Dalam kurang dari sedekad, terma yang digelar e-demokrasi telah melepasi sebuah transisi dari futurologi spekulatif kepada juadah eksperimentasi dan dasar embrionik. Spekulasi awal berkaitan dengan Internet dan demokrasi mengkhususkan kepada potensi untuk mengarah demokrasi yang tidak memerlukan mediasi.

Selepas ianya mula dirasai sebagai tentangan, kerajaan Barisan Nasional cuba menggunakan aspek perundangan. Aku mula bayangkan mereka mula memanggil pakar IT (sebut teknologi maklumat) dan penasihat-penasihat untuk mengadakan sesi penerangan apakah itu Internet dan apakah Internet boleh lakukan.

Menurut Prof Stephen Coleman dari Institute Oxford Internet, kaedah dan proses e-demokratik mempunyai potensi untuk melangkaui jarak (geografikal, maklumat, budaya, emosi) di antara warganegara dan wakil-wakilnya dan menjurus ke arah perwakilan langsung (direct representation).

Dengan yakinnya, pihak berkuasa telah mengeluarkan kenyataan dengan cadangan agar digubal undang-undang siber. Bagaimana kita mampu mengawal dunia tanpa sempadan sebegini?

Sebagai contoh, secebis berita yang dihantar ke sebuah laman yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Maksudnya menggunakan pelayan dot.com. Berita tersebut akan dihantar ke Amerika Syarikat dan kemudiannya baru dipancar untuk liputan. Ini bermakna berita tersebut disiarkan oleh Amerika Syarikat. Adakah kita masih termaktub di dalam Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi? Akta drakonian tersebut hanya laku di negara ini sahaja. Berbeza sekiranya kita menulis kepada pelayan (dot)com(dot)my yang dilancarkan di Malaysia. Laluannya akan terus dari Malaysia melalui satelit dan kembali ke negara ini untuk disiarkan.

Kemudian, timbul pula untuk menubuhkan Suruhanjaya Multimedia. Ianya diluluskan oleh parlimen dan berfungsi sehingga sekarang bagi memantau pergerakan alam siber tetapi sebagai suruhanjaya ini tidak mempunyai kuasa pendakwaan, kecuali tindakan diambil di bawah jurudiksi Peguam Negara.

Sekiranya diteliti beberapa pendapat pakar dalam e-demokrasi ini, Matthew Taylor, penasihat kepada Perdana Menteri United Kingdom menyebut bahawa cabaran yang dihadapi oleh kerajaan yang secara umumnya berhubung dengan rakyat; urustadbir di dalam teknologi dapat direka pada tahap membantu menyuburkan pendemokrasian interaksi dengan lebih baik.

Apa itu e-demokrasi?

E-demokrasi bermakna menyebarkan lebih banyak maklumat politik dan bagi memperkembangkan komunikasi dan penyertaan. Dalam jangka panjang, e-demokrasi menggalakkan transformasi debat politik dan budaya politik. Pihak-pihak yang terlibat dalam lapangan e-demokrasi termasuklah anggota dalam masyarakat sivil (tidak kira sama ada pertubuhan mereka mempunyai struktur atau pun tidak), pentadbirannya, ahli-ahli politik dan juga bidang ekonomi.

E-demokrasi sepatutnya dinyatakan secara meluas memandangkan komputer dan telekomunikasi, terutamanya yang berhubungkait dengan Internet dan laman sawang (sebut laman web) dihubungkan dalam semua aspek politik dan urustadbir. Segala macam isu diperbincangkan; dari masalah menutup jalan berlopak hinggalah memilih ahli politik, media elektronik membentuk akses bagi memberi pengetahuan, siapa mereka ingin nyatakan dan apakah alasan-alasannya.

Banyak pihak yang masih belum dapat menghadam bagaimana komunikasi elektronik dapat dimanfaatkan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan warganegara yang mereka mendapat perkhidmatan dari kerajaannya. E-demokrasi bukanlah berkenaan dengan membayar saman (rujuk kepada e-kerajaan).

