ini bukanlah suatu perkara yang tidak pernah berlaku di negara ini. Pada Mei 28, 2001, kita saksikan pengambilalihan kumpulan akhbar Nanyang Press oleh MCA dari Hong Leong Group. Sebelum itu MCA juga pernah mengawal The Star pada tahun 1979. Umno pula telah mengambilalih Utusan pada tahun 1961 dan (New) Straits Times pada tahun 1972.
Arahan-arahan kepada media pernah diberikan secara langsung oleh Menteri Penerangan Zainuddin Maidin pada tahun 2007. Kerajaan juga pernah mengeluarkan arahan kepada media menerusi Menteri Kehakiman Nazri Aziz. Arahan kepada editor pun pernah melalui Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Halim Shafie.
‘Arahan’ untuk tidak menyiarkan sebarang liputan ketara dikeluarkan oleh kerajaan semasa perhimpunan aman Bersih dan Hindraf (kedua-duanya pada tahun 2007).
Terdapat juga situasi di mana laporan media telah diputarbelitkan seperti cara pihak polis mengawal sesebuah perhimpunan dengan menembak ke arah orang ramai sehingga membahayakan nyawa.
Kesannya kepada ‘Nanyang’
Pengambilalihah akhbar Nanyang yang kemudiannya dijual kepada pemilik Sin Chew Jit Poh, jutawan Diong Hiew King (yang banyak pertalian dengan kerajaan) juga dikecam pertubuhan-pertubuhan yang mahukan kebebasan media.
Jelas selepas sahaja pengambilan tersebut berlaku, jumlah pembaca akhbar dan tempahan para pengiklan merosot sehingga mengakibatkan kerugian bagi kumpulan Nanyang sebanyak RM631 juta pada tahun berikutnya.
Malaysia nampaknya masih tidak mendapat iktibar.
Cekaman yang telah dibincangkan di dalam rencana ini jelas memberi implikasi buruk terhadap wartawan, kaum pembaca dan para pengiklan.
Cara tersebut juga bukan seharusnya cara lagi Menteri Keselamatan Dalam Negeri bertindak terhadap media Cina tatkala media tersebut hendak cuba menerangkan isu alam sekitar dan kaum minoriti yang tertekan, terutama sekali Orang Asli dan pribumi yang ditindas.
Seorang pejuang kebebasan Filipina Jose Rizal pernah berkata, “there can be no tyrants where there are no slaves. We vow to have no media moguls, whoever their backers or masters are, to rule our heart and mind. (Tidak akan wujud penguasa sekiranya tiada abdi. Kita berteriak tidak mahu akan adanya penguasaan media, tidak kiralah siapakah pemilik atau pelabor dalam akhbar itu, dalam mempengaruhi jiwa dan fikiran kita).
Jose Rizal (1861-1896) pada zaman beliau lagi sudah menganggap bahawa media sepatutnya bebas daripada sebarang kawalan.
Pada 2001, ramai wartawan bergabung dengan memakai reben kuning ketika bertugas. Reben tersebut melambangkan protes mahukan kebebasan media di Malaysia. Kali ini, adakah para wartawan sanggup menghidupkan semula gerakan memakai reben kuning?