
Sekiranya dilihat aura musim yang lalu, penonton dan penggemar Akademi Fantasia secara majoriti memilih Mohd Hafiz Mohd Suip.
Demam kempen kemenangan Hafiz amat berbeza permainannya dengan demam kempen parti politik dalam pilihan raya. Lebih kotor lagi, kempen politik perampasan kuasa yang kononnya atas nama proses demokrasi.
Dalam demokrasi, pemilihan dalam mewakili sesebuah kumpulan/daerah/negara diserahkan kepada orang ramai, tanpa sekatan asalkan mereka layak untuk memilih. Dengan cara ini sahaja suara majoriti dapat kedengaran dan populariti pemenang dapat ditingkatkan.
Bagi menjalankan proses demokrasi tersebut, kempen perlu diadakan bagi menyatakan manifesto. Kempen bukan perkara yang mudah. Ia perlu diadakan dengan melibatkan seberapa banyak pihak berkepentingan dan menggalakkan orang yang tidak berkepentingan dalam menjayakan kempen tersebut. Dalam sesebuah parti besar, secara praktikalnya memerlukan jutaan ringgit.
Astro mengaut keuntungan
Penonton Astro menerusi Era dan pendengar radio Era telah membelanjakan lebih kurang RM2.5 juta ringgit atas undi sms yang diterima tahun lalu sepanjang 10 minggu.
Dalam keadaan ekonomi yang merudum, jumlah penerimaan sms berbanding dengan musim sebelum itu (2008) ialah dengan menyaksikan peningkatan 46%! Mungkin banyak faktor yang membawa kepada peningkatan tersebut selain publisiti melampau pihak Astro bagi menggalak pelanggan-pelanggannya mengundi. Namun, atas semangat mahu melihat idola mereka berada di tangga teratas, mereka sanggup melabur untuk tujuan tersebut.
Apa yang paling menarik ialah bagaimana para peserta ini bersaing antara satu sama lain. Di dalam akademi, mereka akan berusaha bersama-sama dan kita di luar berhempas-pulas menabur wang kepada Astro. Dalam sesi rakaman yang disiarkan, tidak nampak langsung perasaan hasad dengki. Malah semasa konsert, mereka sama-sama membantu lawan mereka.
Ianya sungguh berbeza dengan proses kempen-kempen pemilihan politik.
Politik wang Umno
Dalam kempen pemilihan Timbalan Presiden Umno (sebut parti Melayu Baru) lepas, mesyuarat-mesyuarat agung bahagian parti tersebut telah membuat pilihan mereka.
Berpestalah mereka seantero mesyuarat dengan kerusi melayang, dengan wanita-wanitanya menyelak kain merah dan menyingsing baju kurung putih dengan tersembor gelang-gelang emas mempertahankan calon masing-masing. Wang tunai pula berpindah kocek. Janji-janji ditabur.
Setelah nama disenarai-pendekkan dan tempoh mengundur diri dari bertanding tamat, hanya Ali Rustam (Datuk Seri) dan Muhyiddin Yasin (Tan Sri) bertanding. Pelbagai strategi diatur oleh juru-juru kempen dan calon sendiri.
Jadi, untuk memenangi pertandingan tersebut, Ali Rustam pun dibuka kes rasuah dalaman beliau dan dibicarakan oleh lembaga disiplin parti. Selepas siasatan, Ali Rustam didapati bersalah dan ditarik kelayakan untuk bertanding.
Parti pembangkang pula mengambil kesempatan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan siasatan sama. Ini tidak bermaksud calon yang satu lagi bersih dari amalan rasuah. Amalan (rasuah) telah menjadi darah daging dalam pemilihan seperti ini.
Maka, Muhyiddin menang tanpa perlu bertanding, tanpa perlu menyusahkan penganalis politik mengkaji undi popular, pola sokongan dan sebagainya. Sejurus selepas itu, beliau pun dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Apa manfaat kepada pemilih?
Menurut S. Weir and D. Beetham dalam buku mereka Political Power and Democratic Control in Britain (London: Routledge, 1998), salah satu aspek demokrasi dalam pilihan raya ialah bagaimana ianya dapat memperkasakan pengundi-pengundi; berapa banyak pilihan efektif yang ditawarkan di antara calon-calon dan parti-parti, bagaimana ianya boleh setara dengan nilai undi, berapa banyak galakan untuk turut serta dalam pilihan raya, dan bagaimana sistem ini dapat menyediakan lapangan yang sesuai untuk bersuara.