Banyak negara termasuk Malaysia menyatakan bahawa mereka mengamalkan prinsip demokrasi tetapi pada hakikatnya demokrasi yang diamalkan hanyalah pada nama sahaja. Majoriti dari negara-negara berkenaan bersetuju mengenai idealisme demokrasi tersebut. Namun, dalam institusi kuno tersebut, kaedah komunikasi dan budaya politik yang diamalkan telah gagal untuk menghubungkan rakyat terbanyak.

aaaaDalam agenda e-demokrasi, projek dalam gerakan ini termasuk;

·       Projek yang dijalankan sekali sahaja (one-off) dan tertentu yang dijalankan sama ada sebagai ujikaji atau pun mendapat dokongan jangka pendek bagi mendapat penyertaan awam, lebih bersifat lestari.

·       Projek-projek tempatan dan nasional mahupun projek-projek global.

Projek-projek yang bertujuan untuk menggalakkan liberalisasi dan projek-projek yang lebih mengkhusus kepada perkembangan maklumat atau mendokong proses pilihan raya.

E-demokrasi dalam kerajaan

Parlimen sepatutnya menggunakan pelantar Internet sebagai mekanisme utama dalam mendapat (feedback). Bagi rakyat Belanda, cara itu diterap dalam gerakerja parlimen mereka dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Parlimen Belanda kini mengemaskini dua laman sawang mereka; sistem e-petisyen (laman utama) dan perjalanan perdebatan parlimen secara secara langsung (dan tidak langsung). Juga, laman-laman mereka menyediakan lapangan untuk berdiskusi. (Rujuk scottishparliamentlive.com).

Di parlimen Kanada pula, mereka mempunyai konsultansi dasar yang dijalankan secara talian terus. Sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab jawatankuasa ini ialah mengendalikan status rakyat kurang upaya yang dibangunkan melalui Canadian Pension Plan Online Consultation with Canadians .

Rakyat di kedua negara ini berpendapat ianya amat berjaya kerana mampu untuk mencapai tahap menghubungkan rakyat sebagai rakan dalam proses membuat sesuatu keputusan.

Di Jerman pula, projek e-demokrasi yang bertapak di Bundestag direka bagi membolehkan rakyat Jerman membincang inisiatif perundangan terpilih secara maya. Namun cadangan tersebut menemui kegagalan atas beberapa sebab.

Pertamanya, kerana masalah teknikal yang dibangunkan oleh IBM yang menggunakan teknologi yang tidak bersesuaian. Keduanya, pihak yang mengusahakannya gagal untuk menunjukkan kesan daripada cadangan yang dikemukakan oleh pihak yang melayari dan menggunakan laman tersebut. Oleh yang demikian, institusi politik tidak dapat melihat ide dan usulan yang dikemukakan secara serius dan mereka tidak dapat melihat bagaimana ianya dapat dijanakan dalam proses politik. Pihak pentadbir kerajaan pula melihat projek ini sebagai sesuatu yang mendatangkan kerja yang lebih dan memberi mereka kuasa yang berkurangan.

E-demokrasi juga memudahkan projek yang berhubungan dengan populasi transnasional. Salah satu projek besar yang pernah dijalankan ialah e-undi yang diusahakan oleh kerajaan Greek semasa zaman presidennya di dalam Kesatuan Eropah.

Laman tersebut telah menerima trafik sebanyak 177,000 responden. E-undi yang dilaksanakan memfokus kepada kandungan maklumat mengenai isu-isu Eropah dan peluang dalam mengambil bahagian dalam menyatakan pendapat mengenai keputusan sesuatu dasar yang berkaitan dengan isu-isu tersebut.

Bagi menjadikan ianya paling efektif yang mungkin, laman tersebut disediakan dalam 11 bahasa yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah dan semesra yang mungkin. Pelayar laman tersebut dijamin mengenai kerahsiaan mereka.

