
Video 1 (10 minit)
Video 2 (7minit)
Tahun ini memperingati ulangtahun ke-10 Timor Timur bebas daripada pemerintahan Indonesia dan bala tenteranya. Pada Okt 19, 1999 pihak Indonesia berundur dari wilayah di bahagian timur Pulau Timor itu yang dicerobohinya.
Timor Timur telah diperlakukan dengan zalim dan penduduk tempatannya yang kebanyakan beragama Kristian dibunuh dengan kejam, hak asasi mereka dicabuli dan anak isteri mereka dirogol.
Laporan CAVR menyebut dari tempoh 1974 hingga 1999, seramai lebih kurang 100,000 orang Timur Timor dibunuh atau dibiarkan kebuluran. CAVR ialah singkatan dalam bahasa Portugis untuk Komisi untuk Penerimaan, Kebenaran dan Rekonsiliasi yang beroperasi dari 2002 sampai Disember 2005.
Pada tahun 2002, bekas koloni negara Portugal tersebut mula dikenali sebagai the Democratic Republic of Timor-Leste. Namun selepas Timor Timur memperolehi kemerdekaan dari Indonesia, rakyatnya masih tidak memperolehi keadilan.
Kezaliman yang berlaku selama 24 tahun penjajahan Indonesia (mulai tahun 1975) menjadi tanggungjawab anggota keselamatan dan konco-konconya. Malangnya, ada pula anggota-anggota yang terlibat dalam pencabulan tersebut diberikan ganjaran dengan kenaikan pangkat.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah berulang-kali mengesyorkan supaya siasatan dijalankan terhadap pembunuhan yang berlaku di Timor Timur.
Masyarakat antarabangsa harus memberi peringatan kepada kerajaan-kerajaan dunia demokratik bahawa Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak dengan lebih komprehensif berkenaan pelan mewujudkan tribunal jenayah bagi semua jenis jenayah yang berlaku di Timor Timur sepanjang tempoh 1975-1999.
Mahkamah yang tak cukup syarat
Kerajaan Indonesia cuba untuk menutup pekung dengan menubuhkan sebuah Mahkamah Hak Asasi Manusia khusus bagi menangani pemasalahan ini. Akan tetapi, fungsinya dikritik hebat PBB, pertubuhan tempatan dan antarabangsa kerana gagal mencapai piawai minima dalam perbicaraan adil antarabanga.
Malah, mantan Setiausaha Agung PBB Kofi Annan pernah dipetik sebagai berkata pada tahun 1999:
“Sesungguhnya, keadilan haruslah diberikan; sama ada mereka masih hidup mahu pun mereka yang sudah mati. Kematian yang berlaku semasa penjajahan Indonesia mestilah diberikan pampasan. Tetapi, adakah petubuhan antarabangsa benar-benar serius dengan memberi tekanan kepada pihak yang bertanggungjawab? Adakah kerajaan Indonesia sendiri sedar bahawa mereka sepatutnya membayar pampasan kepada keluarga mangsa di Timor Timur????
Pada Jun yang lalu semasa dialog kebangsaan untuk mencari persefahaman untuk Kebenaran, Keadilan dan Rekonsiliasi, Presiden Jose Ramos-Horta menyatakan kebimbangannya mengenai proses mengenalpasti mangsa manakala Perdana Menteri Xanana Gusmao menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mahu budaya mangsa seperti ini berpanjangan di Timor Timur.
Ketiadaan pampasan diberikan kepada mangsa pencabulan hak asasi manusia semasa penjajahan Indonesia berlawanan dengan jumlah pampasan yang besar diberikan kepada mangsa pencabulan 2006 dan program-program yang diadakan sebagai bantuan kepada gerakan pihak yang berkecuali.
Malaysia, seperti yang kita sedia maklum selalu memainkan peranan ‘Pak Turut’ dan sentiasa mengambil jalan selamat, apatah lagi isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Sebagai negara jiran, Malaysia tidak pernah menawarkan sebarang usaha ke arah pembaikan keadaan di Timor Timur sejak 10 tahun yang lalu.
Dalam mencapai ‘rekonsiliasi’, kerajaan Timor Timur dan Indonesia pernah mengadakan pertemuan pada Julai 2009 bagi membincangkan isu berkaitan dengan perpisahan kanak-kanak, yang mana kanak-kanak Timor Timur dibawa anggota tentera Indonesia untuk hidup di Indonesia. Namun usaha untuk mencari penyelesaian tidak mendatangkan banyak perkembangan.