Audit Demokratik UK telah mengemukakan dua prinsip asas demokrasi dalam analisanya: Pertamanya ialah perkayaan dan kawalan secara kolektif di dalam membuat keputusan dan pembuat-pembuat keputusan. Keduanya, kesataraan politik – di mana setiap orang dan suaranya diambilkira sama rata; sama ada mereka ini pengundi berdaftar, pengguna perkhidmatan awam, penduduk atau dalam aspek-aspek lain berciri kewarganegaraan.
Mengikut amalan parlimen Westminister, demokrasi kita berlandaskan pilihan raya melalui undi terbanyak. Berbeza dengan negara seperti Indonesia, yang pilihan raya mereka diadakan sekali dalam lima tahun dan sekiranya terdapat kekosongan di sesebuah kerusi, maka calon yang mendapat kerusi kedua terbanyak dipilih mengisi kekosongan tersebut.
Di Malaysia, kekosongan sesebuah kerusi diselesaikan dengan pilihan raya kecil.
Pilihan raya di tangan Mahathir
Sejak pilihan raya umum Mac 2008, kita sudah berhadapan dengan enam pilihan raya kecil; Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Batang Ai, Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Penanti.
Melalui pilihan raya kecil Penanti, inilah kali kedua Barisan Nasional yang mempunyai gabungan parti politik terbanyak (14 buah parti) membuat keputusan untuk tidak bertanding. Kali pertama ialah pada tahun 1975 semasa pilihan raya kecil Parlimen Menglembu atas keputusan mahkamah.
Tetapi, pada tahun lepas, pengerusi BN Najib Razak mengumumkan tidak mahu bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti atas dua alasan; merugikan dan mengklasifikasikan pilihan raya ini atas masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat.
Kedua-dua alasan ini tidak dapat diterima Malaysia sebagai sebuah negara pengamal demokrasi berparlimen.
Mengimbas sejarah, pada tahun 1997, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu merealisasikan agenda politiknya, telah membubarkan parlimen Kuala Selangor yang dipegang oleh Abu Hassan Omar. Beliau mengadakan satu pilihan raya kecil di negeri Selangor hanya mahukan Abu Hassan sebagai Menteri Besar Selangor pada waktu itu.
Bagi agenda tersebut sahaja, kerajaan di bawah BN telah mengadakan dua pilihan raya kecil dan kerugiannya dua kali Penanti (yang hanya satu DUN).
Keputusan Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya kecil Penanti selepas pemegang kerusi tersebut Mohd Fairus Khairuddin bertindak melepaskan jawatan Adun beliau. Pakatan Rakyat sebenarnya mengambil risiko besar. Sekiranya BN berjaya merampas kembali DUN tersebut, maka Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat akan kekurangan satu kerusi.
Ketua umum keADILan telah bertindak sedemikian dan memulangkan mandat untuk memilih jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepada pengundi di Penanti.
Ambil contoh Astro
Dalam pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dengan BN dalam mengatur strategi kemenangan. Lihat sahaja bekas pengarah SPR di Kuala Terengganu yang mengerah kakitangan kerajaan untuk mengundi BN.
Tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai dibiarkan sehingga penghujung tarikh yang dibenarkan untuk BN menyelesaikan perhimpunan agung Umno mereka secara kebetulan atau tidak kebetulan.
SPR juga sering kali menjadi badut apabila mengendalikan pilihan raya. Dari kertas undi hilang di Parlimen Lumut yang terdapat ramai pengundi pos, senarai pemilih yang kucar-kacir, serta berdegil tidak mahu melaksanakan dakwat kekal sehinggakan wang rakyat RM1.2 juta masuk ke dalam longkang – dibakar kerana tarikh luput dakwat tersebut sudah berakhir.
Melihat kepada kempen-kempen politik yang dijalankan, tidaklah semeriah dan sebersih kempen Akademi Fantasia.
Pelbagai ruang forum maya menjadi platform kempen sehingga melibatkan kaum keluarga yang menangis teresak-esak meraih undi simpati. Laman-laman web rasmi dan tidak rasmi tumbuh bagi menyebarkan mesej masing-masing secara terbuka. Astro juga menganjurkan debat di kalangan pengikut-pengikut peserta secara terbuka dan diulang siaran berkali-kali.
Sewaktu konsert, juru kempen akan menggunakan seberapa banyak kreativiti bagi meraih undi pada saat-saat terakhir. Lihat sahaja kepada kain-kain rentang berwarna-warni, pakaian mereka yang jelas mempromosikan peserta-peserta tertentu dan sebagainya.
Pihak penganjur Astro memberi kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen kecuali di saluran @15 yang menapis perkataan-perkataan kotor.
Tidak pernah Astro menggunakan Akta Hasutan, Akta Fitnah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti malah mencadangkan kepada kerajaan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ke atas pengundi-pengundi.