buzzPrakata oleh CPI

Topik ‘Bangsa Jawi’ yang diutarakan A. Ghani Ismail di blognya menyentuh beberapa aspek yang jarang mendapat tempat dalam perbincangan umum serta mungkin tidak diketahui khalayak ramai.

Peringatan Ghani bahawa pada suatu masa dahulu penduduk Melayu di Semenanjung pernah mengenalkan diri sebagai ‘Orang Jawi’ adalah wacana yang menyimpang dari arus perdana.

Menoleh kembali kepada Perjanjian British-Belanda 1824, Ghani merungkai bagaimana gugusan kepulauan Melayu telah dibelah dua. Kuasa-kuasa Eropah tersebut memisahkan sfera pengaruh Nusantara yang kemudiannya bercabang mengikut jalan masing-masing – Indonesia ke arah republik dan Malaysia ke arah Negara Islam.

Hasil daripada babak sejarah penjajahan Barat ini, Indonesia yang mendokong ‘kesatuan dalam kelbagaian’ lebih keterbukaannya berbanding Malaysia.

Ghani merumuskan bahawa penerimaan komposit yang sedemikian di Indonesia memberi “satu jaminan toleransi, persefahaman dan saling hormat-menghormati yang menjadi asas ketamadunan dan supaya melahirkan satu bangsa/negara berasaskan pelbagai ajaran, adat dan falsafah”.

Malangnya di Malaysia, nilai sejagat menjadi kurang terserlah bilamana agama rasmi lebih berupa satu acara kawalan sosial oleh kerajaan dan birokrasi Islam yang berlapik-lapik.

Mengikut huraian Ghani, sebelum Merdeka kebanyakan orang yang sekarang ditakrifkan sebagai Melayu adalah berbangsa Jawi.

Kesinambungan jatidiri Bangsa Jawi ini diwarisi Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Sa’adong di Kelantan/Patani, yang kebetulan, adalah wilayah Majapahit II.

Majapahit ialah kerajaan Hindu awal di mana “terletak zaman kegemilangan bangsa yang berani mendirikan rumah di pantai dan dilambung ombak”.

Pada zaman sekarang pula, orang Melayu sedang cuba dengan sedaya-upaya untuk menyadur budaya setempat dengan ciri-ciri Arab celup walhal sebelum ini,

Islam bukan diterima bulat-bulat oleh mereka yang sekarang ditakrif sebagai ‘Melayu’.

Kata Ghani, sebaliknya “pada tahun 1950-an, majoriti menolak agama yang tertakluk pada bahasa dan adat-istiadat Arab ini”.

Maksudnya Islam-Arabiya ketika itu – era sebelum Merdeka – masih dipandang asing: “Sekolah Agama [Islam] pada masa itu disebut Sekolah Arab, menandakan ianya bukan institusi pribumi”. Dan meskipun bacaan-bacaan dihafalkan untuk bersalat, ianya dibuat tanpa pengertian apa yang dihafalkan itu.

Namun, sedikit demi sedikit, parti Islam PAS beserta kerajaan yang diterajui Umno berjaya menerapkan ethos Arabiya lalu kini tinggal sahaja benteng terakhir untuk melengkapkan penguasaan Arabiya, yakni pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud.

Dalam konflik Jawi dengan Arab ini, kesudahan menang-kalah boleh diperlihatkan melalui pihak yang mana satukah sudah sama sekali luput daripada kesedaran.

Namun sejarah silam tidak harus dilupakan kerana kita masih berupaya untuk membelajari daripadanya.

**********************************

Jalan dari Penyegat ke benua Jawi

by A. Ghani Ismail

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengambil kuasa melampau ke atas para blogger sehingga kami boleh dipenjarakan pada bila-bila saja melalui pindaan pada Akta Keterangan 1950. Kami tak ada arah melainkan terus menulis dan rela dipenjarakan kerana benar.

BN nampaknya akan tewas pada pilihanraya ini. Akibat gohed-gostan sehubungan Akta Keterangan baru-baru ini, PM Najib dipandang umum sebagai kurang berkuasa. Meskipun Pakatan akan menang, kerana PAS memperjuangkan Negara Islam yang autoritarian, maka sama-sama kita tahu bahawa kemenangan Pakatan tidak merupakan satu solusi kepada masalah sosio-politik yang dihadapi di Malaysia, tambahan dalam suasana tegang yang sedang beransur nyata dalam ‘pertembungan tamadun’ di antara Barat-Islam dan Barat-Cina yang telah sampai ke mari.