Perkara yang dapat diusahakan ialah mengenai kelonggaran syarat-syarat pemberian visa kepada rakyat Timor Timur yang melanjutkan pelajaran di Indonesia.
Keyakinan terhadap minat kerajaan Malaysia untuk mengambil berat permasalahan Timor Timur amat nipis.
Malaysia sebagai salah satu anggota Asean tidak pernah mengusulkan perkara ini semasa persidangan yang diadakan. Sekiranya usul ini dibawa ke Parlimen Malaysia, saya berani untuk mengatakan bahawa Yang Dipertua Dewan akan menolaknya atas alasan “tidak perlu disegerakan???.
Malahan bekas Menteri Dalam Negeri Megat Junid Megat Ayob dikhabarkan pernah berkata Malaysia berpendirian ianya tidak perlu campur-tangan dalam urusan negeri Indonesia. Atas alasan itulah persidangan Apcet II yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1996 tidak diberi kelulusan.
Peristiwa hitam Apcet II
Apcet ialah the Asia Pacific Conference on East Timor. Apcet I diadakan di Manila pada 1994, Apcet II di Kuala Lumpur (1996), Apcet III di Bangkok (1998) dan Apcet IV di Dili, Timor Timur (2000).
Di antara para aktivis yang menyertai Apcet II ialah Dr Sanusi Othman, Dr Syed Husin Ali, Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan Syed Shahir Syed Mohamad.
Pada Nov 9, 1996, ahli-ahli Pemuda Umno – dengan menggelarkan diri mereka Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang termasuk ahli-ahli parti komponen lain BN – telah menyerang Apcet II yang sedang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Serangan itu dilakukan ketika hadirin tempatan dan antarabangsa sedang membaca doa sempena upacara pembukaan di dewan.
Kira-kira 400 ahli Pemuda Umno telah mengusir serta mengertak para perwakilan Apcet, menumbuk dua peserta wanita di bahagian dada, mencederakan hidung seorang peserta lelaki, memecahkan pintu, melontar kerusi dan memusnahkan perabot.
Sementara itu, lebih kurang 100 orang mengadakan protes (yang besar kemungkinannya tanpa permit) di luar hotel di samping mempamerkan sepanduk “East Timor urusan Indonesia, NGO jangan sibuk???.
Polis tidak memberkas mereka yang berdemo jalanan tetapi sebaliknya menahan 60 peserta dan pengelola Apcet, termasuk enam orang wartawan.
Lantaran itu, kerajaan Malaysia mendeportasi 40 peserta asing.
(Apcet II disertai wakil-wakil dari Bangladesh, Nepal, Japan, New Zealand, South Africa, Mozambique, Canada, Ireland, Thailand, Burma, Singapore, Cambodia, Indonesia, Brunei, the Philippines, India, Sri Lanka dan Australia.)
Cara polis di-raja menjalankan tugas
Ekoran kekecohan yang timbul, seramai 36 plaintif terlibat dalam Apcet II telah memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia.
Defendan dalam kes ini yang dibawa pada bulan November 1998 ialah bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Ismail Che' Ros, bekas OCPD Dang Wangi Zainal Abidin Ali, Inspektor pegawai pemeriksaan Tengku Hamzah Tengku Abdullah, dan kerajaan Malaysia.
Dalam perbicaraan dalam bulan Jun 2007, bekas setiausaha Pemuda Umno Saifuddin Nasution Ismail dipanggil sebagai saksi.
Saifuddin, yang mengetuai kumpulan ganas Umno yang meleraikan rundingan Apcet tersebut, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima arahan daripada untuk menyerbu bilik persidangan.
Memberi keterangan, Saifuddin menceritakan bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa hal-hal berkaitan aksi polis telah siap diatur dan polis dijangka akan tiba di hotel hanya selepas berlalunya setengah jam. Jangkawaktu 30 minit itu akan memberikan Pemuda Umno cukup masa dan ruang untuk bertindak.
Kes saman tersebut selesai dibicarakan di Mahkamah Putrajaya pada Ogos 28, 2009 selepas meleret selama 11 tahun dan sedang menanti keputusan hakim.
Gambar Apcet II dan pautan video dengan ehsan Malaysiakini.