'Speaking for the reformasi generation’ (224 halaman) karya Liew Chin Tong ialah sebuah buku terbitan Refsa/Research for Social Advancement yang baru-baru keluar.

Liew, seorang ahli exco pusat DAP merupakan ahli parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang dan kini berpejabat di Komtar sebagai salah seorang pembantu rapat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sebelum partinya memenangi negeri Pulau Pinang di dalam pilihanraya umum ke-12 yang menampakkan MCA dan Gerakan tersungkur di tepi jalan, Liew juga memegang jawatan penasihat strategi pilihanraya kepada Lim, setiausaha agung DAP.

Pembabitan Liew dalam arena politik mula terserlah takkala ia bertugas sebagai setiausaha politik kepada ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, serta pengurus kempen bagi ahli parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun – kedua-duanya personaliti DAP.

Liew sememangnya seorang yang masak dengan percaturan politik serta kenal asam garam politik reformasi.

YB muda

Aku mula mengenali Liew semasa aku mula bekerjasama dengan beliau di dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pertengahan 2007, yang mana kami dilantik sebagai ahli sekretariat gabungan tersebut.

Walaupun muda – umurnya belum mencecah 33 tahun – beliau sesungguhnya mempunyai karisma di dalam membicarakan mengenai sistem reformasi sebenar yang patut dilaksanakan di negara ini, khususnya di dalam politik.

Teori yang digunapakai dan praktikal (yang diserang oleh ahli politik lama) menjadi ramuan dalam pelaksanaan sebuah reformasi kami.

Selepas berakhirnya tsunami politik 2008 dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima buah negeri dan jumlah majoriti undi BN yang banyak berkurangan, aku dipanggil oleh Liew bagi membantunya dalam kerja-kerja politik, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pentadbiran.

Liew rupa-rupanya banyak mengikuti penulisan aku. Bagi dirinya pula, Liew seorang penulis versatile’ serba boleh yang mampu bertutur serta menulis dalam tiga bahasa – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Ia pun pernah menggaji kesusasteraan Cina di New Era College sebelum melanjutkan pengajian tingginya di Australian National University dalam bidang Sains Politik. Tesis Sarjana Muda yang dibuat Liew bertopikkan PAS dan ‘political Islam’. Ia kemudiannya memperolehahi ijazah Sarjana daripada Universiti Malaya.


Bibit-bibit awal perjuangan

Aku mentafsirkan Reformasi sebagai satu gerakan yang bermula pada tahun 1998 sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pada waktu itu juga kemelut kewangan global menyempitkan lagi inflasi.

Sungguhpun aku tidak menganggap reformasi di Malaysia pada waktu itu berjaya. Bandingkan dengan gerakan reformasi di Indonesia pada waktu yang sama sehingga mengakibatkan presiden ketika itu, Suharto terpaksa tunduk kepada desakan rakyat. Maka, berakhirlah Order Baru Suharto yang mencengkam selama tiga dekad.

Di Indonesia, reformasi dikategorikan kepada kebebasan bersuara. Hasilnya Indonesia sekarang berhadapan dengan perdebatan politik terbuka di dalam media.

Buku ini yang mengutipkan rencana-rencana Liew bukannya baru untuk aku kerana aku sudah pun membaca kebanyakan daripada rencana yang pernah diterbitkan.

Fokus penulis banyak menumpu kepada isu semasa dan mengkritik hebat polisi kerajaan. Sebagai ahli jawatankuasa pusat kepada DAP, ia banyak mengenengahkan idelogi sosialisme yang menjadi pegangan Parti Tindakan Demokratik itu.

Aku teringat zaman semasa rakyat turun ke jalanraya sekitar 1998. Pada waktu awal gerakan reformasi itu sendiri, aku sudah pun memberi komitmen kepada persiapan Sukan Komanwel 1998 di Bukut Jalil. Sebaik sahaja selesai tanggungjawab sebagai sukarelawan, aku terus memberi komitmen kepada gerakan ini.

Dalam usia muda, aku telah membuat keputusan untuk turun bersama rakyat ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. ‘Persetan dengan FRU’. “Arwah ayahku tidak pernah menghalang. Dia hanya berkata; ‘ini generasi kau, you know better want you want for your generation’.???

Malam sebelum tanggal 20 September 1998, aku cuba mengatur rancangan untuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana terdapat perhimpunan di luar Bangunan Sultan Abdul Samad, hari perbicaraan Anwar Ibrahim.

Adakah Reformasi merujuk kepada Anwar Ibrahim? Anwar Ibrahim hanyalah 'paramount' kepada segalanya.

Rasuah yang menjadi darah pegawai kerajaan dan pihak berkuasa, harga barang naik, pekerja diberhentikan dan banyak lagi. Buku ini tidak bukan hanya merujuk kepada Anwar sebagai ikon dalam gerakan reformasi tetapi kebobrokan dalam sistem pemerintahan pada waktu itu yang menjadi muntah generasi muda.

Kritikan terhadap struktur kuasa

Antara isu yang diprbincangkan di dalam Speaking for the Reformasi Generation ini, penulis banyak menelaah kuasa Perdana Menteri. Bagi Tun Abdullah Badawi; sebelum, semasa dan selepas penerajuan kerajaan di bawah beliau.

Sebagai pemimpin yang dikenali sebagai pemimpin transformasi (‘transformational leader’), Abdullah yang merupakan Perdana Menteri tertua yang memegang tampuk kuasa pada usia 64 tahun, cuba bermain politik selamat semasa memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri agar tidak mahu berlaku seperti nasib yang melanda Musa Hitam dan Anwar Ibrahim.

Kelembapan pentadbiran Abdullah juga menjadi bahan tulisan Liew. Merombak kabinet sebanyak dua kali menjadi salah satu petunjuk ketidakcekapan dalam penyusunan anggotanya.

Akhirnya, Abdullah terpaksa tunduk kepada Legasi Razak dengan Najib mengambil alih tampuk kuasa.

Sungguhpun,Najib pemimpin yang penuh dengan skandal dan kontroversi; antaranya kes pembunuhan Altantuya, pembelian jet pejuang Sukhoi dan Eurocopter, penyelamatan Valuecap melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau dapat meyakini rakyat dengan mainan wayang kulitnya.

Slogan ‘Ubah Cara Hidup’ apabila harga bahan bakar naik, dan '1Malaysia' apabila isu parti perkauman dibangkitkan. Perkara seperti ini menggembalikan populariti Najib sebagai Perdana Menteri.

Buku karya Liew Chin Tong sudah pun berada di pasaran dan sesuai untuk generasi awalnya untuk menghayati dan memahami inspirasi generasi muda dalam membicarakan halatuju negara ini.