Jika meletus perang, dalam keadaan perpecahan kaum yang telah melanda negara, Malaysia dikira tak mempunyai harapan untuk mengelak kekacauan perkauman dan seterusnya tewas jika diserang.

Oleh yang demikian, penulis menoleh kembali ke arah Bangsa Jawi yang sekarang sedikit sekali diketahui orang Malaysia, khusus oleh orang ‘Melayu’.

Diwal

‘Diwal’ yang disebut dalam karangan Raja Ali Haji, Tuhfatu’l-Nafis, bermakna ‘Rumah dewa-dewa’ atau kuil pusat seperti yang masih berdiri pada Bukit Betong, Pahang, tanpa berhala-berhalanya.

Sebuah lagi seharusnya berada pada Kuala Pekan, yang juga pusat dagangan pada zaman yang lampau, yakni semasa pedagang Melaka akan memudik Sungai Muar sampai ke Johol dan dari Johol menyambung pelayaran melalui Sungai Serting ke Sungai Bera dan ke Sungai Pahang, seterusnya ke Laut Cina Selatan melalui Kuala Pekan.

Pahang kelihatan lebih Hindu daripada Hindu-Buddha pada zamannya, satu zaman yang asasnya mungkin memutik pada abad kedua/ketiga Masihi dan berterusan sampai ke zaman Maharaja Perba Jelai pada awal abad ke-19 sebagai sampingan agama Islam.

Islam sudah bertapak kukuh sebagai pemerintah di Johor sejak zaman Tun Habib Abdul Majid menjadi Bendahara pada abad ke-17.

Enam orang raja di Empirituria Johor-Riau-Lingga kemudian terdiri daripada anak-cucu beliau, menjadikan wilayah besar Melayu terang-terang takluk rejim Arabiya-Islam yang kekal-cekal sampai sekarang.

Setelah Lingga terpisah akibat Perjanjian British-Belanda 1824, tempat ajanya diganti oleh Raja Perlis, bererti enam daripada sembilan raja-raja Melayu di Semenanjung masih terdiri daripada keturunan Tun Habib Abdul Majid dan beliau adalah cucu Habib Abdullah al-Aydarus, Aceh.

Raja-Raja keturunan Arab inilah barangkali bertanggungjawab mentakrifkan Bangsa Melayu sebagai bangsa yang semestinya beragama Islam seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia sedangkan sebelum Merdeka kebanyakan orang-orang yang sekarang ditakrifkan sebagai Melayu, adalah berbangsa Jawi.

Pada orang-orang Jawi, acara melafazkan dua kalimat syahadat disebut ‘masuk Melayu’, manakala khatan pula disebut sebagai ‘masuk Jawi’. Oleh yang demikian, anggota Bangsa Jawi kembali menjadi Jawi setelah berkhatan. Jawi punyai ajaran agama tersendiri dan tidak semestinya beragama Islam.

Sekolah Agama [Islam] pada masa itu disebut Sekolah Arab, menandakan ianya bukan institusi pribumi.

Di Aceh terdapat Hikayat Poecut Muhammad yang meriwayatkan kisah adik Sultan berperang dengan seorang Arab yang telah mendirikan kerajaannya berpusat di seberang sungai daripada istana raja. Konfliknya adalah konflik Jawi-Arab.

Tidak syak Islam bukan diterima bulat-bulat oleh mereka yang sekarang ini ditakrif sebagai ‘Melayu’. Sebaliknya, pada tahun 1950-an, majoriti menolak agama yang tertakluk pada bahasa dan adat-istiadat Arab ini dan yang dipandang hanya sebagai ‘hak raja’.

Apabila ‘hak raja’ itu didokong bersama oleh kerajaan pusat, tambahan pada kepiminan Dr Mahathir Mohamed yang memperkenalkan undang-undang jenayah Islam, maka resistance terhadap Islam semakin hari semakin lemah dan akhirnya berlaku pada kampung-kampung saja seperti peristiwa Ayah Pin di Ulu Besut.

Diterima baik

Islam diterima baik pada masa ketibaannya. Dibayangkan pada Hikayat Raja-Raja Pasai pertembungan Islam dengan Agama Hindu sebagai suatu pertembungan di antara satu agama yang telah kerosakan kerana amalan tantrik dengan agama simple yang mendatang dan didokong oleh diaspora Arab/Farsi/Gujerat.

