Hari Kebebasan Media jatuh pada tanggal Mei 3 setiap tahun. Bersempena dengan pelantikan Najib Razak sebagai Perdana Menteri baru, kita mungkin tertanya-tanya apakah halatuju media di mata beliau.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia mempunyai Akta Percetakan dan Penerbitan yang menjadi kekangan kepada kebebasan media kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa luas bagi menetapkan syarat-syarat penerbitan tersebut.
Semasa pilihan raya umum yang lalu, pengundi telah memberi isyarat yang agak kuat bahawa mereka mahukan media yang lebih bebas.
Mengikut kajian yang dijalankan, The New Straits Times memaparkan 17 halamannya mengutuk parti alternatif khususnya ketua umum PKR tujuh hari sebelum pemilihan. Ini mendatangkan impak yang di sebalik kerana kecaman-kecaman yang berlebihan tersebut bukan hanya telah menimbulkan rasa marah pengundi malah telah mendatangkan rasa belas kepada Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, kerajaan BN Perak telah berusaha menyekat media maya – suatu pendekatan yang bertentangan dengan konsep '1Malaysia' diperkenalkan oleh Najib.
Walaupun media di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi tidak menunjukkan satu tahap yang membanggakan, namun sekurang-kurangnya beliau telah mula memberi kelonggaran kepada media maya dalam menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan.
Justeru itu, negara kita hampir mengecapi sedikit ruang cahaya. Misalannya, Menteri Dalam Negeri pada waktu itu Syed Hamid Albar memberi kelonggaran supaya penerbitan parti politik perlu memohon lesen sekali sahaja (sebelum itu, lesen penerbitan wajib diperbaharui setiap tahun).
Namun peralihan kuasa kepada Najib bulan lepas menutup kembali ruang cahaya itu and sekarang nampaknya tahap media berbalik selangkah demi selangkah ke belakang.
Berdasar kepada indeks Kebebasan Akhbar Sedunia oleh Reporters sans frontieres, pada tahun 2008 Malaysia jatuh lapan tangga kepada 132, iaitu kedudukan yang terburuk pernah dicatatkan. Manakala pada 2007 dan 2006, masing-masing pada kedudukan 124 dan 92.
Selain itu, kerajaan pusat juga menggunakan Akta Multimedia dan Komunikasi, Akta Hasutan dan ISA bagi memberi ugutan kepada blogger dan pihak yang turut serta dalam memberi komen di dalam beberapa laman.
Semasa kemelut perampasan kuasa di Perak, kerajaan telah mengambil tindakan mahkamah terhadap enam orang yang didakwa menghina raja kerana meninggalkan komen mereka di laman yang berpautan dengan buku tetamu Sultan Azlan Shah.
ISA diperalatkan
Pada September 2008, satu lagi penghakisan dalam kebebasan media apabila Raja Petra Kamarudin, exco Selangor Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng dikenakan tindakan di bawah ISA. Susulan itu pada bulan Oktober, Teresa telah memfailkan saman RM30 juta ke atas akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki Umno.
Raja Petra yang menggendalikan laman Malaysia Today pula kini dikhabarkan sudah menghilang diri kerana khuatir akan dikenakan di bawah akta yang sama buat kali ketiga.
Pada April 16, 2008, Menteri Dalam Negeri telah mengharamkan akbar harian bahasa Tamil Makkal Osai. Selepas bantahan dari masyarakat India serta pejuang kebebasan media, akhirnya kerajaan akur dan menarik balik pengharaman tersebut pada April 25.
Dan pada sepanjang tahun 2006, sebanyak 115 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan. Dalam jangkamasa yang sama, empat akhbar telah diharamkan, dua ‘digantung tidak bertali’.
Dalam satu kajiselidik yang dijalankan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) bersama Merdeka Center for Opinion Research, 80 peratus daripada 1,203 responden berpendapat media dimiliki kerajaan dan mahu melihat media lebih bebas.
Apa yang diharapkan di bawah pimpinan Najib, langkah pertama yang beliau perlu ambil ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan parlimen (parliamentary select committee) bagi mengkaji semula undang-undang yang mencengkam media di negara ini.
Undang-undang Kebebasan Maklumat
Selain itu, sebuah akta yang mampu memberi sedilkit ruang kepada pengamal media dan orang awam mengenai kebebasan maklumat perlu digubal secepat mungkin. Akta Kebebasan Maklumat ataupun Freedom of Information Act (FOI) adalah undang-undang yang perlu dalam perkembangan dan menaiktaraf negara.
Apa yang diharapkan, Akta Kebebasan Maklumat ini dapat menggantikan Akta Rahsia Rasmi dengan tujuan menggalakkan akses kepada maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam.
Sekiranya kita mengkaji Perisytiharan Hak-hak Asasi Manusia Sejagat, Artikel 19 menjamin hak bersuara dan hak mendapatkan maklumat, dan juga memberi makna kepada Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan bersuara. Rang undang-undang ini menggariskan prinsip-prinsip asas hak kebebasan maklumat dan mekanisme-mekanisme berkesan bagi melindungi hak tersebut.
Pada dasarnya, prinsip yang diaplikasikan ialah semua maklumat yang dipegang oleh badan awam patut boleh diakses oleh sesiapa, terutamanya jika pendedahan maklumat tersebut mempunyai kepentingan awam.
Pengecualian dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan spesifik, terhad dan ditentukan melalui proses yang terbuka.
Perlu dibentuk satu Suruhanjaya Maklumat yang berdikari untuk memantau pelaksanaan akta, menerima aduan dan membuat keputusan ke atas aduan yang diterima, serta mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mempromosikan hak kebebasan maklumat, termasuklah melatih pemegang maklumat dalam menghalang penyalahgunaan kebebasan tersebut.
Apabila kita merujuk kepada proses pelaksanaannya, ia akan permudahkan proses meminta maklumat dan maklumbalas, murah, dalam jangkamasa yang munasabah.
Penafsiran perundangannya memastikan keterbukaan, di mana peruntukan atau perundangan lain yang bercanggah dengan rang undang-undang ini tidak akan dipakai. Malah perlindungan mesti diberi kepada 'peniup wisel' (si pemberi maklumat) yang mendedahkan maklumat yang penting dari segi kepentingan awam.