Pengenalan oleh CPI
Felda Global Ventures Holding (FGVH) bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dalam masa terdekat ini, iaitu sebelum menjangkau pertengahan 2012.
Tawaran awam permulaan (IPO) untuk FGVH terdiri daripada gabungan satu tawaran jualan saham vendor oleh Felda beserta dengan IPO tersebut. Sebanyak 2.19 bilion saham (60%) daripada modal saham berjumlah 3.65 bilion dirancang akan dijual kepada umum.
FGVH sebenarnya satu syarikat yang nampaknya diwujudkan – antara lainnya – semata-mata supaya 300 ribu hektar tanah Felda boleh disuntik masuk dalam usaha mencipta nilai secara mendadak.
Cara syarikat FGVH ini dikelolakan, yang nyata tidak telus, pasti menimbulkan tanda tanya tentang keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk memindah hak milik tanah sebuah agensi persekutuan peladang kepada sebuah syarikat swasta.
Dalam tulisannya kelmarin, seorang blogger telah menghuraikan struktur perniagaan Felda serta meninjau kemusykilan berhubung dengan persoalan siapa sebenarnya yang untung dan siapa rugi.
Berikut ialah Bab Satu olahan beliau yang akan bersambung kelak di blog ‘Pirates of Putrajaya’.
Dipetik dari blog Pirates of Putrajaya
Saya merasa begitu rendah diri kerana diberi tanggungjawab menjelaskan isu penyeraian Felda kepada para peneroka dan keluarga terdekat. Di sini, saya ingin menjelaskan, tujuan saya tidaklah untuk memomokkan mana-mana pihak, tetapi untuk memberi penjelasan lengkap dan analisa terperinci berdasarkan dokumen listing yang setebal 800 muka surat.
Posting pasti ada pelbagai kecacatan, termasuk tatabahasa yang kurang tepat, ejaan yang silap dan sebagainya. Saya akan cuba memperbaiki posting ini dalam satu dua hari termasuk memasukkan gambarajah baru.
Baiklah, kita mulakan ceramah hari dengan sedikit pengenalan mengenai syarikat Felda Global Ventures Holding ataupun syarikat FGVH. Berbanding dengan Felda Holding yang dimiliki oleh para peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF), sebaliknya FGVH ini dimilik sepenuhnya oleh Kerajaan melalui agensi kerajaan Felda. Maka FGVH ini tiadalah penyertaan para peneroka dan diketuai oleh para kapitalis yang bukan datangnya dari industri kelapa sawit.
Struktur kumpulan Felda Global Ventures Holding.
(Dari kiri) 300 ribu hektar ladang kelapa sawit iaiatu tanah FELDA yang benilai RM 10 billion, 51% peratus pegangan di dalam syarikat Gula bernilai RM 2 billion, 49% peratus pegangan di dalam Felda Holding bernilai RM 2 billion, perniagaan di Amerika Syarikat yang mencatat kerugiaan, perusahaan bersama dengan Kumpulan IFFCO yang juga mencatat kerugiaan dan beberapa pelaburan.
Tugas utama FGVH ialah untuk mengurus pelaburan agensi Felda di Amerika Syarikat dan mengambil alih pegangan Felda di dalam syarikat Felda Holding.
Felda ini telah melabur beratus-ratus juta ringgit ke dalam sebuah syarikat bernama Twin Rivers Technology. Syarikat Twin Rivers ini bermaksud Sungai Kembar, dan operasi mereka ialah untuk memproses minyak kelapa sawit dijadikan asid lemak yang digunakan di dalam industi pemakanan. Akan tetapi, FGVH tidak mampu menyumbang sebarang kepakaran ke dalam bisnes tersebut, dan seterusnya bisnes Felda di Amerika Syarikat ini mengalami kerugiaan.
Kemudian FGVH cuba nasib di Kanada pula dan melabur lebih RM100 juta ke dalam bisnes memproses kacang soya. Bisnes tersebut juga mengalami kerugian, menjadikannya kerugian berkembar! Semenjak tiga tahun terdahulu, bisnes-bisnes di Amerika Syarikat dan Kanada ini mengalami kerugian pra-cukai lebih dari RM700 juta ringgit.
Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Saudara Anwar Bin Ibrahim (SABI) dan menjadi perbualan hangat orang ramai.
Tetapi FGVH tidak berputus asa dan mencuba nasib di dalam industri gula. FGVH ini membeli pegangan Raja Gula, Robert Kuok, pada tahun 2010 dengan harga RM1 billion. Kemudian dia membeli beberapa ladang dan pegangan saham sebanyak 20% di dalam syarikat Tradewinds, kepunyaan Tan Sri Syed [Mokhtar] Al Bukhary.
Kemudian pada tahun 2011, dia menyenaraikan syarikat gula ini di BSKL dan mencatat keuntungan lebih daripada RM300 juta. Dia mendapat keuntungan itu bukan kerana syarikat itu menjadi lebih hebat, tetapi melalui permainan korperat yang merugikan KPF. Tetapi itu perkara lain yang kita tidak mahu sentuh pada hari ini.
FGVH ini juga telah melabur beberapa ratus juta ringgit ke dalam ladang kelapa sawit bersama Lembaga Tabung Haji. Tetapi ladang ini masih mentah dan belum lagi mendatangkan sebarang pulangan.
Maka sebelum pasca penyenaraian ini, keuntungan FGVH hanya berbekalkan pelaburan mereka ke dalam industri gula dan pegangan mereka di dalam syarikat Felda Holding. Pelaburan ke dalam industri memproses minyak kelapa sawit bersama Kumpulan IFFCO iaitu Syarikat Felda IFFCO juga mencatat kerugian pada tahun 2011.
Gempar: 300 ribu hektar tanah Felda diserahkan kepada FGVH
Untuk menjayakan ‘listing’ ini, maka kerajaan terpaksa menyuntik masuk aset ataupun projek untuk menarik perhatian pelabur. Dengan itu kerajaan dapat memperolehi habuan yang besar setelah FGVH ini disenaraikan. Maka, mereka menyuntik masuk 300 ribu hektar tanah Felda ke dalam syarikat tersebut. Sekaligus, syarikat itu di"transformasikan" menjadi syarikat yang begitu gah ekoran suntikan ajaib ni.
Akan tetapi, saya risau suntikan ini akan membawa kepada kerugian di dalam syarikat Felda Holding. Para peneroka kena paham, dividen ke atas pelaburan di dalam Koperasi Felda ini datang hampir keseluruhannya dari pelaburan KPF di dalam Felda Holding.
Sebelum tanah Felda disuntik masuk ke dalam FGVH, ianya diurus oleh Felda Plantation, iaitu anak syarikat Felda Holding. Sebelum ini keuntungan yang diperolehi oleh Felda Plantation akan disalurkan kepada pejabat induk Felda Holding dan akan dikongsi bersama dengan para peneroka melalui pembayaran dividen.
Akan tetapi, selepas 300 ribu hektar tanah ini disuntik ke dalam FGVH, maka Felda Holding bakal kehilangan sumber kewangan yang penting dan sekaligus mungkin akan menjejaskan pembiayaan dividen kepada KPF.
Untuk terus membaca, sila klik sini.
***********************
CPI juga akan mengulang siar sebuah ulasan (versi bahasa Inggeris) oleh blogger Pirates of Putrajaya yang mendedahkan bagaimana kepentingan para peneroka asal Felda dipinggirkan melalui urusan transaksi FGVH ini.