Manakala kepercayaan Hindu berasaskan avataram yang menjadikan raja atau pemerintah sebagai penjelmaan dewa-dewa, pada Islam yang bahari raja atau pemerintah hanyalah pesuruh Tuhan dan abdiNya.

Kuasa, kata seorang pujangga Inggeris, adalah korup dan kuasa yang mutlak akan korup secara mutlak.

Pada penghujung zamannya, korupsi etika dan budaya Raja-Raja Hindu telah menggila. Adityawarman, pengasas Pagar Ruyung, memasyhurkan dirinya sebagai seorang Bhairawa, yakni Manusia-Tuhan (Dewa) dan proklamir dia telah membunuh sebilangan rakyat, minum darah dan makan daging mereka supaya membuktikan dia adalah bayangan Tuhan dan semua hendaklah takut padanya.

Pada Hikayat Raja-Raja Pasai, Raja Perumal-Perumal hendak mamah anak-anak daranya dan dia membunuh abang mereka yang melindungi mereka, kemuncak kegilaan yang barahnya menumbuh kerana mahu menjadi bayangan/penjelmaan Tuhan.

Pada Islam, setinggi-tinggi manusia tetap manusia dan serendah-rendah Tuhan kekal Tuhan. Tidak pada agama Hindu Tantrik. Ini yang menghantui sebilangan ksatriya Hindu, yakni kerana mereka mahu menjadi penjelmaan Tuhan.

Dalam pertemuan dan pertembungan antara Hindu yang korup itu dan Islam yang simple, toleran dan berperikemanusiaan seperti yang kita dapati pada pembawaan Wali Songo dan juga oleh Syeikh Ismail Pulau Besar yang merupakan keturunan Syeikh Abdul Kadir Jilani, ajaran simple yang menyebarkan Islam dengan kelembutan sifat-sifat ketulusan (sidiq), amanah, tabligh dan bijaksana (fatanah), justeru, tidak mungkin dibandingkan dengan ajaran Hindu yang diitakluk oleh nafsu kuasa pada zaman keruntuhannya.

Islam diterima ramai dan dengan kekuasaan terkumpul diaspora Arab yang kaya, agama Arab ini pantas kesebaran. Namun, pada yang umum, Islam hanyalah sebagai agama nominal dan ‘hak Raja’.

Di antara mereka yang menjadi misionarinya terdapat yang berjaya mendirikan balatentera dan menewaskan kerajaan-kerajaan Hindu atau Hindu-Buddha, lain daripada pendapat setengah sarjana yang menyimpul bahawa Islam datang hanya dengan cara aman dan sufiyah.

Diaspora Arab telahpun membawa lebih 2,000 orang pedagangnya ke Kanton sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Demikian lagi, terdapat lebih kurang jumlah yang sama di Sumatera dan Jawa (Zabaq) menurut penyelidikan sarjana-sarjana tertentu.

Ini bermakna Islam punyai orang-orang Arab kaya yang menjadi penyambutnya di Selatan dan Asia Timur.

Mereka inilah yang memberi sambutan dan biaya kepada mubaligh-mubaligh Islam, khususnya kepada keturunan Nabi daripada Hadramaut yang mendukung misi keluarga mereka.

Anggota keluarga ini telah menuju ke Afrika, Farsi, India dan kepada Kepulauan dan Semenanjung Melayu, membawa dagang, ajaran Islam yang simple dan seterusnya mengambil-alih melalui intrigue atau mendirikan kerajaan-kerajaan, mahupun dengan senjata, sampai ke Manila.

Sejarah pergolakan besar ini yang kita diajar di sekolah dan pada kolej adalah tidak tepat. Kerana itu sikap yang terbina pada masyarakat Muslim di Malaysia pun senget macam kapal yang tetap karam.

Konon Islam tersebar kerana kekeramatan mubalighnya dan bukan kerana kebijaksanaan dan pengalaman mereka mengatur langkah beroleh kekayaan dan kuasa, termasuk perang.

Majoriti menolak

Majoriti orang Melayu sebelum Merdeka menolak ajaran dan undang-undang agama seperti yang diamalkan sekarang. Mereka hanya menurutinya secara zahir supaya menghormati ‘hak Raja’. Ajaran dan undang-undang Islam disifatkan sebagai ‘hak raja’ atau ‘hak kerajaan’.