Amat berbeza dengan keadaan di Malaysia. Di dalam parlimen negara ini, bukan sahaja ahli parlimen tidak berkesempatan untuk menyatakan usul yang mereka ketengahkan, tetapi rakyat yang mengikuti persidangan tersebut juga merasa jelek dengan sistem yang ada.

Laman rasmi parlimen Malaysia hanya berfungsi sebagai sebuah laman untuk menyediakan maklumat sahaja. Laman tersebut hanya memberitahu Ahli-ahli Parlimen yang dipilih, tarikh persidangan dan soalan yang ditanya … tanpa jawapan!

Apakah maknanya ini? Rakyat tidak mengetahui keadaan sebenar perbahasan di parlimen. Dengan adanya kemudahan IT ini, parlimen Malaysia sudah tentu mampu untuk menyiarkan siaran langsung atau sekurang-kurangnya rakaman perbahasan di laman mereka supaya tidak ada spekulasi yang memberi gambaran salah.

Parlimen juga tidak mahu dilihatkan ketelusan kerana jawapan-jawapan lisan mahupun bertulis tidak disiarkan di dalam laman berkenaan. Dari segi perbahasan, hanya Hansard yang mencatatkan setiap butir maki-hamun Ahli-ahli Parlimen ketika di dalam dewan persidangan yang disiarkan.

Dalam menarik perhatian golongan belia, kerajaan Amerika Syarikat telah mempelopori Facebook, MySpace dan Twitter dalam berinteraksi dengan masyarakat dunia melalui blog rasmi mereka; "WhiteHouse 2.0."

Laman yag dilancarkan awal Mei itu menerima 38,000 pengikut (fan) dalam sekelip mata dan angka tersebut melonjak ribuan setiap minit. MySpace yang lebih sifat bergaya menerima 5,300 teman yang berinteraksi secara aktif. Twitter menerusi @whitehouse pula menerima lebih 10,000 pengikut. Dalam laman-laman tersebut, mereka terbuka untuk menyatakan pendapat, cadangan dan kritikan secara bebas.

Apakah kekangannya?

Dalam sebuah institusi yang tidak matang, kita sering berhadapan dengan serangan-serangan dari agen-agen (sebut Internet trooper) yang menyerang dan mengalih pandang dalam sesebuah perbincangan. Mereka sering menggunakan emosi dan menggalakkan keresahan serta kemarahan pihak-pihak yang cuba untuk menyertai dalam sesuatu topik yang diperbincangkan.

Keduanya, kekangan dari pihak berkuasa itu sendiri. Baru-baru ini terdapat beberapa rakyat yang memberi komen di dalam laman rasmi kerajaan Perak dihadapkan ke mahkamah. Mereka bukanlah pengendali laman tetapi hanya memberi komen di dalam ruangan yang disediakan kepada mereka.

Ketiga, risiko yang dialami ialah menerusi godaman (hacking). Salah satu contoh ialah apabila laman rasmi Perhimpunan Aman Rakyat Bersih 10 November 2007 yang lalu, laman tersebut digodam sebanyak empat kali dan cuba untuk memberitahu maklumat palsu bahawa perhimpunan tersebut batal.

Keempat, dari segi perundangan. Malaysia terdedah kepada akta-akta yang menyekat kebebasan bersuara. Antara lain, Malaysia mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan (OSA), Akta Fitnah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Perkara-perkara tersebut mengundang penglibatan yang kurang dalam sebuah pendemokrasian.

 

Rujukan:

www.ijclp.org/8_2004/ijclp_webdoc_12_8_2004.htm

Coleman, Stephen, A New Agenda for e-Democracy, Oxford Internet Institute (2005)

_________________________________________

Faisal yang berkelulusan MBA adalah pegawai penyelidik untuk Research for Social Advancement (Refsa), ahli sekretariat Bersih, jurulatih dalam hak asasi manusia dan blogger.