‘Hak raja’ ini terhapus di Sumatera melalui Revolusi Sosial yang mencetus berikutan proklamir kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, membawa kepada penghapusan Raja-Raja yang tidak mendokong Republik pimpinan Sukarno dan Hatta.

Semua Raja-Raja ‘Melayu’ yang memilih untuk bekerjasama dengan Belanda dibunuh, mengakhirkan zaman kebenggeluan agama dan ideologi yang masih menjadi satu masalah pada bangsa Melayu di Malaysia.

Thawalib (kolej-kolej Islam) berubah haluan dan dengan rela menerima tanggapan dan arah Sosialisme dan Nasionalisme.

Jiwa bebas yang melahir pada revolusi sosial itu menghidupkan kembali keterbukaan Jawi dan di Indonesia pemikiran Barat seterusnya menular, satu perkembangan yang memperkayakan pemikiran masyarakatnya, satu perkembangan yang akhirnya membolehkan bangsanya menerima reformasi dan demokrasi ala Barat.

Dipengaruhi revolusi sosial di Sumatera, kebanyakan orang-orang Melayu di Malaya pada masa itu mengenalkan diri sebagai ‘Orang Jawi’. Pada mereka, bila seseorang bersyahadah dalam Bahasa Arab, dia dikata “masuk Melayu”, tetapi bila dia berkhatan dia kembali “masuk Jawi” – satu protes umum terhadap Islam-Arabiya yang semua orang menghafalkan bacaan-bacaan untuk bersalat tanpa mengerti apa yang dihafalkan itu.

Malangnya ‘Jawi’ tidak ditakrifkan.

Kata sebilangan pemerhati Inggeris dan Belanda, ‘Jawi’ bermaksud ‘campuran’. Pada orang Arab di Mekah/Medinah, semua bangsa-bangsa di Gugusan Kepulauan Melayu adalah “Jawi”.

Sekarang kita hanya ketahui aksara Arab-Melayu sebagai [tulisan] Jawi manakala Bangsa Jawi sudah sama sekali luput daripada kesedaran.

Jawi

Pada orang Jawi perkataan “Jawi” berasal daripada pohon Jawi-Jawi atau Jejawi yang disebut di Semenanjung sebagai pohon beringin (waringin) seperti pada Beringin Songsang. Ini boleh ditemui pada buku Negarakertagama.

Pada Negarakertagama juga akan didapati catatan sehubungan Candi Jawi (di Jawa Timur) yang didirikan oleh Kertanegara, Raja Singhasari yang terakhir. Beliau bersama anak menantunya, Wijaya, adalah wira-wira yang berjaya menewaskan balatentera Kublai Khan yang datang menyerang Singhasari pada hujung abad ke-13. Wijaya kemudian mengasaskan Majapahit.

Keutuhan dan kebesaran bangsa-bangsa ‘Melayu’ di Gugusan Kepulauan dan Semenanjung Indonesia tidak dan belum pernah menjangkau lebih daripada yang dicapaikan oleh Kertanegara dan Wijaya serta, kemudiannya, Patih Gajah Mada.

Pada telapak mereka itulah terletak zaman kegemilangan bangsa yang berani mendirikan rumah di pantai dan dilambung ombak, bukan pada zaman yang berseloka panjang dalam bahasa Arabu dan berdoa sampai dua kilometer bila dihadiri raja.

Kegemilangan itu mendakap kegemilangan budaya dan tamaddun yang terbayang di Semenanjung pada keperibadian, budaya dan pemerintahan Cik Siti Wan Kembang atau Udruga Wijaya Malasingha dan anak angkatnya, Puteri Sa’adong.

Kelantan/Patani, kebetulan, adalah wilayah Majapahit II, ditaburi Bangsa Jawi, bukan Bangsa Melayu yang bersyahadah dalam bahasa Arabu dan mesti beragama Islam-Arab.

Berapa keratkah manusia Melayu yang benar-benar memahami agama Islam yang mereka menuruti dengan ketaatan dan keasyikan yang sungguh luarbiasa itu?

Kata Prof. Emeritus Isahak Haron daripada UPSI, 90 peratus tak faham apa yang mereka membaca dalam salat! Masya Allah al-gerunahum alfi pantang ditegurusi wal larangu! (To what destiny can the blind lead the mute?) Pegangan Bangsa Jawi adalah pada Beringin Songsang saja, yakni satu simbol umum semua ‘agama langit’.

Beringin Songsang adalah satu fahaman universal yang dirujuk padanya dalam Bhagavad-gita 15:1. Krishna berkata: Terdapat pohon Ara (Ashwatha/Banyan) yang akarnya menjalar ke atas dan dahan-dahannya ke bawah manakala daun-daunnya adalah zabur-zabur Veda. Sesiapa yang mengenali pohon ini kenalilah ia Veda-Veda.

Ashwatha adalah pohon Ara. Seperti yang telah menjadi kebiasaan pada benua Jawi, setiap sesuatu ajaran yang mendatang akan diubahsuaikan supaya seiring dengan citarasa sendiri. Maka pohon Ara itu pun dipindah kepada pohon Beringin (Waringin). Seterusnya, ajaran Hindu dicantum di antara Siwa dan Vishnu, kemudian dengan ajaran Buddha seperti yang terdapat pada candi-candi binaan Kertanegara.

Perkembangan inilah yang akhirnya melahirkan karangan Tantular yang mengandungi kata-kata hikmat yang menjadi inspirasi falsafah negara Indonesia, Bineka Tunggal Eka, yakni ‘kesatuan dalam kelbagaian’, atau komposit – satu jaminan toleransi, persefahaman dan saling hormat-menghormati yang menjadi asas ketamadunan dan supaya melahirkan satu bangsa/negara berasaskan pelbagai ajaran, adat dan falsafah.

Bangsa ‘campuran’ itulah yang dikenali sebagai Bangsa Jawi sampailah ianya diketepikan oleh perlembagaan dan kerajaan Malaya/Malaysia merdeka.

Beringin Songsang adalah satu simbol yang menerangkan dengan mudah hakikat ‘agama langit’. Sebagai simbol agama langit, Beringin Songsang adalah universal dan keterangan yang barangkali sepaling mendalam mengenainya kelihatan pada Pythagoras, seorang pendokong ajaran Nabi Idris (Hermes) dari bangsa Yunani yang lebih dulu daripada Gautama Buddha (600 SM).

Konsep ini terdapat pada Veda sebagai Ashwatha atau pohon ara atau bodhi, dan Veda boleh jadi sudah dikarang pada 1,800 SM (ada yang letaknya pada 2,500 SM). Ertinya kitab dan ajaran itu boleh jadi sama tua dengan Nabi Ibrahim atau paling tidak ianya lebih tua daripada Nabi Musa (antara 1800 SM dan 1500 SM).

Tarikh yang diberi di atas tak akan disetujui ramai peminat agama-agama yang terlibat. Tujuan penulis hanyalah sekadar menyatakan Beringin Songsang merupakan konsep tua dan yang membawa pendokongnya kepada idea dan budaya universal berbanding dengan Islam meskipun ianya ada pada budaya Islam juga.

Buku The Inverted Tree karangan Sri Aurobindo, filasuf nasionalis/universalis India, boleh dimuat-turun melalui Internet, dengan percuma.

Ajarannya tidak hadapi sebarang masalah bahasa, seperti Islam yang terpenjara oleh bahasa Arab sehingga lemas kita melihat sebilangan Melayu berlumba-lumba untuk menunjukkan kehandalan mereka menghafal ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dan juga al-Hadith sedangkan mereka tidak mengerti sepatah haram.

Itu tipu diri, a social idiotization, sedangkan agama itu adalah agama raja atau kerajaan dan lebih menjadi satu acara kawalan sosial dan bukan satu ideologi yang kemas mahupun yang terang.

Islam kini perlu dihadapi sebagai dokongan parti PAS dan mencabar kita supaya membuat kesimpulan bahawa Pakatan, kerana ada PAS di dalamnya, tidak menjadi satu solusi masalah politik dan sosial yang dihadapi di Malaysia.

Kini, setelah beduk diketuk untuk menandakan Maha Perang mungkin berlaku dan seluruh kawasan lautan Cina Selatan kata Republik Rakyat Cina dia yang punya, maka mahu tak mahu kita perlu akui Malaysia berpecah-belah dan bangsa Melayu telah berkecaian, yakni Malaysia terdedah dan mudah ditakluk semula.

Adakah apa-apa pada kita yang boleh menjamin perpaduan dan kekuatan? Islam? Melayu?